top of page
Search

Siapa Yang Temankan Ke Tandas?

Hi KC dan pembaca blog Malam Seram...


Boleh panggil saya Jane. Saya ingin berkongsi satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. Kisah ini sudah lama berlaku. Masa itu, saya masih bersekolah menengah lagi. Saya masih ingat pada waktu itu, sekolah saya adakan acara perkhemahan di sebuah hutan dan saya ikut serta bersama rakan-rakan yang lain. Yang menariknya, kali ni, acara perkhemahan yang diadakan merupakan acara perkhemahan perdana. Bermakna, bukan hanya sekolah saya yang turut serta tetapi sekolah-sekolah lain juga ada bersama sewaktu ia berlangsung.  Kisah ini terjadi sewaktu malam kedua. Pada mulanya, tiada apa-apa yang pelik berlaku. Semuanya berjalan dengan lancar. Kami pasang khemah, memasak dan sebagainya. Sehinggalah pada malam kedua, kalau tak silap saya waktu itu pukul 2 lebih pagi. Saya tersedar apabila saya rasa ingin ke tandas. Nak kejut rakan saya, saya tak sampai hati sebab saya bukan jenis yang suka susahkan rakan-rakan. Tapi nak pergi ke tandas seorang diri pun tak boleh, bukan sebab saya penakut, tetapi sebab cikgu saya dah pesan dari hari pertama, kalau nak ke tandas, mesti berteman dan bawa lampu suluh bersama. Waktu malam juga, pelajar tak dibenarkan berada di mana-mana melebihi jarak 3 meter dari khemah. Kalau saya berkeras ke tandas seorang diri, kalau terserempak dengan mana-mana cikgu, habis saya kena tindakan disiplin.  Saya tak tahu nak buat apa masa itu, jadi saya capai lampu suluh dan saya duduk di luar khemah. Dalam hati, saya betul-betul berharap, biarlah ada sesiapa yang boleh temankan saya ke tandas. Beberapa minit menunggu, saya ternampak ada susuk tubuh seseorang sedang berjalan di depan saya. Jarak saya dan dia masa itu lebih kurang dalam 10 meter. Saya renung betul-betul, dalam hati berkata, "Berani betul perempuan ni keluar khemah berjalan sorang-sorang malam-malam macam ni. Dahlah tak bawa lampu suluh..."


Tapi masa itu saya tak fikir panjang, dalam fikiran saya, saya hanya ingin ke tandas. Jadi saya bangun dan saya ingin menegur kelibat itu. Syukur juga kalau ada orang yang boleh temankan saya untuk ke tandas malam itu. Saya panggil dia, dan dia berpaling ke arah saya. Tetapi dia tak senyum dan mukanya serius saja. Saya nyalakan lampu suluh, dan saya berkata, "Maaf mengganggu, boleh awak temankan saya ke tandas?" Dia tak cakap apa-apa pun, hanya menganggukkan kepalanya.


Dalam perjalanan ke tandas, saya cuba untuk berbual dengannya walaupun rasa kekok. Saya perkenalkan diri saya, boleh panggil saya Jane, dan dia membalas boleh panggil dia Suzy dan dia dari sekolah ***. Saya perhatikan dia, dia jenis yang tak banyak cakap. Saya pun faham dan kami tak bercakap walau sepatah pun selepas itu. Bila kami sampai di tandas, saya hulur lampu suluh saya kepada Suzy. Saya minta dia pegangkan sementara saya masuk ke salah satu kubikel. Dia masih lagi seperti tadi, dengan gaya pendiam dan muka serius hanya capai lampu suluh dan saya terus masuk ke dalam.  Bila saya selesai, saya terus keluar dan cuba cari ke mana Suzy pergi, tetapi saya tak jumpa dia. Tapi lampu suluh saya ada ditinggalkan di atas tanah berdekatan dengan kubikel yang saya gunakan tadi. Tiga kali saya panggil namanya, tetapi tiada seorang pun yang menyahut. Saya pun fikir, takpelah, mungkin Suzy dah balik ke khemahnya seorang diri. Saya pun ambil lampu suluh dan berjalan ke khemah saya. Saya kembali tidur macam biasa.


Keesokan harinya, waktu itu semua pelajar dari pelbagai sekolah bersama-sama memasak untuk sarapan pagi. Kebetulan saya ada ternampak Suzy bersama dengan rakan-rakannya yang lain. Saya senyum kepadanya sebelum saya berjalan ke arahnya. Saya cakap, "Hai Suzy, kenapa awak tinggalkan saya sorang-sorang malam tadi? Saya minta maaf kalau saya lama sangat dalam tandas." Si Suzy tiba-tiba tercengang. Kemudian dia cakap, "Macamana awak tahu nama saya? Kita pernah kenal ke?" Dalam hati tertanya, takkan dia dah lupakan saya, baru semalam berkenalan. Saya hanya senyum sahaja padanya. Saya tak tahu nak jawab apa. Kebetulan kawan Suzy ada bersama ketika itu, dan dia mendengar pertanyaan saya. Dia tanya saya, "Apa maksud awak Suzy tinggalkan awak malam tadi?" Saya pun ceritakan perkara sebenar, dan masing-masing hanya tercengang. Kan saya ada kata saya ke tandas lebih kurang pukul 2 lebih pagi kan? Rakan Suzy berkata, pada semalamnya, dia terjaga sehingga larut malam, dan tak dapat tidur, hanya main permainan di telefon bimbitnya. Dia kata dia hanya tidur hampir pukul 3.10 pagi dan sepanjang waktu dia berjaga, Suzy hanya tidur di sebelahnya dan tidak pernah bangun untuk ke tandas. Suzy sendiri pun terkejut dan tercengang dengar cerita saya.  Saya pun minta maaf, dan berkata tak apalah. Nasib baik Suzy tak cakap apa-apa. Tapi sehingga ke hari ni saya masih tertanya-tanya, siapa yang temankan saya untuk ke tandas pada malam tu. Itu sahaja cerita saya, terima kasih...

232 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page