top of page
Search

Sepanduk Atau Hantu?

Assalamualaikum Abang KC,


Nama saya Qamarina. Saya merupakan peminat tegar Malam Seram yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Saya ada kisah yang ingin dikongsikan bersama dengan pembaca blog Malam Seram. Kisah ini berlaku sewaktu saya menaiki bas dari Kelantan untuk pulang ke kolej saya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Seingat saya kejadian berlaku sekitar jam 12.30 minit tengah malam. Pada waktu itu, saya sedang mendengar rancangan radio kelolaan KC pada satu ketika dahulu melalui saluran YouTube yang telah saya muat turun terlebih dahulu. Saya duduk di tempat duduk perseorangan di tingkat atas di dalam bas. Saya sukar untuk lelapkan mata memandangkan sedang asyik mendengar Abang KC bercerita sambil melihat ke arah luar jendela bas.


Sewaktu melalui Jalan Raya Timur ke Barat yang menghubungkan Jeli ke Gerik, bas bergerak mungkin dalam kelajuan 60km/j kerana jalan agak gelap tanpa lampu jalan. Dalam samar-samar cahaya lampu bas, saya ternampak sebuah tempat menunggu bas di sebelah kiri jalan. Pada mulanya, saya ingatkan ada sepanduk yang sudah rosak dan kotor tergantung di sana tetapi saya semacam tidak puas hati kerana ia seolah-olah memanjang seperti kelihatan seseorang sedang duduk di bangku tersebut.


Bas sedang bergerak, tetapi saya sempat menoleh ingin memastikan apa yang saya lihat itu betul atau tidak. Agak sukar bagi saya untuk mengecam kerana belakang itu adalah hutan. Apabila saya toleh ingin meneliti apakah benda yang saya nampak itu seperti sepanduk itu, ia seolah-olah macam kelibat manusia berambut panjang sedang duduk.


Kita lazimnya akan tahu jika seseorang yang memiliki ketinggian yang berbeza, cara dia duduk dan bagaimana posisi badannya. Cara benda itu duduk seolah-olah ia tinggi. Lama saya menoleh ke belakang sampaikan tempat itu hilang dari pandangan kerana cahaya lampu bas sudah hilang.


Beberapa saat apabila saya pusing ke hadapan, tiba-tiba tayar bas meletup. Ya Allah tayar pecah! Saya sampaikan terkedu seketika. Berpeluh-peluh kerana terlampau takut. Suara-suara penumpang semakin riuh apabila mereka masing-masing tersedar dari tidur. Pemandu bas dan seorang pembantunya kemudian turun untuk menggantikan tayar bas.


Pada waktu itu, saya tidak tahu hendak buat apa. Kemudian saya telefon kekasih saya. Mujurlah pada waktu itu, dia masih belum tidur. Saya memintanya menemankan saya berbual dan kami berbual sepanjang sejam untuk hilangkan rasa takut. Selepas berbual dengan kekasih saya, apa lagi terus sambung mendengar lagi rancangan KC di YouTube. Maklumlah hati keras! He he he!


Terima kasih kerana mengetengahkan kisah saya. Selamat malam Abang KC!

2,939 views3 comments

Recent Posts

See All
bottom of page