top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Siapa Yang Solat?

Hi KC,


Saya ada satu kisah semasa saya kecil dahulu yang berlaku pada awal 90an di rumah lama saya di Tampines Street 11. Ini berlaku sewaktu saya sedang tidur seorang diri di dalam bilik. Katil saya menghadap pintu bilik dan kadangkala saya dapat melihat mak menunaikan solat di bilik tidur sebelah apabila pintu bilik saya tidak ditutup.


Rumah lama saya merupakan jenis mansionette iaitu rumah dua tingkat. Di tingkat atas ada ruang kecil untuk letak rak-rak buku, karpet, kerusi dan sebagainya jadi mak saya kadang-kadang gunakan tempat itu untuk tunaikan solat. Tak kira waktu, asalkan hendak solat di luar bilik, dia akan lakukan tetapi tidak selalu, kadang-kadang saja.


Satu malam saya terjaga dari tidur, entah jam berapa saya tidak pasti. Saya ternampak mak saya sedang solat di depan bilik saya. Arah kiblat mengarah ke katil saya cuma miring sedikit ke sebelah kanan, jadi saya dapat lihat mak saya solat dari depan. Mak saya kalau tunaikan solat kadang-kadang akan hidupkan lampu, kadang-kadang pula tidak akan, jadi saya pun tak syak apa-apa melihat dia solat dalam gelap kali ini dengan telekung yang berwarna putih.


Di sudut hati saya terfikir juga buat apa dia solat pada malam-malam buta sebegini. Hendak kata solat Isyak pun takkanlah lambat sebegini kerana mak saya seorang yang selalu mengawalkan waktu solat. Nak kata Subuh pun rasa-rasanya terlalu awal. Saya pun tidak fikir banyak sangat, detik hati saya mungkin beliau menunaikan solat sunat pada sebelah malam atau lebih dikenali dengan istilah "Qiyamullail".

Jam di dinding di bilik saya, saya tidak dapat melihat kerana gelap dan mata masih mamai lagi. Saya orangnya dari kecil selalu tidur dalam gelap. Dahlah bilik saya gelap, saya pula tidak memakai kaca mata jadi saya tidak nampak jam di dinding menandakan pukul berapa.

Walaubagaimana gelap bilik saya dan gelap di ruang yang ada di luar bilik saya, tambah lagi dengan keadaan samar yang saya dapat melihat, saya masih dapat melihat sosok tubuh mak saya kerana jarak antara katil saya dengannya cuma dalam 4 hingga 5 meter jauhnya.


Saya cuba tidur semula tetapi tidak boleh lelapkan mata. Saya cuba pusing posisi badan berkali-kali tapi tidak boleh tidur semula. Saya pun buka mata saya dan tengok ke arah mak saya. Saya menghadap terus mak saya yang sedang solat dalam gelap, mana tahu melihatnya boleh mengantuk semula. Bermulalah rasa tidak sedap dan inti di sebalik kisah saya ini.

Lazimnya sekiranya seseorang sedang menunaikan solat, sudah tentu ada rukuknya, sujudnya, takbir dan sebagainya, bukan? Ini saya tengok mak saya berdiri sahaja dan tidak bergerak. Saya pun kehairanan. Lama betul mak saya membaca surah? Lama-lama saya tengok, saya sudah mula rasa seram sedikit. Saya hendak ambil kaca mata pun tak boleh kerana jauh sedikit dekat almari kecil sebelah pintu bilik saya. Kalau hendak ambil kena bangun dan pergi dekat-dekat dengan mak saya. Saya tak mahu kerana terlalu takut!


Makin lama saya tengok sosok tubuh yang mungkin mak saya itu, makin meningkat rasa takut saya. Dalam hati saya berbisik, "Cepat-cepatlah mak saya rukuk ke, sujud ke jadi saya tahu itu bukan hantu..." Saya tunggu punya tunggu tak rukuk atau sujud juga. Dalam keadaan panik, benda itu macam tahu saja isi hati saya. Waktu itu juga ia tiba-tiba perlahan-lahan pusing menghadap saya. Waktu itu, surah-surah suci Al-Quran yang saya hafal tidak pun terlintas untuk saya baca. Saya terpaku di atas katil.


Tiba-tiba sosok tubuh itu hilang, namun beberapa saat kemudian muncul kembali tetapi kali ini berada di tempat pintu bilik saya. Saya hendak jerit tidak boleh, nak tutup mata pun tak boleh, saya benar-benar terpaku. Benda itu hilang lagi, dan setelah beberapa saat kali ini muncul di depan katil saya. Baru saya sedar dan dapat melihat dengan mata saya yang rabun bahawa itu rupa-rupanya pocong! Kerana terlalu takut dan terperanjat, saya pun pengsan atas katil.


Bila saya dikejutkan oleh mak saya, sudah masuk waktu Subuh. Saya tidak pergi sekolah untuk beberapa hari kerana demam. Saya ceritakan kepada ayah saya hari itu juga dalam keadaan demam selepas ayah saya pulang dari kerja pada waktu petang. Ayah saya suruh saya baca Al-Quran setiap malam di bilik saya kuat-kuat dan jangan lupa baca ayat suci sebelum tidur. Selepas kejadian itu, kaca mata saya letak sebelah katil dan untuk beberapa hari saya tidur dengan lampu dihidupkan.

Sebagai tambahan cerita, kawasan Tampines Street 11 memang keras. Dulu saya pernah dengar orang kata tapak tanah kawasan itu sebelum ia dijadikan kawasan perumahan, merupakan tanah perkuburan. Malam-malam jiran saya ada pernah ternampak "Fatimah Rockers" bertenggek atas pagar depan sekolah yang ada di situ.


Selamat malam dan terima kasih kerana ketengahkan kisah saya di blog Malam Seram!

261 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page