top of page
Search

Rumah Sewa Lama Di Lower Delta Road

Assalammualaikum dan selamat malam para pembaca blog Malam Seram,


Nama saya Azree. Dahulu saya pernah menetap di rumah sewa satu bilik dan ia adalah salah sebuah bangunan lama di Singapura yang terletak di Lower Delta Road. Rumah yang saya duduk itu tidaklah terlalu keras, cuma ada beberapa peristiwa yang masih tidak boleh saya lupakan.


Kejadian itu berlaku 7 tahun yang lalu. Waktu itu umur saya 17 tahun, sekarang saya sudah mempunyai isteri dan anak, dan telah berpindah ke rumah lain. Saya dahulu minat menari, jadi pada satu malam ketika ibu saya sedang tidur di dalam bilik, saya baring di ruang tamu bersendirian cuba untuk lelapkan mata. Golek sana golek sini, tak boleh tidur juga. Saya lihat jam sudah menunjukkan 2 lebih pagi. Jadi saya bercadang untuk berlatih menari, untuk penatkan diri supaya saya boleh tidur.


Saya menari betul-betul di tepi tingkap ruang tamu yang di luar merupakan koridor untuk orang lalu lalang. Sedang saya berlatih menari, mula-mula saya terdengar bunyi kucing bergaduh di luar rumah, sangat bising, jadi saya bukak tingkap dan intip, tapi tidak ada satu kucing pun yang kelihatan, mungkin kucing-kucing itu bergaduh di tempat lain yang saya tidak boleh lihat dengan jelas. Jadi saya tutup tingkap balik dan sambung berlatih.


Selepas beberapa minit kemudian, bunyi kucing-kucing itu pun senyap. Saya cuba hendak pastikan samada betul-betul dah senyap atau tidak, jadi saya letakkan telinga saya di tingkap untuk mendengar. Kali ini bukan bunyi suara kucing, tetapi SUARA SEPERTI PEREMPUAN MENANGIS BETUL-BETUL DI LUAR KORIDOR TINGKAP RUMAH SAYA!


Saya terpaku sekejap dan teruskan mendengar, mana tahu saya tersalah dengar. Tetapi memang betul suara perempuan menangis, sayu sangat. Makin saya dengar makin kuat dia menangis. Saya tak berani nak buka tingkap sebab takut dia betul-betul berada di bawah tingkap rumah dan tunjukkan mukanya dengan cara mengejut. Mahu terkucil saya dibuatnya di situ juga!

Jadi saya pun baca Ayat Kursi dan semua ayat yang saya ingat, lalu hembuskan ke arah luar tingkap. Seraya itu saya berkata, "Aku tak ganggu kau, jadi aku minta tolong kau jangan ganggu aku..." Suara menangis itu berhenti dengan serta-merta. Saya pun berhenti menari, pergi mandi dan tidur hingga keesokan harinya. Ada jugak kejadian lain yang terjadi seperti isteri saya mendengar suara perempuan menangis di luar tingkap bilik pada waktu malam ketika tingkap terbuka luas.


Itu sahaja pengalaman saya. Terima kasih dan selamat tengah malam...

170 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page