Assalamualaikum KC, Panggil saja saya dengan nama samaran Izz. Saya ada satu pengalaman yang agak seram bagi saya. Kejadian ini berlaku pada tahun 2010 atau lebih tepat lagi pada Hari Raya Aidilfitri tahun 2010. Kejadian ini berlaku di kampung saya di Johor. Kampung saya memang berada di tengah-tengah hutan. Kampung saya ini juga berada betul-betul di penghujung jalan. Kalau semua hendak tahu, kiri kanan tiada rumah jiran tetangga, hanya hutan sahaja. Di belakang rumah ada ladang pokok kelapa sawit sahaja. Dipendekkan cerita, kejadian ini berlaku pada waktu malam dalam pukul 11 malam. Ketika waktu itu, saya sedang menonton televisyen di ruang tamu seorang diri. Untuk pengetahuan umum, rumah nenek saya ini ada dua buah ruang tamu. Dah menjadi kebiasaaan, sepupu saya semua akan lepak di ruang tamu yang kedua. Ruang tamu yang pertama biasanya tempat pakcik-pakcik dan makcik-makcik sembang berbual. Pada waktu itu, saya sedang menonton televisyen sambil baring di atas sofa seorang diri. Sofa yang saya baring ini, betul-betul rapat dengan dinding dah tingkap. Tingkap di sebelah kiri saya, televisyen di hadapan saya. Sepupu saya semua berada di luar sedang bermain dengan bunga api. Ketika itu, tingkap sebelah saya ini memang dibiarkan terbuka. Sedang saya leka menonton televisyen, tiba-tiba saya terperasan ada satu kelibat yang seperti seorang manusia sedang berjalan ke arah tingkap dari belakang rumah nenek saya.
Is kelihatan semakin mendekati dan akhirnya sampai dan berhenti di hadapan tingkap sebelah saya. Kemudian ianya senyum ke arah saya. Makhluk itu menyerupai seorang sepupu lelaki saya bernama Jamil. Setelah ia senyum ke arah saya, ia berjalan ke arah belakang rumah semula. Pada waktu itu, saya tidak rasa takut sebab saya tidak syak apa-apa. Apabila ia telah beredar dari pandangan saya, tiba-tiba saya nampak sepupu saya, Jamil masuk ke dalam rumah melalui pintu depan. Dalam hati saya terdetik, “Aik? Bukan ke kau pergi belakang rumah tadi?”
Saya menjadi takut. Takkanlah dalam beberapa saat, Jamil ke belakang rumah dan alih-alih muncul di depan mata masuk dari pintu depan? Saya terkedu sambil terfikir, "Siapa yang senyum pada aku tadi?" Keesokkannya, saya tanya Jamil, “Eh malam tadi kau ada pergi belakang rumah nenek tak?” Lalu dia menjawab, “Eh tak adalah, aku malam tadi main mercun depan rumah je...” Sekian, terima kasih... Assalamualaikum...
Comments