top of page
Search

Sangkaan Anak Yang Memanggilnya

Assalamualaikum KC dan penggemar Malam Seram,

Saya Eda berasal dari Bukit Panjang, yang orang selalu katakan daerah ini berhantu atau jin bertendang. Sudah tiga puluh satu tahun saya tinggal di sini, Alhamdulillah semuanya ok dan kawasan ini sebenarnya tidak begitu sunyi dan tidak begitu meriah. Tapi pada kawasan-kawasan tertentu di sini memang ada sejarahnya tersendiri.

Kejadian ini terjadi pada bulan Disember 2018 di rumah saya. Masa itu, jam menunjukkan pukul 3:15 pagi, di mana anak bongsu saya yang berusia lima bulan menangis kerana lapar.

Dalam keadaan yang mengantuk, saya pun menyumbat puting ke dalam mulutnya. Kerana anak saya kalau putingnya terlepas dari mulut, dia akan merengek. Sambil saya menyumbat puting lalu saya berkata, “Ni puting Mummy dah kasi, tidur eh sayang...” sambil saya menepuk-nepuknya untuk tidur. Tapi dia tetap tidak mahu tidur kerana lapar hendak menyusu.

Jadi saya pun bangun untuk membuat susu. Saya keluar dari bilik ke dapur lalu mencuci botol dengan mata yang mengantuk. Setelah mencuci, saya lalu membuat susu. Selepas saya menutup penutup botol dan menggoncang botol tersebut, sumpah dengan jelas saya terdengar orang sebut "Mummy" di sebelah kiri saya! Bila saya toleh, tidak ada orang!


Saya pusing kepala dan pantau satu dapur, langsung tidak ada orang, cuma saya seorang sahaja. Saya sangkakan anak perempuan saya yang berusia sepuluh tahun kerana suaranya sama. Sangkaan saya salah kerana kesemua lima anak-anak saya sedang tidur. Saya buka pintu bilik satu persatu, semua dah nyenyak dibuai mimpi. Tanpa fikir banyak, saya terus masuk ke dalam bilik tidur saya untuk memberi susu kepada anak saya yang sedang menangis.

Keesokan harinya, saya pun bertanya pada anak perempuan saya, “U, semalam malam ada terbangun tak, nak pergi tandas ke atau nak minum air?”. Kenapa saya bertanya, sebab anak-anak saya ada tabiat bila mereka nampak lampu dapur menyala, mereka akan keluar ambil kesempatan untuk minum air, pergi ke tandas dan macam-macam lagi. Kalau ada makanan yang masih tersaji pun mungkin mereka akan ambil dan makan. Jawapan yang anak saya berikan merupakan "Tidak Mummy!".

Terus saya terfikir “Kalau bukan dia yang panggil 'MUMMY' pada tengah malam habis tu siapa yang panggil?” Terus saya beristighfar. Lalu saya beritahu suami saya apa yang terjadi semalam. Suami hanya berkata itu hanyalah khayalan bila kita kurang rehat atau kita terlalu penat bekerja. Tapi sehingga ke hari ni masih tergiang di telinga saya perkataan “MUMMY!” yang dipanggil pada pukul 3:15 pagi amat jelas terlampau jelas sangat-sangat.

Sekian sampai di sini saya berkongsi. Terima kasih kerana sudi berkongsi cerita saya bersama geng Malam Seram!

Assalamualaikum Wr. Wb.

160 views0 comments

Recent Posts

See All

Opmerkingen

Beoordeeld met 0 uit 5 sterren.
Nog geen beoordelingen

Voeg een beoordeling toe
bottom of page