top of page
Search

Sering Diganggu Dalam Rumah...

Assalammu'alaikum KC serta pembaca blog Malam Seram,

Panggil saja saya Kakna (bukan nama sebenar). Saya nak berkongsi mengenai rumah sewa yang saya tinggal sekarang. Cerita yang saya akan sampaikan mungkin tidak 100% tepat dan terperinci sebab saya pun dah lupa lupa sedikit perincian kejadian. Saya dan suami menyewa satu apartmen di Setia Alam. Saya bekerja di Shah Alam, tunang saya ketika itu (iaitu suami saya sekarang) bekerja di Setia Alam.


Rumah di Setia Alam agak mahal sedikit jadi kami berdua setuju untuk menyewa di Setia Alam. Dia yang mencari rumah sewa melalui khidmat seorang ejen rumah. Kami bernikah bulan November 2019. Suami saya menyewa rumah itu pada bulan Oktober sebab dia nak masuk sebulan awal untuk kemas rumah, agar nanti selepas bernikah, saya boleh masuk rumah itu dengan selesa. Selepas majlis perkahwinan, saya berpindah ke apartmen Setia Alam ikut suami. 


Sewaktu berurusan dengan ejen, kami sebenarnya meminta unit yang lain. Sekali masa datang hendak tengok rumah, lain pula yang ditunjuk dalam kawasan yang sama, tetapi cuma blok yang lain. Yang kami berkenan unit yang berada di blok hadapan. Semasa datang tengok rumah, ejen tunjukkan kami blok belakang iaitu Blok 6. Blok 6 ini pemandangannya menghadap hutan / bukit-bukau dan agak sunyi sedikit kerana blok ini macam jauh sikit dari kemudahan yang apartmen sediakan seperti gim, kolam renang, gelanggang futsal & badminton, dan sebagainya. Senang cerita, terpencil sedikit. Di sini pun sunyi tak macam blok lain, meriah sikit sebab orang lalu-lalang untuk gunakan kemudahan yang disediakan. Oleh kerana rumah yang ejen ini tunjuk lebih murah berbanding blok hadapan, dan katanya blok hadapan itu kami lambat pastikan sama ada hendak ambil atau tidak, ia telah disewa oleh orang lain, lantas kami tiada pilihan.


Pertama kali datang tengok rumah tersebut, Masya Allah, kotornya rumah itu! Macam dah lama ditinggalkan. Sawang-sawang, dinding kotor dan tandasnya kuning. Mangkuk jamban pun bukan setakat kuning, dah berwarna coklat jadinya. Kami cuci pun tak boleh hilang kotorannya. Guna peluntur pun sama tak dapat ditanggalkan kotorannya. Saya tanya ejen, samada rumah ini dah lama kosong ke, dia berkata tidak, baru kosong sebab penyewa lama tak sambung kontrak. Tapi tengok keadaan rumah macam dah lama ditinggalkan sebab bersawang bagai, dengan ada lampu yang dah terbakar. Saya rasa ejen itu tahu saya tak berkenan, jadi dia tawarkan tunang saya untuk perbaiki sedikit rumah itu, ganti apa yang patut dan cat di mana yang kotor sangat. Ejen itu cat dinding, ganti tombol pintu yang rosak, tukar bol lampu yang terbakar.


Saya pada mulanya memang tak mahu rumah itu langsung, tapi terfikir balik saya kasihankan tunang saya sebab dia perlu banyak belanja duit waktu itu. Yelah, mana nak nikah, majlis lagi, rumah sewa lagi, kesian pula padanya, jadi saya pun setuju secara terpaksa, walaupun tak berapa berkenan dengan rumah itu. Mula-mula saya berleter juga pada tunang yang saya rasa tak sedap dengan rumah itu sebab macam dah lama ditinggalkan dan kotor. Dia tahu saya penakut sikit orangnya, tetapi tunang saya pujuk dan dia kata akan uruskan semua (bersihkan rumah) sebelum saya berpindah masuk selepas kami berkahwin. Akhirnya, saya pun setuju. 

Selepas berkahwin dan berpindah ke rumah itu, saya perasan beberapa perkara pelik seperti pintu tandas dan pintu rumah yang terbuka sendiri pada waktu malam, bunyi bising di rumah tingkat atas (bunyi kerusi, meja, perabut ditarik, guli jatuh di atas lantai), lampu & kipas dihidupkan dengan sendiri, dan bau busuk yang kadang-kadang ada. Perkara-perkara ini selalu terjadi bila saya keseorangan di rumah. Suami saya kerja syif. Kalau dia kerja pagi, nanti petang dah balik, tapi kalau dia kerja petang, malam baru pulang. Bila dia bekerja syif petang atau malam yang saya selalu susah hati sebab saya takut keseorangan di rumah pada waktu malam. 


Saya pernah beberapa kali diganggu pada waktu malam. Suami saya tidur awal. Saya tidur lewat sedikit. Sedan baring, tiba-tiba pintu tandas depan terbuka! Boleh nampak dari bilik saya sebab saya tidur sambil pintu bilik kami tak ditutup rapat. Saya tak fikir apa-apa kerana sangkakan mungkin angin di luar rumah meniup kencang dan menyebabkan ia terjadi. Saya bangun dan pergi tutup pintu tandas tersebut. Bila saya baring semula, pintu itu terbuka sekali lagi. Saya tak suka pintu itu terbuka, saya pun bangun dan tutup sekali lagi. Bila saya baring semula, ia terbuka lagi. Pintu itu bukan senang dibuka, tombolnya seperti ada sejenis kaedah untuk tidak mudah dibuka begitu saja. Boleh pula terbuka macam itu. Saya pun malas nak layan. Saya tutup pintu bilik saya supaya saya tak nampak pintu tandas itu. Lat beberapa minit, tiba-tiba pintu tandas di bilik saya pula yang terbuka. Cara terbuka bukan seperti perlahan ditiup angin tetapi macam tersentak. Terkejut saya dibuatnya. Kali ini saya terus kejutkan suami dan menyuruhnya yang tutup. 

Saya perasan, beberapa kali kalau kami keluar makan terutama pada waktu malam, kami biasa pastikan semua suis ditutup kecuali satu lampu sahaja. Bila pulang rumah saja kelihatan kipas di ruang tamu atau di bilik pakaian akan hidup dengan sendirinya. Peliklah, sebab saya yakin saya dah matikan semua suis dan saya biasa akan periksa kali kedua sebelum keluar. Saya yakin sangat yang saya dah matikan semua suis. Tak mungkin suami yang hidupkan sebab biasanya apabila saya buat pemeriksaan kali kedua, dia berada di depan rumah sambil memakai kasut. Kami biasanya hidupkan satu lampu di ruang tamu sebab tak mahu rumah gelap. Ni balik rumah tengok kipas dihidupkan, pintu yang mana tertutup pun terbuka. Suami akan pandang saya sambil membuat memek muka seperti "Ohh lupa matikan kipas dan tutup pintu ya?" 


Ada sekali kami sedang tonton televisyen pada waktu senja, tiba-tiba terbau sesuatu yang hanyir, macam bau telur mentah yang hampir busuk. Saya tegur dan bertanya pada suami samada ada dia ada bau benda yang sama, dia kata bau. Tak lama selepas itu, bau itu bertukar seperti bau bangkai. Kali ini saya dah mula nak rasa marah sebab busuk sangat. Entah mana datang bau busuk ini. Saya sangkakan mungkin dari arah rumah jiran sebelah. Saya tanya suami lagi kalau dia ada bau lagi? Dia kata dia tak bau apa-apa. Banyak kali saya tanya, saya bagi tahu ada bau macam bangkai kuat sangat, dia boleh kata dia tak bau apa-apa. Saya tak tahan kerana busuk sangat, suami saya tenang saja macam tak ada apa-apa. Dia kata dia tak bau busuk langsung. Cuma saya seorang saja yang bau. Mulai dari kejadian itu, saya dah mula rasa tak sedap. Mungkin sebab awal tadi saya yang mula tegur bau hanyir sebab itu bau bertukar lebih busuk saya seorang saja yang bau.


Sejak masuk di rumah itu, tidur malam saya selalu ditindih dan tak boleh bergerak. Pernah satu malam, saya sedang baring di dalam bilik, bunyi di tingkat atas tak henti-henti berbunyi dan makin lama makin menjadi-jadi. Tiba-tiba ada bunyi ketukan di tingkap bilik saya. Ketukan pertama berbunyi tiga kali "Tuk tuk tuk". Saya semacam tersentak, maklumlah rumah saya tingkat di tingkat 6, mana ada orang boleh berdiri di luar sambil ketuk tingkap? Ketuk macam nak masuk. Waktu itu saya takut nak pandang tingkap, jadi saya diam sekejap sambil berfikir, apa yang berada di luar. Sambil berfikir, saya capai telefon bimbit nak mesej suami konon nak hilangkan rasa takut, tiba-tiba bunyi ketukan itu kedengaran sekali lagi. Jelas ia ketuk dengan kuat sekali. Saya takut lalu terus bangun keluar bilik, capai kunci kereta dan keluar, tunggu di luar sampai suami balik. 


Ada satu hari, suami balik dari kerja dia masuk saja ke dalam rumah, terdengar rumah di atas bising sangat. Saya mengadu saya tak dapat tidur sebab bising. Si suami terus naik tingkat atas konon nak minta orang atas senyap sedikit sebab bising sangat perabut tarik sana sini. Tak ada rasa bertimbangrasa ke duduk apartmen lepas itu memekak saja kerjanya. Untuk pengetahuan semua, rumah atas itu kosong! Tak ada orang pun! Suami saya baru keluar, tahu-tahu dah balik semula. Saya rasa pelik kenapa cepat sangat? Dia kata rumah atas kosong. Saya tak puas hati, pada sebelah siangnya saya sendiri naik ke atas nak tengok siapa yang tinggal di sana sambil ingin bertanya kenapa bising sangat. Betul kata suami. Rumah itu kosong! Buntu saya dibuatnya.


Saya mengadu pada suami yang saya sudah tak tahan, saya takut sebab kerap diganggu, tetapi suami asyik berkata tak ada apa-apa. Sampai satu hari saya merajuk dengan suami sebab saya ingatkan dia tak kisahkan tentang saya. Rupanya dia pun diganggu. Dia cakap tak ada apa-apa kerana tak mahu saya takut atau risau. Sewaktu saya pergi kerja, rupanya dia semah rumah itu, tapi disebabkan dia tak nak saya fikir bukan-bukan, dia rahsiakan dari saya. Sebab dia tahu, kalau dia bagitahu saya, nanti tiba giliran dia bekerja syif malam, saya akan tunggunya di luar. Dia pulang dari kerja baru saya masuk rumah. Saya pernah lepak dalam kereta di tempat kerja suami dan tunggu sampai waktu dia habis bekerja. Paling kerap, saya akan kerja lembur terus di pejabat. Suami nak dekat habis kerja baru saya balik. Punyalah takut waktu itu. 

Saya dah beberapa kali sakit pinggang sampai membongkok, sebab saya tak boleh berdiri tegak. Bayangkan saya berjalan seperti nenek tua di dalam rumah. Lepas satu, satu penyakit saya ketika itu. Bila pergi hospital atau klinik, doktor cakap tak ada apa-apa. Pada waktu itu, saya perasan saya akan sakit selepas waktu Asar dan ketika saya duduk di ruang tamu sekitar waktu itu sebelum Maghrib. Sepanjang malam saya akan sakit. Waktu siang saya rasa seperti normal. Bermacam ubat saya makan. Saya dah pergi beberapa klinik dan hospital, rasanya beribu ringgit duit saya habi,. tapi sama saja. saya masih sakit. Sampailah saya pergi berubat cara kampung.


Saya ada bela kucing. Waktu sakit ini, kucing saya ikut ke mana saya pergi. Saya duduk depan nanti dia ikut. Masuk bilik pun dia ikut, tapi yang pelik, kucing saya akan duduk di kaki menghadap pintu tandas. Orang yang berubatkan saya kata ada benda yang tak kena dengan rumah saya dan benda ini menyinggah ke dalam badan saya. Kalau saya biarkan, takut dia duduk dalam badan saya. Saya pun tak tahu nak percaya atau tidak, tapi semasa dia mengurut saya untuk membuang benda itu, dia berkata benda itu dekat bahagian badan antara perut ke kaki kiri. Semasa urut nak buang benda itu, memang terasa sakit dan panas yang lain macam di bahagian antara perut ke kaki kiri. Sewaktu berubat punyalah sakit, saya sampai menangis semasa menarik benda itu keluar.

Sekarang Alhamdullilah dah tak sakit-sakit, cuma kadangkala bunyi bising di atas rumah masih tetap kedengaran, kadang-kadang terdengar bunyi guli bertaburan. Nasib baik tak lama lagi kami akan pindah rumah. Harap rumah baru nanti keadaannya akan lebih baik lagi. Sampai di sini sahaja. Minta maaf kalau cerita saya panjang dan membosankan. Terima kasih dan selamat malam...

670 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page