Assalamualaikum KC,
Saya Nur, seorang bekas pelajar IPTA di Selangor, Malaysia. Kejadian ini berlaku pada tahun 2017. Saya menyertai sebuah pasukan berseragam askar simpanan di IPTA yang saya belajar ketika itu. Kami ada latihan ketenteraan setiap minggu berselang-seli, hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu. Latihan kami bermula dari petang Jumaat sehinggalah malam Sabtu. Faham-faham sajalah latihan askar ini bagaimana. Dari awal waktu Subuh sehinggalah ke larut malam masa yang kami sumbangkan.
Kami akan bangun awal-awal pagi lagi sebelum Subuh untuk mandi, siapkan pakaian untuk kami buat aktiviti sepanjang hari, mengilatkan kasut, dan sebagainya. Seperti biasa, sesudah mandi, saya akan bersiap pakai pakaian yang telah saya siapkan awal-awal sebelum mulanya latihan pada minggu itu. Setelah azan Subuh, saya terus solat Subuh dan keluar untuk memakai kasut untuk aktiviti senaman pagi. Tudung memang saya dah pakai sebelum solat.
Kisahnya bermula ketika saya sedang memakai kasut dalam keadaan berdiri dan kaki diletakkan di besi penghadang yang ada depan bilik saya, jadi badan saya membongkok sedikit. Dalam masa yang sama, kawan saya Amnah, juga sedang memakai kasut tetapi dalam keadaan duduk di lantai dekat pintu. Kami rakan sebilik hanya berdua yang menyertai pasukan berseragam ini. Sementara, bilik kawan saya lagi seorang, Nadirah berada bertentangan dengan bilik saya. Blok kami berbentuk petak yang di tengah-tengahnya berkawasan lapang. Jadi sekeliling kawasan lapang itu dikelilingi bilik-bilik pelajar dan di hadapan bilik adalah penghadang besi untuk mengelakkan orang daripada terjatuh. Bilik saya di tingkat dua.
Setelah siap saya memakai kasut, saya tegakkan badan saya untuk meninjau bilik kawan Nadirah untuk lihat sama ada dia telah siap ke belum. Bilik Nadirah ada tiga orang lagi kawan yang menumpang. Jadi, untuk empat orang tinggal dalam satu bilik agak sempit sebab kalau hendak selesa, hanya dua orang berkongsi satu bilik. Lagi satu saya terlupa nak bagitahu, kami diwajibkan memakai tudung putih.
Saya sedang melihat bilik Nadirah, hanya lampu belajar yang dihidupkan. Jadi suasana bilik itu kelihatan suram dari mana saya berdiri dan meninjau. Semasa Nadirah buka pintu biliknya, saya nampak empat orang keluar dari bilik itu termasuk Nadirah. Semasa Amnah masih memakai kasutnya, terus saya bercakap tanpa memandangnya dan berkata, "Empat orang eh dalam satu bilik? Sempit kot!" Amnah tidak membalas apa-apa.
Kami turun dari blok untuk memulakan sesi berkawat dan berbaris. Saya turun bersama Amnah. Sewaktu sesi berbaris bermula, Am berbaris di depan saya, Nadirah pula di sebelah saya. Kami berbual kosong sebelum kehadiran diambil. Saya tahu yang lagi seorang kawan yang tumpang bilik Nadirah selalu datang agak lambat sikit. Saya tanya Nadirah, "Eh, Intan mana? Tak nampak pun dalam baris..." Nadirah menjawab, "Intan mana datang pagi ni? Semalam pun tak tidur bilik aku. Dia kata dia masuk tengahari nanti..."
Saya mula rasa terpinga-pinga dan tertanya-tanya. Saya yakin memang nampak empat orang yang keluar dari bilik itu. Saya mungkin rabun sedikit tetapi untuk nampak orang dari jauh memang saya nampak dengan jelas, lagi-lagi apabila ternampak semuanya bertudung putih. Memang jelas! Nad menjawab, "Memang yang ada dalam bilik aku tadi tiga orang saja. Kau jangan nak takutkan aku..." Sampaikan Amnah menyampuk, "Haah, Nur pun ada cakap tadi, 'Ada empat orang eh sekali dalam satu bilik?"
Persoalannya, siapa lagi seorang yang saya nampak tadi?
Terima kasih... Selamat tengah malam...
Comments