Assalamualaikum KC,
Saya Nur dari Tangkak, Johor. Saya hendak menceritakan satu pengalaman misteri yang berlaku pada saya. Saya ingat lagi, cerita ini berlaku pada awal bulan Mac 2018. Saya bersama suami dan empat orang lagi anak saya, waktu itu kami dalam perjalanan pulang dari Kota Tinggi ke Tangkak melalui lebuhraya tol. Waktu itu kami singgah sebentar di salah sebuah hentian yang tidak perlu saya nyatakan di sini untuk solat Isyak. Oleh kerana hentian itu tidak menyediakan bilik solat yang khusus, kami berhajat untuk pergi ke R&R yang sebenar.
Hentian itu hanyalah hentian yang biasa sahaja yang hanya menyediakan tandas & ruang wakaf untuk sesiapa yang ingin mendirikan solat. Maklumlah, saya dan anak saya yang sulung, kurang selesa untuk solat di tempat yang terbuka di situ. Tetapi, saya sempat melepaskan hajat saya sebentar sebelum meneruskan perjalanan saya yang seterusnya. Tiba-tiba anak perempuan saya yang sulung meminta izin untuk membeli air dari mesin tabung dan saya membenarkan.
Dalam lebih kurang sepuluh minit berlalu, saya nampak anak saya kembali semula, masuk dan menutup pintu kereta. Saya nampak dan dengar dia masuk dan menutup pintu kereta. Apabila semua ahli keluarga saya sudah ada, saya melanjutkan perjalanan saya. Waktu itu saya yang memandu kereta memandangkan suami saya kurang sihat. Kira-kira 27 kilometer jauh perjalanan saya, tiba-tiba anak perempuan saya yang kecil, berumur setahun lebih, mula menangis.
Untuk pengetahuan semua, anak perempuan saya yang kecil tidur bersama kakaknya yang sulung bersama dua orang lagi abangnya di tempat duduk belakang, jadi suami saya menoleh ke belakang untuk melihat mengapa anak saya yang kecil tadi menangis. Dua orang anak saya yang lelaki itu sedang tidur dengan nyenyak. Tiba-tiba suami saya yang baring di tempat duduk sebelah saya beristighfar panjang sambil memandang ke arah belakang melihat anak saya yang kecil itu.
Saya yang sedang memandu terperanjat dan terus bertanya kepada beliau mengapa dia beristighfar tiba-tiba. "Kakak tak ada!" kata suami saya. Saya terperanjat mendengarnya dan mengucap panjang lalu bertanya lagi kepada suami, "Eh, betul ke! Ya Allah! Habis yang naik tadi siapa?!" tanya saya lagi kepada suami. "Entahlah..." jawab suami. Saya apalagi, dengan rasa panik dan pelbagai persoalan mula timbul di benak fikiran, hairan siapa yang naik dalam kereta tadi sedangkan saya dengar bunyi pintu kereta dibuka dan ditutup dan saya nampak anak perempuan saya masuk. Tanpa berfikir panjang, setibanya di salah satu persimpangan yang berdekatan, saya masuk tol dan membuat pusingan patah balik untuk pergi semula hentian yang saya pergi tadi.
Sepanjang perjalanan untuk mengambil anak saya, pelbagai persoalan muncul bercampur dengan rasa panik, sedih, sebak, hairan dan pelik, rasa bersalah semua ada, dan suami menasihati agar saya bertenang sebab risau dengan keadaan saya yang macam itu. Kalau saya susah hati, ini akan membahayakan keadaan. Saya berharap agar anak saya masih ada di situ dan tiada apa-apa perkara yang berlaku kepadanya. Sepanjang perjalanan, saya sentiasa berzikir dan berdoa.
Saya bersyukur apabila kembali semula di perhentian itu, saya nampak kelibat anak saya masih ada di sana. Nasib baik anak saya akalnya panjang, dia sedang duduk di tempat yang ada ramai orang. Kalau tidak saya memang tidak tahu nak berkata apa. Itulah kisah saya.
Sekian terima kasih...
ความคิดเห็น