top of page
Search

Rumah Nenek Dihantui Makhluk

Assalamualaikum KC,


Saya Iza, daripada Kuala Terengganu, Malaysia. Saya ingin berkongsi kisah seram iaitu kisah tentang rumah nenek saya yang berhantu. Untuk pengetahuan semua, saya masih tinggal di sana sampai ke hari ini. Bermula pada tahun 2013, pada tahun tersebut baru saya perasan tentang kisah-kisah mistik berlaku dalam rumah itu, mungkin sebelum ini dah ada berlaku tapi saya jenis orangnya positif, jadi kalau berlaku benda yang aneh itu secara biasa saja pada tanggapan saya. Kisahnya saya mulai perasan, apabila nenek sedang sakit dan ketika itu dia baru sahaja dibenarkan pulang dari hospital.


Dalam beberapa hari dia pulang ke rumah, kami ahli keluarga berpakat untuk merawatnya secara Islami. Kami memanggil seorang ustaz untuk datang ke rumah untuk berubat dan sekaligus memagar rumah kami. Apa yang berlaku, ketika kami di tingkat bawah dan ketika ustaz sedang merawat (membaca surah² di bilik nenek ketika itu di bawah), tiba-tiba kami terdengar ada barang yang terjatuh di bahagian tingkat atas!


Apa yang menghairankan kami tiada sebarang angin atau tiada seorang pun yang sedang berada di atas pada ketika itu. Saya dan ibu saudara memberanikan diri untuk naik ke atas. Yang menghairankan saya, tiada apa yang jatuh pun di atas. Setelah itu saya pun turun kembali ke bawah. Seusai ustaz merawat nenek saya, dia meminta izin untuk naik ke atas. Mungkin untuk pantau kawasan rumah kami. Apa yang diceritakan oleh bapa saudara saya yang ikut ustaz naik ke atas ketika itu, ustaz melakukan azan di bahagian tengah ruangan atas setelah itu ustaz memagar rumah di bahagian luar rumah kami. Setelah beberapa tahun, kami tiada gangguan lagi seperti sebelum ini. Tetapi pada tahun 2018, kami dihantui dengan benda aneh lagi, seperti kami semua sedang berkumpul di ruang tamu bawah, tiba-tiba akan terdengar bunyi seperti kanak-kanak kecil sedang berlari, ingatkan anak-anak buah yang bermain di atas tetapi macam biasa tiada sesiapa yang berada di atas.


Pernah juga saya terkena usikan sekali, petang itu dalam jam 6 petang baru balik kerja. Saya tidak tahu bahawa orang dalam rumah telah keluar bersiar-siar, maknanya rumah itu kosong sewaktu saya pulang ke rumah. Saya fikirkan nenek dan semua orang ada dan saya pun macam biasa, saya memberi salam dan makan dulu baru naik ke atas untuk bersembang dengan nenek. Sewaktu saya naik ke atas dan berada di tangga, saya terlihat ada makhluk hitam gelap dan tinggi sangat di bahagian atas tangga!


Saya terus turun ke bawah dan keluar daripada rumah dan menelefon ibu saudara dan bertanya dia berada di mana. Baru saya tahu rumah itu memang tidak ada orang waktu itu tapi saya terdengar jelas TV dihidupkan oleh sesorang di atas ketika saya makan pada awalnya. Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya ini. Assalamualaikum...

161 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page