top of page
Search

Rumah Penginapan Di Pulau Tioman...

Salam sejahtera dan Assalamualaikum KC,


Nama saya Am. Saya hendak kongsikan pengalaman saya diganggu semasa menginap di sebuah rumah penginapan di Pulau Tioman, Johor beberapa tahun lepas. Saya dan keluarga telah membuat keputusan untuk menginap di sana memandangkan kami sebuah keluarga yang besar dan kami merancang untuk membuat acara Hari Keluarga. Disebabkan Pulau Tioman merupakan salah satu antara 10 pulau tercantik di dunia menurut pendapat saya, kami membuat keputusan untuk bercuti di sana.


Kami mengambil dan menempah sebuah rumah yang agak besar dengan harga yang berpatutan. Kami mencari rumah yang disewa ini melalui wadah dalam talian dan menempahnya sebulan lebih awal kerana harga yang berpatutan ketika itu, akan tetapi harga yang murah itu mengundang satu mimpi ngeri untuk kami sekeluarga. Kisahnya bermula apabila kami tiba di jeti. Saya dan keluarga berangkat ke sana dengan pengangkutan sewa. Setibanya kami di sana, kami disambut mesra oleh tuan rumah. Beliau memberi kami kunci rumah dan kami membayar wang penginapan selama empat hari tiga malam.


Apa yang berlaku bila saya dapat pegang kunci rumah, saya dan kakak saya terus ke pintu rumah tersebut dan segera membuka daun pintu dengan perasaan sungguh seronok! Tetapi tabiat saya sebelum masuk ke tempat baru, saya selalu dipesan oleh arwah atok untuk menekap telapak tangan kanan ke daun pintu sambil membaca surah An-Nas dan selawat sebanyak 3 kali, membuka pintu diiringi bacaan salam.


Apabila saya melakukan sedemikian tidak semena–mena ada angin yang agak kuat menerpa ke muka saya dan kakak dari dalam rumah. Saya ingat saya seorang saja rasa tapi kakak saya turut rasa perkara yang sama. Kami berdua terdiam. Kami menunggu ahli keluarga lain untuk datang. Tiba-tiba abang ipar bertanya kenapa tidak masuk lagi? Saya hanya menggeleng kepala dan senyum saja. Hati saya dah mula rasa tidak sedap langsung, perasan gembira tukar jadi risau.


Saya berkongsi bilik dengan anak buah lelaki dan adik saya dan jumlah kami seramai tujuh orang. Saya dan adik lelaki saya amat rapat berbanding dengan adik-beradik lain kerana umur kami yang agak dekat. Adik saya ada cerita pada saya yang dia ternampak ada budak perempuan sedang bermain di buaian di luar ”Bang, aku nampak tadi kat luar ada budak perempuan tengah main buaian kat luar, siapa budak tu? Aku tak nampak pun ada rumah lain di kawasan ni. Kalau ada pun jauh...


Saya terdiam. Nak sedapkan hati dia, saya menjawab, “Mungkin itu anak tuan rumah tadi, mereka belum balik lagi agaknya..." Kami rehat sekejap dalam empat jam sebelum ke pantai, buat aktiviti sempena Hari Keluarga. Dah penat bermain, beriadah semua, kami pulang ke rumah penginapan tersebut. Bila masuk ke dalam rumah dan masuk bilik, saya dan keluarga terperanjat beruk tengok barang-barang kami bersepah macam ada orang yang dah pecah masuk tapi tiada barang berharga yang hilang.


Kami rasa sangat pelik. Yang membuat kami lebih geram dan marah apabila sebelum kami keluar ke pantai, mak ada memasak nasi dan sardin tetapi makanan itu tidak boleh dimakan sebab bau hancing yang sangat kuat. Macam kencing tikus pun ada tapi tidak mungkin kerja tikus sebab kami tutup rapat makanan itu. Tak mahu berfikir panjang, terus buang dan masak makanan baru. Hampa dan sedih sebab penat lelah mak memasakkan untuk kami tidak dapat kami jamah.


Malam itu saya dan adik lepak di balkoni rumah sambil berborak. Tiba-tiba adik saya menyuruh saya melihat pokok yang ada buaian teersebut. Kali ini saya dan adik nampak betul-betul ada seorang perempuan berambut panjang dan belah tengah sedang membuaikan seorang budak kecil di buaian tersebut. Saya dan adik kalut terus masuk ke dalam rumah dan duduk di depan televisyen.


Tidak pernah adik peluk saya walaupun kami rapat tetapi malam itu saya dipeluk kerana dia terlampau takut. Selalu dia jenis orang yang suka cakap gebang dan acah-acah berani tetapi pada malam itu terserlah segalanya. Jujur saya pun terketar juga. Bila anggota keluarga lain bertanya kenapa, saya jawab tiada apa-apa, bukan apa, takut anak buah yang masih kecil takut hendak tidur malam pula.


"Kau okay tak ni?" saya bertanya pada adik. Dia hanya mengangguk. Malam itu kami tidur lena tetapi tak lama bila saya terdengar kakak saya terpekik kuat. Saya tersentak dan terus pergi ketuk biliknya. Pada mulanya saya sangkakan dia nampak lipas sebab dia takut gila dengan lipas tapi saya dengar semua menjerit macam memang betul-betul dalam ketakutan. Di dalam bilik kakak, semua adik-beradik perempuan menangis teresak-esak.


"Apahal ni?" Mula-mula mereka terdiam saja. Selepas itu baru kakak yang sulung berkata semasa dia sedang tidur, selimutnya disentap, sampai dia tersedar. Bila dia membuka matanya, dia ternampak ada seorang perempuan yang mukanya bersopak dan bernanah. Matanya terbuntang luas, rambut kusut masai dan baju berlumuran kotor dengan tanah. Dia menjerit sampai yang lain tersedar dan nampak perkara yang sama turut menjerit.


Tiba-tiba saya teringat perempuan dan budak kecil di buaian pada awalnya yang saya dan adik saya ternampak semasa kami berborak di balkoni. Kami ceritakan pada yang lain apa yang kami nampak. Masing-masing nampak dalam ketakutan. Tiba-tiba bekalan elektrik rumah terputus dan kami semua panik mencari fius utama rumah itu. Dalam kekalutan, kami terdengar dengan jelas suara hilaian kakak cantik diiringi suara tangisan yang sangat menyeramkan.


Kami semua terduduk kaku, tidak boleh hendak berfikir apa-apapun. Kami baca apa yang kami ingat sampai bekalan elektrik kembali. Apabila saya berdiri melaungkan azan, gangguan terhenti di situ pada malam itu. Adik lelaki saya mukanya memang fobia dan takut sangat. Kalau boleh tidak mahu lepaskan tangan saya yang dipaut. Percutian yang gembira bertukar menjadi ketakutan.


Esoknya kami berjumpa tuan rumah dan memberitahunya tentang gangguan yang kami alami. Kami minta dipulangkan duit kami kembali. Pada mulanya, beliau enggan dan memarahi kami tetapi apabila kakak saya mengugut akan menularkan bahawa rumah penginapan beliau berhantu, beliau menukar fikiran dengan memulangkan baki tiga malam yang kami bayar, manakala satu malam dikira kerana kami menginap. Itu pun kami bersyukur sangat-sangat. Kami kemudian mencari tempat lain walaupun bayarannya agak mahal sebab cuti sekolah tetapi tempat ini lebih selesa dan yang penting, tidak ngeri seperti rumah penginapan sebelum ini...

Sekian dari saya, terima kasih KC...

419 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page