top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Siapa Di Muka Pintu Bilik?

Assalamualaikum dan selamat tengah malam buat KC dan pembaca blog Malam Seram,


Nama saya Azwan, boleh panggil saya dengan panggilan Wan berasal dari Merlimau, Melaka, Malaysia. Saya ingin persembahkan satu kisah benar dari pengalaman saya sendiri. Kisah ini berlaku pada tahun 2011. Ketika itu, saya bertugas di Teluk Intan (dahulu dikenali sebagai Telok Anson), di daerah Hilir Perak, Perak Darul Ridzuan. Saya bertugas di sana sejak tahun 2009. Ketika itu masih bujang dan telah menyewa sebuah rumah dua tingkat kos rendah di sebuah taman perumahan yang berhampiran dengan tempat kerja. Rumah jiran saya kiri kanan pula berbangsa India.


Saya menyewa dengan seorang lagi rakan setugas bernama Asrul dengan harga sewa bulanan yang mampu kami bayar. Keadaan rumah ini di mana tingkat bawahnya terdiri dari ruang tamu, dapur dan bilik mandi. Tingkat atas mengandungi tiga buah bilik tidur. Bilik tidur utama dibina secara melintang dan memanjang serta cermin tingkap menghadap bahagian belakang rumah, manakala dua buah bilik lagi bertentangan dan bersebelahan dengan bilik tidur utama (berkongsi dinding) serta tingkap cermin dua buah bilik menghadap bahagian hadapan laman rumah dan jalan di taman perumahan. Bahagian tengah antara ketiga-tiga bilik adalah ruang yang terdapatnya tangga untuk turun naik.


Bilik tidur utama tersebut telah saya jadikan sebagai bilik tidur saya selama saya menyewa. Biasalah, orang bujang kalau menyewa jarang bawa atau beli banyak perkakas rumah. Tempat tidur saya, cuma dialas dengan tilam di lantai simen yang telah saya pasangkan tikar getah. Ada satu almari kain untuk simpan baju. Pintu bilik tidur utama pula, tombolnya dah rosak. Nak dibaiki pun, tapak tombol pintu dah pecah. Mungkin angkara penyewa lama. Sebagai alternatif, saya cuma sendalkan getah penyendal ke bahagian bawah daun pintu. Itu pun ketika hendak tidur.


Pada satu malam, saya masuk tidur awal sikit. Kalau tidak silap jam 10.00 malam. Sementara rakan serumah saya, Asrul masih lagi tonton televisyen. Kebiasaannya saya tidur jam 12.00 tengah malam, tapi pada hari tersebut oleh kerana terlalu penat dengan tugasan di pejabat, maka saya masuk tidur lebih awal. Sekitar jam 1.00 atau 2.00 pagi (anggaran saya), saya terjaga dari tidur dan terduduk apabila terdengar pintu bilik tidur saya seperti ditolak dengan kuat hingga terhempas ke tepi dinding bilik sebelah kiri.


Dalam keadaan mata mengantuk, saya memandang ke arah muka pintu. Saya dapati seperti ada bayangan yang cukup hitam dengan mata berwarna merah sedang memerhatikan saya tetapi langsung tidak kedengaran suara atau ada pergerakan. Kebetulan malam itu, keadaan bilik memang gelap, lampu jalan di lorong belakang rumah pula tidak menyala. Jadi saya pun tidak dapat melihat dengan jelas siapa yang berada di muka pintu bilik saya.

Pada awalnya, saya fikirkan rakan serumah saya yang menolak pintu bilik saya sehingga terhempas ke dinding. Dalam keadaan yang masih mamai dan mengantuk, terdetik dalam hati, “Kenapa Asrul tidak hidupkan lampu? Ada masalah apa pula Asrul hempas pintu pagi-pagi buta ni?” Rakan serumah saya Asrul sedia maklum yang suis lampu dan kipas siling bersebelahan dengan muka pintu. Lama juga saya memerhatikan bayangan tersebut, ada dalam seminit dua. Kemudian, bila tengok masih tiada respon, saya kembali tarik selimut dan tidur semula sebab terlalu mengantuk.


Keesokan paginya, apabila saya bangun tidur untuk mandi, solat Subuh dan pergi ke tempat kerja, saya jadi pelik. Dalam hati tertanya-tanya, ”Kalau betul malam tadi Asrul yang tolak pintu bilik, kenapa tidak ada kesan tikar getah tertolak renyuk dan getah penyendal pintu tidak teralih?” Keadaan pintu pagi itu seperti biasa, tiada kesan ditolak dari luar. Saya abaikan, pergi mandi, solat dan terus ke tempat kerja.

Malam berikutnya, ketika menonton televisyen bersama rakan serumah, saya bertanya kepada Asrul:


Rul, malam semalam kau ada tolak pintu bilik aku ke?


Taklah, aku tidur. Kenapa pula?” jawab Asrul.


Okay, tak ada apa...” balas saya.


Beberapa hari kemudian, kebetulan saya duduk berbual dengan seorang abang pengawal keselamatan yang bertugas di tempat saya bekerja yang mana beliau juga duduk di taman perumahan yang sama dengan rumah sewa saya. Cuma blok rumah beliau di bahagian belakang agak jauh dari rumah sewa saya. Beliau ada membeli sebuah rumah teres di taman perumahan tersebut dan menginap bersama keluarga beliau. Saya pun bercerita tentang kejadian yang saya alami, kebetulan rakan serumah saya Asrul pun ada. Abang pengawal keselamatan pun bercerita hal yang saya sendiri tidak sangka.

Beliau mengatakan bahawa ada penduduk di taman perumahan kami yang membela saka Hantu Raya. “Mungkin salam perkenalan...” katanya. Saya pula berseloroh, “Kenapa dah masuk tiga tahun saya menyewa, baru nak salam perkenalan?” Rakan serumah saya Asrul pula mencelah,”Pasal tu ke kau tanya aku samada aku tolak dan jengah bilik kau ya?” “Yup, pasal itulah. Nak tau saja...”jawab saya. “Kenapa kau tak bagitahu aku cerita sebenar?” soal Asrul. “Alah, tak ada apa pun. Benda tu sekali saja terjadi...” balas saya.


Abang pengawal keselamatan pula nasihatkan saya dan rakan serumah, jangan tinggal solat dan kalau boleh rajin mengaji. Alhamdulillah, pengalaman itu berlaku sekali saja selama saya menyewa rumah tersebut hingga saya bertukar tempat kerja pada tahun 2013. Begitulah pengalaman kisah seram saya yang tidak berapa seram.


Sekian, terima kasih KC kerana sudi mengetengahkan pengalaman saya. Assalamualaikum dan selamat pagi...

357 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page