top of page
Search

Sekolah Asrama Di Singapura

Selamat tengah malam,


Saya ingin ceritakan pengalaman saya di salah sebuah sekolah asrama di Singapura. Tak boleh diberitahu di mana, namun begitu sekiranya anda mengikut jalan cerita saya akan tetap tahu di mana. Yang tahu, tahu lah. Ia merupakan sebuah sekolah menengah tetapi murid-muridnya boleh tinggal di asrama kerana kami berlatih dua kali sehari (pada waktu pagi dan petang, sekolah seperti biasa dari 8 pagi hingga 2 petang). Pada waktu malam, kami diberi masa tiga puluh minit hingga satu jam untuk R&R, bermaksud kami boleh buat apa saja di asrama seperti berbual-bual, lepak-lepak dan buat apa yang perlu sebelum lampu wajib dimatikan pada jam 10.30 malam.


Pada satu malam, saya dan kawan baik saya Nur ingin pergi ke bilik rakan-rakan perempuan kami untuk berbual-bual kira-kira jam 9.40 malam. Sampai saja di bilik mereka di tingkat enam, saya duduk di atas katil kawan saya dan Nur duduk di katil berhadapan bersama Rina di atas katil Rina. Kami berbual semuanya seperti biasa selama kira-kira lima minit. Setelah itu saya terperasan Nur memeluk tangan Rina dengan kuat dan menyembunyikan mukanya di belakang bahu Rina. Saya perasan Rina seolah-olah membisikkan sesuatu kepada Nur tetapi saya tidak pasti apa.


Saya pun bertanya, "Kau dah kenapa? Cakaplah, apasal?" Nur mendiamkan diri lalu Rina menjawab, "Tak ada apa-apalah..." Saya pun terus berbual bersama Ila, teman sebilik Rina. Hampir tamat waktu R&R kami, saya dan Nur berjalan turun ke tingkat empat mengarah tuju ke bilik kami. Saya pun bertanya, "Tadi kenapa?" Nur pun menjawab, "Rina tadi kata, ada benda duduk sebelah kau. Kakak. Tapi aku tak nampak. Rina kata kakak tu memang selalu dia nampak dalam bilik dia..." Saya pun terdiam.


Sedang berjalan, Nur menepuk bahu saya dan berkata, "Siti, darah kotor kau tembus kat seluar!" Pada malam itu, saya tidak perasan saya kedatangan haid. Dengan rasa risau dan serba-salah dan tak memikirkan apa apa, kami berdua bergegas naik ke bilik Rina dan Ila untuk saya cuci cadar dan selimutnya, manalah tahu ada darah kotor yang terkena, tak sedap pula orang tidur dan tidak perasan ada darah kotor pada selimut atau cadar.


Tiba sahaja di bilik Rina dan Ila, kami berdua menyelak selimut dan cadar tapi tidak ada bekas darah. Pelik, setahu saya kalau duduk di mana mana saja kalau “tembus”, pasti ada bekas kotoran. Tak apalah, saya dan Nur turun ke tingkat empat untuk siap sedia tidur. Masuk ke bilik dengan rasa berat hati saya berkata, "Apa kata kita tidur sama-sama, letak tilam atas lantai..." Di dalam satu bilik ada empat orang, jadi kami berdua berbual dengan dua orang lagi kawan sebilik untuk tidur beramai, di lantai beralaskan tilam.


Malam yang lain, selalunya semua lampu dimatikan, tingkap dibuka luas, langsir diikat untuk angin malam masuk, lagi-lagi tingkap berhadapan dengan sebuah lebuhraya dan di tepinya adalah hutan, jadi angin malam agak sejuk. Namun pada malam itu, lampu dihidupkan terang, tingkap ditutup rapat dan dikunci serta langsir menutup pemandangan tingkap. Kami berbual-bual dan akhirnya semua tertidur sebab kepenatan dengan latihan serta pembelajaran pada sebelah awal siang harinya.


Tiba-tiba, kawan saya Nur menjerit dan terus terduduk, lalu saya terperanjat dan ikut terduduk. Lalu saya bertanya, "Apasal ni?" Tak sempat untuk Nur menjawab, kami berdua dengan serta-merta memusingkan kepala dan melihat ke arah tingkap yang ditutup langsir. Kedengaran ada sesuatu sedang mengetuk pintu tingkap kaca dan mahu kami membukanya, serta kedengaran seperti mengatakan sesuatu. Benda di luar itu terus mengetuk tingkap bagaikan nak pecah tingkap kaca!


Cukup jelas bagi kami untuk mendengarnya tapi kami tidak faham apa yang dikatakan benda itu. Saya terus tanya Nur, "Pukul berapa ni?" Dia menjawab, "4.16 pagi..." lalu saya menarik tangan Nur untuk masuk ke bawah selimut. Kejadian itu berlansung selama lima minit. Kami berdua membaca Ayatul Kursi sehinggalah kami berdua tertidur. Peliknya, hanya kami berdua yang mendengarnya dan yang lagi dua teman sebilik kami tidak mendengar apa-apapun. Nasiblah tergerak hati hendak tutup tingkap dan langsir pada malam itu sebelum kami mula-mula masuk tidur. Kalau tidak, tak tahulah apa yang terjadi.


Setakat ini saja cerita saya, walaupun banyak lagi kejadian aneh terjadi di asrama selama lima tahun saya berada di situ. Kalau diganggu, sudah menjadi perkara biasa buat saya dan teman-teman. Terima kasih dan selamat tengah malam!

236 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page