top of page
Search

Saka Arwah Nenek

Assalamua'alaikum KC,


Nama saya Milla. Kisah saya ini berlaku pada tahun 2015. Dua minggu selepas saya dan suami bernikah, nenek saya meninggal dunia. Beberapa hari selepas pengebumiannya, hidup saya berubah. Ini yang suami saya ceritakan kerana ingatan saya samar-samar. Selepas kahwin kami duduk di rumah ibu bapa saya. Pada pagi itu, suami kejutkan saya dari tidur. Saya terbangun dan pandang wajah suami yang sedang senyum. Lalu, saya mengatakan yang saya nak bercerai. Suami tersentak dan tanya kenapa tiba-tiba saya minta cerai. Saya cakap saya dah benci dia. Lalu dia bertanya lagi, kenapa? Saya hanya diam membisu.

Beberapa hari kemudian, kami gaduh besar kerana dia hilang sabar saya asyik minta cerai. Dia balik ke rumah ibu bapanya dan beri saya seminggu untuk fikir masak-masak. Lima hari selepas pergaduhan kami, saya pun menghubungi suami. Ajak keluar kerana hari itu hari jadi saya. Suami turuti. Waktu itulah suami memberitahu saya ada yang tidak kena. Dia dah berjumpa dengan pakar dan ustaz, semua kata benda yang sama. Saya pun setuju untuk jumpa ustaz pada malam itu.


Apabila berjumpa dengan ustaz pada malam itu, dia berkata bahawa arwah nenek saya ada membela seekor saka dan ia suka dengan saya. Ustaz cuba merawat tetapi masalahnya keluarga ibu saya ada yang tidak relakan. Saya terkejut. Setahu saya, keluarga ibu saya semua tidak mahukan benda itu. Ustaz berkata, "Itu yang mereka cakap dengan awak. Dalam hati, berat hendak lepaskan. Kakak dan mak awak dah ada benda itu. Sebab itu mereka pandai mengurut..." Ustaz pun sarankan saya berpindah kerana rumah ibu bapa saya dah bersarang dengan benda-benda saka ini.

Kami berpindah ke rumah abang suami. Terlalu banyak gangguan saya dan suami alami selepas itu. Saya kalau tidur malam selalu terjaga. Pernah satu kali saya terjaga, saya ternampak seorang nenek bongkok depan saya, betul-betul di tepi katil. Saya terperanjat terus kejut suami dan hidupkan lampu.


Satu lagi kejadian berlaku bila kami hendak solat Isyak berjemaah. Bilik yang kami tidur agak kecil, jadi solat jemaah hanya genap kami berdua sahaja. Tapi sejadah suami selalu terkeluar sedikit hujungnya bawah pintu bilik. Kebetulan hari itu, abang ipar dan isterinya tidak berada di rumah. Kami tetap solat di dalam bilik. Macam biasa selepas suami melaungkan iqamah, dia akan memandang saya dan bertanya dah sedia ke belum. Malam itu selepas suami melaungkan iqamah, tiba-tiba seperti ada orang di luar bilik menarik sejadah tapi tidak dapat tarik sepenuhnya sebab tersangkut dengan pintu bilik. Ya Allah, berderau jantung ini!


Lagi satu kejadian terjadi kepada saya sehingga membuat saya ketakutan apabila saya tertidur selepas waktu Asar. Saya sedang menunggu suami pulang, lalu saya tertidur. Saya bermimpi saya berada di dalam bilik sambil duduk di katil pada waktu petang. Tiba-tiba saya terdengar suara perempuan mengilai. Saya jadi marah lantas saya keluar bilik dan tengok ke dapur dan ruang tamu, tidak ada sesiapa. Saya pun pekik, "Kau nak apa ah? Aku tak nak kau lah! Kau tunggu aku jumpa ustaz!" Ia mengilai dan dengan suara garau mengatakan, "Aku takkan lepaskan kau! Kau milik aku!"


Sejurus itu, saya terbangun. Saya fikir itu hanya mimpi sahaja. Namun, bila saya keluar bilik dan tengok ke arah dapur dan ruang tamu, tidak ada orang dan yang menyeramkan, rumah itu serupa seperti dalam mimpi. Bantal-bantal dan tilam yang belum dikemas di ruang tamu sama seperti dalam mimpi saya. Rasanya macam saya tidak bemimpi, tetapi nyata.

Selepas itu dua kali saya mengandung, dua kali juga saya keguguran. Abang suami pun bercadang untuk ke Masjid Al-Firdaus, dia kata di situ ada seorang ustaz yang pakar dalam rawatan Islam. Kami pun pergi kerana sudah tidak tahan terkena gangguan. Ustaz tengok saya dan terus ikat kaki saya. Lalu diazankan embun-embun saya. Saya terus terasa lemah. Selepas itu, suami ceritakan bahawa saya meronta hendak keluar dari ikatan. Tiga orang terpaksa menahan saya. Saya pekik dengan suara halus dan satu nafas tapi teramat panjang.


Apabila ustaz bertanya, "Siapa kau?" Saya hanya tenung ustaz dengan penuh amarah. Suami ketakutan apabila saya pusing ke arah suami, "You tolong... Sakit..." Ustaz menyuruh suami membaca surah-surah suci yang terkandung dalam kitab Al-Quran dan jangan hiraukan saya. Saya kembali merenung ustaz dan tidak sedarkan diri. Apabila saya bangun, ustaz bertanya, "Nama siapa?" Saya pun sebutlah nama saya. Ustaz tepuk-tepuk badan saya. Dia pandang suami dan kata, "Saka ni..." Padahal kami tak ceritakan apapun tentang saka. Cuma cakap ada yang tidak kena saja.


Setahu saya, sekarang benda itu masih ada tetapi dah jauh dari saya. Alhamdulillah, kini saya dah ada satu anak lelaki, tahun depan dah lima tahun. Saya masih berusaha untuk membuang benda-benda ini. Kadangkala saya masih terkena gangguan tetapi tidak macam dulu.


Itu saja cerita saya. Terima kasih...

367 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page