top of page
Search

Saka Moyang

Assalamu'alaikum KC dan para pembaca blog Malam Seram,


Saya Izni, ingin berkongsi pengalaman seram saya kepada semua tentang saka belaan moyang saya. Saya dan keluarga tinggal berdekatan dengan datuk dan nenek moyang saya disebabkan ibu saya seorang anak tunggal dan mereka tidak ingin tinggal berjauhan dari ibu saya. Ditambah lagi ibu dan bapa saya sudah bercerai.


Saya mendapat tahu moyang saya ada memelihara saka melalui ibu dan perkara ini menjadi lebih jelas kerana apabila datuk saya mabuk, ada ketikanya dia seolah-olah bercerita dengan seseorang yang tidak kelihatan tapi seakan benda itu ada di hadapannya. Satu hari, datuk saya baru balik dari majlis perkahwinan dalam keadaan mabuk pada tengah malam. Keadaan yang bising membuatkan kami terbangun. Apa yang membuatkan saya berasa seram, ketika dia sedang baring di tempat tidur sambil bercakap-cakap sendirian, tiba-tiba dia bangun dan menuju ke arah pintu dan membuka pintu rumah sambil menjemput seseorang yang tidak kami nampak!


Ketika dia membuka pintu rumah, terasa angin yang kuat menderu masuk ke dalam rumah. Waktu itu, kawasan kampung kami belum lagi mempunyai kemudahan elektrik, hanya menggunakan lampu pelita minyak tanah, membuatkan ia bertambah seram pada waktu malam. Saya mempunyai empat orang adik-beradik termasuk saya dan rumah tersebut hanya mempunyai dua buah bilik. Satu bilik untuk moyang saya dan satu lagi untuk dua orang adik dan ibu saya. Saya dan seorang lagi adik tidur di luar iaitu di ruang tamu.


Satu malam, saya terbangun sekitar jam 3 pagi kerana terdengar satu bunyi aneh. Saya memang seseorang yang sensitif dengan bunyi. Hanya mendengar bunyi telapak kaki pun saya akan terbangun. Bunyi yang saya dengar pada waktu itu seperti kuku panjang yang dikerik di dinding rumah kami. Rumah kami pada masa itu hanyalah rumah kampung yang diperbuat daripada kayu. Bulu roma saya berdiri mendengar bunyi tersebut, namun saya tidak dapat berbuat apa-apa kecuali hanya diam kerana keadaan yang gelap merumitkan keadaan lagi.


Keesokan harinya, saya memberitahu ibu tentang apa yang berlaku semalam tetapi dia hanya menjawab mungkin ada haiwan lain di bawah kolong. Kadang-kala apabila saya bersendirian di rumah, saya akan terdengar seperti bunyi tapak kaki orang berjalan di dalam rumah. Saya sangkakan ahli keluarga saya tapi apabila saya menjenguk, tidak ada sesiapapun di luar. Benda ini bukan saya sahaja yang alami tetapi juga kepada ibu dan adik-beradik saya.


Ibu pernah menceritakan dahulu apabila datuk saya membina rumah ini, tidak ada sesiapapun yang menolongnya. Dia dengan mudahnya dapat mengangkat kayu besar yang mungkin hanya dapat diangkat oleh tiga orang lelaki. Kini sudah beberapa tahun datuk meninggal dunia kerana sakit tua. Kedua-duanya meninggal dunia dalam jarak yang dekat. Belum sampai sebulan datuk meninggal, nenek pula menyusul.


Syukur Alhamdulillah, sebelum datuk meninggal dunia, dia sempat membuang saka tersebut. Dia cuma meninggalkan pesan agar tidak pergi ke atas bukit. Namun adik lelaki saya sering terlihat kelibat hitam di pokok mangga yang tumbuh berpuluh tahun lamanya di depan rumah kami.


Sekian KC. Terima kasih kerana mengetengahkan kisah saya. Assalamu'alaikum...

164 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page