Salam KC,
Kisah paling saya tidak boleh lupakan ini terjadi pada tahun 2010 di rumah di Jurong West. Waktu itu kakak saya baru berpindah rumah dan baru berumahtangga. Rumah yang dibeli merupakan rumah yang pernah dihuni. Bapa saya pula adalah seorang pakar perubatan Islam. Dia selalu menasihati kakak saya, sekiranya ingin berpindah, jangan dilakukan pada hari Selasa. Hendak memantau dan meninjau rumah boleh. Tapi jangan pindah dan tidur!
Kakak saya dan suaminya memang jenis degil. Tak mahu dengar kata kerana mereka tidak percaya benda-benda ghaib. Akhirnya mereka berpindah juga pada satu hari Selasa. Bapa saya pun dah pasrah. Malas nak cakap apa-apa lagi. Sejak mereka berpindah, bermacam-macam gangguan yang mereka alami. Kakak saya memang sensitf dengan benda ghaib ini. Jadi dialah yang selalu terkena. Hahahaha.
Kisahnya begini. Saya tinggal dengan kakak saya dan waktu itu dah larut malam. Saya jenis yang suka bergayut di telefon. Berbual dengan buah hati yang kini dah pun menjadi suami saya. Saya ingat lagi, waktu tepat pukul 11 malam, teman lelaki saya ketika itu membuat panggilan di telefon bimbit saya tetapi saya terlepas pandang kerana ia dalam fungsi senyap.
Saya pun menghubunginya semula menerusi telefon rumah kakak saya yang tidak berwayar. Saya terpaksa keluar pergi ke ruang tamu untuk ambil telefon tersebut dan dail nombor teman lelaki saya dan menekan butang panggilan. Ini bermakna saya dah mendail nomber itu. Tiba-tiba telefon itu berbunyi seperti ada yang membuat panggilan. Saya tengok telefon itu, "Eh bukan ke aku dah mendail nomber, kenapa ia berbunyi balik? Tak sabar betul nak tunggu aku hubunginya semula?" Saya pun sambut panggilan itu.
Saya: "Hello!" (dengan nada suara marah kerana sedang bingit, baru hubungi tak sampai lima minit, dah tak sabar nak suruh saya hubunginya semula)
Tetapi yang telefon bukan teman lelaki saya. Suara kakak saya yang saya dengar!
Suara Di Telefon: "Dah lama aku kat luar kau tak buka pintu..." (suaranya betul-betul seperti kakak saya dan seperti perlahan, menyeramkan pun ada, kerana kakak saya memang suka buat-buat suara)
Saya: "Manalah aku tahu kau kat luar? Bagi tahu pun takde. Ok aku buka. Bye!" (Saya suka bertekak dengan kakak saya, hari itu pun memang kami bertengkar, jadi saya tidak banyak bertanya soalan kerana malas hendak melayannya...)
Saya pun buka pintu, tetapi tidak ada pun seseorang! Saya bercakap dalam hati, "Banyaklah kau punya kat luar. Aku buka pintu kau tak ada. Menyampah betul! Takpelah tunggu sekejap agaknya dia telefon aku sewaktu dia di bawah blok. Telefon bimbit dia pun memang selalu baterinya mati..."
Sekitar sepuluh minit saya tunggu di depan pintu rumah, sekali kakak saya muncul.
Kakak: "Eh, macamana kau tahu aku nak balik? Nasib baik kau tunggu aku. Aku pun terlupa bawa kunci rumah..."
Me: "Kau gila ke apa? Kan kau yang hubungi aku tadi cakap kau ada kat luar. Aku buka pintu kau tak ada..."
Kakak dengan muka yang terperanjat: "Kau tengok telefon bimbit aku ni dah mati. Mana aku boleh buat panggilan?"
Me: "Alamak! Aku kena kacau ke? Dia dah mula lah ni..."
Kami berdua lari lintang-pukang masuk ke dalam bilik sambil menghempas pintu. Dari mula-mula bertengkar terus kami berbaik semula hahahaha.
Macam-macam yang terjadi di rumah itu. Hendak cerita terlalu banyak sangat. Kalau ada kesempatan saya akan kongsi lagi Insya Allah. Alhamdullilah semakin hari, semakin baik keadaan rumah itu kerana ibu bapa saya yang tidak tinggal solat dan mengaji. Walaupun masih ada juga sedikit gangguan dari masa ke semasa, kami tidak endahkan sangat. Tak boleh layankan sangat, semakin kita rasa takut semakin itu ia mengganggu.
Itu sahaja. Kita berjumpa di lain kesempatan. Assalamualaikum...
Yang benar,
Dini
Comments