top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Rumah Diganggu Bunyi Pelik

Salam KC,


Saya Ami dari Kuala Lumpur ingin berkongsi cerita tentang rumah lama yang pernah saya duduki bersama ibu saudara dan bapa saudara saya. Kisah ini berlaku empat tahun lepas. Sekarang saya berumur dua puluh satu tahun. Sepanjang saya bersekolah menengah, saya terpaksa duduk bersama makcik dan pakcik sebab rumah mereka berhampiran dengan sekolah, manakala rumah ibu saya agak jauh dari sekolah menengah.


Pakcik dan makcik saya hanya tinggal berdua dan mereka sudah berkahwin lebih kurang tiga atau empat tahun, namun masih tiada cahaya mata. Mereka memang jarang berada di rumah, dan mereka sering balik lambat. Bila sudah habis kerja, mereka akan pergi berjalan ke pusat membeli-belah. Selalunya mereka akan pulang jam 10-11 malam. Saya sudah biasa berdikari kerana ibu saya selalu sibuk bekerja, jadi saya sering berada di rumah seorang diri.


Apabila saya berpindah masuk ke rumah makcik saya, saya rasa seperti biasa saja tiada apa-apa yang pelik. Kawasan rumah makcik saya terdapat dua rumah kosong, satu di sebelah rumahnya, satu lagi di hujung sekali. Rumah sebelah memang sudah lama kosong, rumah yang sebelah lagi memang jarang ada orang di rumah sebab menurut Mak Su saya, tuan rumah ini hanya membeli rumah sebagai harta pusaka. Jadi jiran kiri dan kanan memang tiada berpenghuni.


Rumah makcik saya tingginya dua tingkat, bilik saya di tingkat atas. Rumah ini ada empat buah bilik tetapi hanya dua saja digunakan. Salah sebuah bilik di bawah memang tiada orang duduk dan satu di atas memang digunakan untuk letak barangan lama. Makcik dan pakcik saya jenis yang suka melancong dan menjelajah negara luar, setiap bulan pasti akan ke luar negara. Kadang-kadang selama dua atau tiga minggu mereka tiada di rumah. Bagi mereka, bagus juga saya berada di rumah, ada orang tolong jagakan.


Beberapa bulan saya biasakan diri di rumah tersebut. Pada satu hari, saya sedang duduk di ruang tamu untuk menonton televisyen. Sedang saya melayan cerita berbahasa Korea, tiba-tiba kedengaran bunyi seperti orang sedang mengalihkan barang di tingkat atas. Saya pada mulanya ingatkan rumah sebelah, jadi saya buat tak endah saja. Tapi selepas saya teringat yang jiran saya tiada di rumah, saya mula rasa tidak sedap hati.


Walaupun hati saya dah rasa tidak sedap, saya buat tak tahu dan pasangkan muzik dan mendengar menerusi alat fon telinga untuk menghilangkan rasa takut dan ragu-ragu. Bunyi-bunyi ini sering kedengaran apabila hanya saya seorang berada di rumah. Saya pernah bertanya kepada makcik saya kalau-kalau dia terdengar bunyi yang sama, tetapi dia cakap tidak pernah pun ada bunyi orang mengalih perabot. Makin lama, saya sudah terbiasa dengan bunyi tersebut. Selama empat tahun saya buat tak tahu tentang bunyi itu.


Namun bila saya masuk ke Tingkatan 5, bunyi tersebut bertukar menjadi bunyi yang lain. Kadang-kadang bunyi orang memasak di dapur, bunyi pinggan mangkuk pecah, bunyi cawan berlaga antara sendiri. Adakalanya bunyi tapak kaki orang yang sedang turun tangga, sedangkan makcik dan pakcik saya tiada di rumah. Makin lama, makin rancak bunyinya. Pernah sekali saya hendak turun untuk ke dapur, saya ternampak televisyen dihidupkan dengan sendirinya kemudian ia tertutup juga dengan sendirinya. Dalam hati memang saya rasa takut, tapi bila difikirkan saya seorang, saya buat-buat berani saja.


Di ruang tamu, terdapat satu buaian yang mempunyai kerusi bulat. Saya sedang turun tangga, ternampak buaian tersebut bergerak sedangkan tiada angin yang menderu dan buaian tersebut pun agak berat. "Kriek... Kriek" bunyi buaian tersebut bergerak. Makin dekat, tiada apa-apa yang terlihat sedang duduk di atasnya tetapi buaian itu bergerak seperti ada yang sedang duduk diatasnya. Saya sudah tidak tahan dengan bunyi-bunyi yang berlaku, saya pun ambil keputusan untuk bagitahu makcik saya pada satu hari setelah dia kembali bercuti di Eropah selama tiga minggu. Makcik saya jenis yang memang tidak percaya kepada benda-benda ini semua. Jadi bila saya beritahu dia macam antara percaya atau tidak. Sehinggalah sesuatu terjadi padanya.


Pada satu hari, pakcik dan makcik saya berada di rumah, jadi makcik saya suruh pakcik saya ke kedai membeli ayam untuk dimasak. Saya pula berada di sekolah, ada kelas malam. Mengikut apa yang diceritakan oleh makcik saya, dia terdengar bunyi orang menghempas pintu bilik di atas. Makcik saya ingatkan angin tapi tiba-tiba kedengaran bunyi orang sedang ketawa. Bunyi itu kedengaran seperti ketawa kanak-kanak. Kemudian bunyi orang berlari turun tangga. Kerana terkejut, makcik saya menelefon pakcik saya menyuruhnya balik dengan cepat.


Gangguan itu berhenti sampai itu sahaja. Makcik saya menceritakan ini kepada saya dan pakcik. Jadi pakcik saya putuskan untuk memanggil seorang ustaz untuk melihat rumah. Ustaz tersebut memberitahu dia akan datang melihat rumah pada hujung minggunya. Pada waktu itu baru hari Selasa. Beberapa hari sebelum ustaz datang, semakin teruk gangguan yang kami alami. Makcik dan pakcik saya duduk di rumah kerana bimbang berlaku apa-apa.


Pada satu malam, saya turun untuk minum air kerana saya rasa sangat dahaga. Sedang saya turun tangga, saya ternampak seorang wanita berdiri di tengah ruang tamu, mukanya menghadap ke arah televisyen. Dalam keadaan gelap dan samar-samar lampu dari dapur, wanita itu seperti membongkokkan dirinya. Saya menjerit kemudian berlari masuk ke bilik saya lalu saya berselubung dalam selimut.


Esoknya, saya bertanya kepada makcik kalau-kalau dia ada di bawah semalam, dia cakap semalam dia tidak berani nak turun sebab bunyi di dapur sangat kuat. Tapi saya tak dengar langsung pun. Pakcik saya pula diganggu ketika dia sedang balik dari kerja lewat. Dia sedang meletakkan kereta di halaman rumah, lantas terlihat satu benda putih berada di atas bumbung rumah. Benda itu merenungnya dengan mata merah dan gigi menyeringai tajam. Kelam-kabut pakcik saya masuk ke dalam rumah.


Alhamdulillah selepas ustaz itu datang, tiada lagi gangguan. Menurut ustaz itu, terdapat makhluk lain yang menghuni rumah ini sebab banyak ruang di rumah ini tidak digunakan.


Itu saja kisah dari saya. Terima kasih kerana ketengahkan kisah saya di blog Malam Seram!

1,063 views0 comments

Recent Posts

See All

Kommentare

Mit 0 von 5 Sternen bewertet.
Noch keine Ratings

Rating hinzufügen
bottom of page