top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Siapa Seterika Di Belakang?

Selamat malam KC,


Saya Adik, dari Sabah. Saya ingin berkongsi satu pengalaman yang paling seram dan hingga sekarang, peristiwa ini tidak boleh saya lupakan. Saya seorang yang berani kalau masuk bab cerita seram atau ternampak kelibat pun saya tidak takut. Kawan-kawan saya semua penakut, jadi kalau mereka takut, mereka akan membawa saya untuk jadi teman mereka bila hendak ke tandas atau ke mana sahaja. Mungkin cerita ini ringkas bagi orang lain atau tidak menyeramkan, tetapi bagi saya amat menyeramkan.


Kejadian ini berlaku pada tahun 2011. Waktu itu saya berada di dalam tingkatan lima. Saya tinggal di sebuah asrama integrasi. Hari itu malam Sabtu, biasalah di asrama ada jadual untuk balik ke kampung masing-masing. Tapi bagi kami yang tinggal jauh, tidak dapat pulang, hanya boleh guna telefon bimbit untuk berhubung dengan keluarga. Saya masih ingat lagi, ketika itu sekitar jam 7 malam. Kebetulan hari itu minggu pulang, jadi pelajar yang

tinggal berdekatan dah pulang ke kampung mereka.


Saya telah memaklumkan kepada kawan-kawan saya yang masih ada di asrama dengan saya, yang saya hendak mengulangkaji pelajaran pada malam itu. Saya memberitahu bahawa saya hendak belajar sampai jam 12 malam dan sesiapa yang hendak saya tolong cas telefon bimbit boleh bagi saya. Jadi kedua-kedua orang kawan sebilik saya pun menghulurkan telefon bimbit bersama alat cas mereka sekali dalam sebuah plastik hitam.


Pada masa yang sama pada hujung minggu tersebut, asrama kami telah digunakan oleh pengawas sekolah. Mereka terpaksa menginap di sana selama dua hari kerana ada program khas untuk mereka, jadi bilik pelajar yang pulang digunakan mereka. Sekitar jam 8 malam, saya mula mengemas buku pelajaran untuk dibawa masa ulangkaji nanti. Setelah siap mengemas, saya terus mengangkat buku dan plastik hitam yang diberikan oleh kawan saya tadi.


Jam 10 malam tepat, saya masih duduk di bilik belajar dan masih mengulangkaji pelajaran maklumlah peperiksaan SPM bakal menjelang, takutlah kalau gagal. 10.30 malam, saya dengar suara riuh di bilik sebelah. Saya biarkan saja sebab saya tahu itu suara pengawas yang baru lepas mengikuti program di dewan tadi. "Oh dah selesai program mereka..." bisik saya dalam hati. Jadi saya pun terus mengulangkaji lagi.


Sedang khusyuk membaca, saya terdengar seperti ada yang hendak seterika baju di dalam bilik belajar menggunakan meja di belakang. Saya sangkakan pengawas di tingkat atas yang turun ke bawah dan masuk ke dalam bilik belajar untuk melakukannya. Saya tidak menghiraukan pada mulanya, tetapi bunyi itu semakin lama semakin kuat. Saya terus letak buku di meja lalu pergi ke meja yang dimaksudkan. Saya tidak nampak sesiapa pun di meja tersebut lalu saya terus menyambung bacaan saya tadi.


Setelah beberapa minit saya menyambung bacaan saya, kedengaran seperti bunyi itu semakin lama semakin kuat dan menyeramkan. Kali itu bunyi seperti seseorang sedang memusing perlahan fungsi suhu seterika itu. Saya mula rasa takut dan meremang bulu roma, lalu saya kemas buku-buku saya dan capai satu telefon bimbit yang telah saya tolong caskan tadi.


Saya mula mencabut palam cas lalu meletakkan telefon bimbit ke dalam plastik hitam tadi. Ada satu lagi telefon bimbit yang perlu saya ambil dari soket. Lalu saya pun menarik palam cas itu tetapi kali itu ia seperti ditahan oleh seseorang! Saya terus tarik tangan saya dari palam itu. Bunyi seterika kedengaran semakin kuat. Beberapa minit saya cuba lagi menarik palam itu. Tangan dah menggeletar, akhirnya berjaya dicabut. Saya terus angkat semua barang saya lalu berlari sekuat hati.


Sedang saya berlari seorang pengawas telah cuba menenangkan saya dan dia cuba bercakap dengan saya, tetapi saya terus masuk ke bilik dan letakkan barang-barang yang saya bawa di lantai bilik, biar kawan-kawan sebilik saya mengambil saja telefon bimbit mereka dari situ. Mereka seolah-olah terkejut melihat saya balik ke bilik dalam keadaan tergesa-gesa. Mereka cuba tanya apa yang terjadi pada saya, tetapi saya tidak menjawab lalu naik ke katil dan tidur.


Itu saja kisah saya. Sekian terima kasih!

534 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentarios

Obtuvo 0 de 5 estrellas.
Aún no hay calificaciones

Agrega una calificación
bottom of page