top of page
Search

Saka Buaya Putih

Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,


Saya Zahra dari KL ingin berkongsi pengalaman tentang saka buaya putih yang diwarisi oleh makcik saya. Ceritanya berlaku di kampung saya di Sabah. Sebelum arwah Atuk saya meninggal dunia, saya sendiri telah mengikut arwahnya ke tepi sungai untuk memberi saka buaya putih ini makan pada setiap hari Khamis, malam Jumaat. Antara makanan yang diberi adalah pulut kuning, telur rebus dan ada lagi yang saya tidak berapa ingat. Sebelum memberi makan, ada beberapa potong ayat seruan yang perlu dibaca untuk memanggil buaya putih ini datang.


Selepas arwah Atuk saya habis saja membaca, saya ternampak dengan jelas buaya yang berwarna putih datang menuju ke arah kami, tapi di atas buaya itu ada sosok tubuh orang yang sedang berdiri di atas buaya tersebut. Arwah Atuk saya mengarahkan saya pulang ke rumah dahulu. Saya pun bergerak perlahan ke belakang. Arwah Atuk saya sangkakan saya sudah pulang, tetapi saya bersembunyi di sebalik pohon untuk melihat apa yang berlaku. Saya melihat arwah Atuk saya menghulur pulut kuning, telur rebus dan beberapa makanan yang lain kepada sosok tubuh yang saya nampak itu. Selesai memberi makan, dia pun pusing ke belakang tanpa menoleh ke belakang dan berlalu pergi. Saya pun lari dengan segera untuk pulang ke rumah.


Selang beberapa bulan arwah Atuk saya pun meninggal dunia. Semasa arwah Atuk saya nazak, makcik saya telah bersetuju dengan rela hati untuk menerima saka tersebut kerana tidak mahu Atuk saya menanggung sakit. Selepas makcik saya bersetuju, akhirnya arwah Atuk saya pun meninggal dunia. Semasa arwah dikafankan, saya ternampak sosok tubuh yang sama yang ada di atas buaya itu sedang berdiri di sisi jenazah arwah Atuk saya. Saya pun menceritakan hal itu kepada ibu saya tetapi ibu tidak percaya dan berkata itu hanya khayalan saya saja.


Beberapa bulan kemudian makcik saya telah dirasuk oleh saka buaya itu kerana khabarnya dia enggan memberi saka itu makan seperti yang dilakukan oleh arwah Atuk dulu. Makcik saya meronta-ronta dan menjerit meminta makan. Kerana tidak tahan dengan jeritan dan gangguan yang melanda, nenek saya pun menyediakan pulut kuning, telur rebus dan yang lain-lain. Makcik saya terpaksa dipegang oleh beberapa orang pakcik saya yang lain. Nenek yang terpaksa menyuapkan makcik saya makan. Ketika menyuapnya, makcik saya telah mengigit tangan nenek hingga berdarah sehingga darah menitis di atas lantai. Ketika makcik saya sedang sibuk makan, nenek dan semua ahli keluarga kami memutuskan untuk membuang saka tersebut.


Keesokan harinya nenek saya telah memanggil seorang pakar untuk membuang saka tersebut tetapi makcik saya pula enggan menbuang saka tersebut kerana saka tersebut telah membuatnya kaya dan hidup senang berbanding sebelumnya. Jadi pakar tersebut tidak boleh buat apa-apa kerana tuan punya badan tidak mahu membuangnya. Saya dan keluarga ambil keputusan untuk berpindah ke rumah lain kerana tidak tahan dengan gangguan yang ada di rumah tersebut. Sekarang pun saya tak tahu apa yang jadi pada makcik saya kerana kami seperti berpatah arang.


Itu sahaja kisah saya. Maaf sekiranya kurang seram. Wassalam dan Selamat Malam Seram!

2,511 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page