top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Sesuatu Mengekori Pulang Ke Rumah...

Assalammualaikum KC,


Saya Nur Syafiqah Syazana berasal dari Johor Bahru. Di sini saya hendak kongsikan pengalaman saya semasa 2017. Seingat saya pada waktu itu terjadi pada hari Sabtu, saya dan tunang saya (sekarang sudah berkahwin), kami keluar dan pulang ke rumah dalam pukul 11 lebih atau 12 lebih malam. Semasa itu kami menunggang motosikal untuk pulang ke rumah. Alhamdulillah semasa perjalanan kami tidak mengalami sebarang gangguan, tetapi sebaik sahaja tiba di blok saya (Blok Cempaka), saya turun dari motor dan kedengaran seperti suara perempuan mendayu-dayu seperti sedang nangis pun ada.


Saya terdiam dan hanya memandang tunang saya (suami). Kami terdiam lalu menaiki tangga. Saya memang dapat merasakan sesuatu semasa menaiki tangga tetapi saya hanya diam dan tidak mahu menegur. Tiba di depan rumah saya (saya duduk di penjuru blok), tunang ingin membuka pintu. Saya bertanya kepadanya, “Awak dengar tak apa yang saya dengar tadi?” Dia berkata, “Bunyi kucing gaduh kot?” Saya bertanya kembali, “Takkanlah bunyi kucing macam itu?


Dia hanya diam sahaja, tidak membalas persoalan saya. Lalu saya pergi ke sangkar kucing saya (tiga ekor kucing) dan saya periksa makanan dan minuman mereka serta sama ada sangkar kucing saya berkunci atau tidak. Selepas itu, saya memasuki rumah dan memberi salam, terus saya menuju ke bilik adik saya bersama tunang saya. Saya menyapa dan berbual dengan adik saya sambil bertanya, “Ibu dengan Abah dah tidur? Akak ada belikan makanan ni...


Di rumah ada kedua ibu bapa saya dan mereka sedang tidur, adik lelaki saya pula sedang bermain permainan di komputer. Tunang saya pergi ke bilik air untuk cuci kaki. Saya kemudian ke bilik ibu dan abah saya dan kejutkan mereka untuk memberitahu mereka yang saya sudah pulang. Ibu dan abah saya adalah golongan OKU (tidak boleh bercakap dan mendengar, jika saya berkomunikasi dengan mereka akan menggunakan bahasa isyarat).


Selepas itu, saya memasuki semula ke dalam bilik adik saya. Di dalam bilik ada saya, adik saya dan tunang. Kami bertiga berbual dan bersembang sehingga saya terasa mengantuk. Adik saya menyedari bahawa saya rasa mengantuk, menyuruh saya cuci kaki semua dan buat apa yang perlu, tetapi saya degil kerana terlalu penat dan mengantuk sehingga terlelap. Keadaan di ruang tamu sangat gelap hanya bercahayakan lampu dapur dan bilik adik sahaja. Adik saya ingin pergi ke dapur untuk mengambil minuman, dia duduk sebentar di ruang tamu dalam keadaan gelap sambil bermain dengan telefon bimbit.


Tiba-tiba adik saya menjerit memanggil nama saya, saya yang terkejut lalu terbangun tetapi saya tidak pergi ke arah adik saya, hanya berkata “Nak apa?” Adik saya menjerit lagi nama saya sebanyak tiga kali, “Epi! Epi! Epi!" dalam keadaan takut. Lalu adik saya berlari menuju ke saya yang berada di dalam biliknya. Dia dalam keadaan takut memberitahu, “Ada sesuatu di pintu! Kau tak kunci pintu ke ?” Saya hanya memandang wajah tunang saya dengan rasa kehairanan kerana setahu kami selepas kami masuk rumah, kami kunci pintu.


Saya menjenguk dari bilik adik saya dan memandang ke arah pintu. Saya nampak pintu terbuka sedikit dan cuba anda bayangkan saya ternampak di celah pintu itu ada kain berwarna hitam dan putih. Saya tak pasti sama ada kain atau apa, tapi saya nampak begitu jelas kain hitam putih berkibar-kibar di celah pintu rumah saya. Kami terkejut! Bukan saya seorang yang nampak tapi tunang dan adik saya juga nampak. Tunang saya berkata, “Kita pergi bilik Abah, kejut mereka dan baca Ayat Kursi serta surah 3 Qul...”


Adik dan tunang saya tidak dapat melakukan apa-apa. Saya memang seorang yang lemah semangat dan selalu mendengar dan nampak “benda” yang ghaib. Saya juga pernah mengalami pengalaman histeria. Saya memeluk adik saya dengan kuat dan tidak memandang ke arah pintu. Setiba di bilik ibu dan abah, adik saya mengejutkan mereka dan abah bangun lalu menghidupkan lampu di ruang tamu dan memeriksa pintu tersebut.


Sejurus sahaja abah membuka pintu, alangkah terperanjatnya kami, kucing saya yang berada di dalam sangkar lompat masuk ke dalam rumah. Sekali masuk ke dalam rumah sampai tiga ekor serentak, sambil ketiga-tiganya seperti memberitahu sesuatu. Kucing saya bising “Meow, meow, meow!" Lalu saya membaca ayat suci dan memegang kucing saya seraya berkata, “Sayang kenapa ni? Tak apalah malam ni tidur dalam rumah eh?" lalu kucing-kucing saya diam dan baring di bawah meja makan.


Saya dimarahi kedua ibubapa saya kerana pulang lewat malam dan tidak cuci kaki sejurus tiba di rumah. Abah saya sudah pesan jika merasakan “sesuatu”, janganlah masuk rumah terus, tapi bacalah ayat-ayat suci sebelum memasuki rumah kerana kita tidak tahu apa yang mengekori kita. Kami hairan bagaimana sangkar kucing saya boleh terbuka. Siapakah yang membukanya dan apakah yang saya lihat di sebalik celah pintu? Suara siapakah yang saya dengar semasa menaiki tangga?


Itu sahaja cerita saya. Terima kasih...

196 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page