top of page
Search

Siapa Yang Buka Pintu Bilik Tidur?

Assalamualaikum KC dan peminat Malam Seram, saya Anis berasal dari Pulau Pinang, Malaysia. Saya ingin kongsikan pengalaman saya yang berlaku pada Januari 2019 semasa belajar dan menyewa berdekatan dengan universiti saya.

Saya menyewa sebuah unit kondominium bersama lima orang rakan sekelas saya, dan saya tinggal di bilik utama bersama dua orang lagi rakan saya. Katil dalam bilik saya bersaiz "Queen" and bertilam jenis "spring". Saya jenis yang tidak boleh tidur kalau tilam itu bergoyang, lebih-lebih lagi apabila rakan saya naik ke atas katil. Sebab selalunya saya akan tidur awal dalam jam 11 malam. Jadi saya akan hampar tilam dan tidur di bawah, biarkan dua lagi rakan saya tidur di atas katil.


Hendak dijadikan cerita, selepas habis latihan teater di universiti, kami pulang ke rumah dan selepas saya bersihkan diri dalam jam 12 tengah malam, saya terus tidur sebab letih sangat seharian di luar. Semasa saya tidur, saya memang jenis sensitif pada pergerakan, kalau kawan bergerak masuk ke bilik, saya boleh rasa ada orang berjalan. Pada malam itu, saya tidur mengiring dan muka saya memandang ke arah pintu bilik. Suasana hening sangat pada malam itu, dan tiba tiba saya terdengar ketukan lembut pada pintu bilik saya. Saya terjaga tapi belum buka mata, namun terdetik dalam hati, “Kenapa kawan saya hendak masuk bilik tapi dia ketuk pintu?


Lalu saya pun buka mata dan dengar orang memulas tombol pintu dan tolak pintu terbuka kira-kira dalam sejengkal. Dalam keadaan saya baru hendak buka mata, saya hanya nampak ada tangan yang memegang tombol pintu tapi buka pintu tidak sampai separuh terbuka. Saya hanya nampak separuh tangannya sahaja. Saya pun tunggu kalau kawan saya hendak masuk bilik. Beberapa saat kemudian, tangan itu pun menarik dan menutup semula pintu. Saya terfikir, “Eh tak jadi masuk pula kawan saya ni...” Saya pun sambung tidur macam biasa.


Keesokan paginya, saya tanya kawan saya Amira, kenapa semalam buka pintu tapi tak masuk ? Mereka cakap, “Eh mana ada, lepas Anis masuk tidur, dalam masa sepuluh minit gitu, kami pun masuk tidur...” Saya tanya lagi, kerana kurang percaya dan sangkakan dia hendak berjenaka agar jawab betul-betul. Amira menjawab, selepas dia masuk bilik, dia kunci pintu. Rakan-rakan di bilik sebelah pula tidak ada seseorang pun yang masuk bilik kami semalam. Jadi siapa yg buka pintu tapi tak masuk? Menjadi satu misteri dan tanda tanya hingga ke hari ini.

Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya. Maaf kalau ia tidak seram.

Selamat Malam Seram!

163 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page