top of page
Search

Siapa Yang Temankan Saya Tidur?

Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,


Saya Firdaus dari Alor Setar, Kedah. Kisah yang saya ingin ceritakan ini berlaku ketika saya baru sahaja mendaftarkan diri di salah sebuah politeknik di Kedah. Nama politeknik ini terpaksa saya rahsiakan untuk keselamatan semua.


Sebelum itu, saya cuba terangkan macamana keadaan kampus politeknik saya. Ia merupakan sebuah tapak kuil satu ketika dahulu. Ini diceritakan sendiri oleh salah seorang pensyarah saya. Kemudian dijadikan politeknik di kawasan itu. Belakang politeknik ini ada ladang getah dan sungai. Pernah ada kisah mengenai histeria yang sering berlaku di asrama. Pensyarah juga ada memesan, jangan membuat perkara yang boleh mengundang apa-apa kejadian kerana kawasan ini kawasan yang "KERAS". Ada juga blok pelajar perempuan yang mempunyai lima tingkat tetapi pihak politeknik hanya izinkan sehingga tingkat 4 sahaja yang boleh digunakan. Tingkat 5 terpaksa dikosongkan atas sebab-sebab tertentu yang pernah berlaku di aras paling atas sekali iaitu di tingkat 5.


Pada hari tersebut, merupakan hari terakhir untuk acara orientasi, atau lebih tepat lagi "Minggu Sual Kenal" bagi pelajar baru. Jadi kami semua ketika itu berada di masjid di dalam politeknik tersebut. Selesai taklimat pada jam 11 malam, kami diarahkan untuk beratur mengikut kursus masing-masing untuk diagihkan baju seragam dan sebagainya. Mungkin kebetulan, saya orang yang paling depan sekali beratur untuk mengambil baju.


Selepas saya mengambil baju, saya diarahkan untuk terus naik ke bilik. Untuk pengetahuan semua, bilik saya di tingkat 4. Tingkat yang terakhir bagi blok saya. Blok lain, ada yang 5 tingkat. Selepas saya selesai mengambil baju, saya terpaksa naik ke bilik di aras 4 seorang diri kerana kawan-kawan yang lain masih di bawah. Ketika saya naik tangga untuk ke tingkat 4, bulu roma saya meremang. Lampu di setiap tangga pula agak malap. Saya teruskan naik ke bilik saya di tingkat 4.


Saya berjalan dan akhirnya sampai di depan bilik di aras 4. Lepas sampai depan bilik, saya tengok di bilik lain, semuanya gelap! Masih tidak ada orang yang naik. Semua masih di bawah. Saya gagahkan diri dan membuka pintu bilik. Semasa membuka pintu bilik, saya dapat merasakan ada angin yang datang tepat ke muka saya. Saya tak tutup pintu bilik. Saya buka kemudian saya kemas baju yang diberi tadi dan letak dalam almari.


Ketika saya sedang mengemas baju, mata saya terpandang sesuatu di tingkap. Saya tak tahu saya salah tengok atau sememangnya satu realiti. Saya ternampak bayangan yang bergerak laju di tingkap bilik. Padahal saya berada di aras 4! Mustahil orang boleh berjalan di situ. Saya cuba abaikan segala perasaan negatif yang ada. Saya keluar dari bilik dan tunggu kawan yang lain naik. Kemudian barulah ada tiga, empat orang yang naik ke bilik.


Pada petang tersebut, teman sebilik memberitahu yang dia akan pulang ke rumah. Jadi saya seorang saja yang akan duduk di bilik malam tersebut. Jadi saya ada rancangan, saya ajak kawan yang lain tidur dengan saya pada malam itu. Untuk pengetahuan semua, teman "yang lain" ini juga merupakan teman baik saya. Kami berkawan sejak dari zaman sekolah lagi. Memang dah lama kenal. Tak sangka kami dapat politeknik dan kursus yang sama.


Semasa saya tunggu di luar bilik, saya nampak kawan saya naik tangga nak masuk biliknya. Saya panggil dirinya dan dia pun datang. Saya memberitahunya, "Eh bro, malam ni kau tidur kat bilik aku boleh? Teman sebilik aku balik rumah lah. Aku tidur seorang malam ni. Kau teman aku boleh?" Kawan saya menjawab,"Ha boleh. Aku balik bilik ambil bantal aku, nanti aku datang bilik kau..." Saya pun rasa tenang sedikit sebab malam ada kawan yang menemani tidur sekali. Saya masuk bilik dan membelek-belek telefon bimbit. Pintu saya tutup, tetapi tidak dikunci. Selepas 10 minit, kawan saya ketuk pintu dan saya menyuruhnya masuk. Dia pun masuk dan duduk di atas katil. Katil di politeknik saya, jenis katil perseorangan.


Kami sembang dan tak lama kemudian, dia berkata yang dia dah mengantuk. Saya cakap "Haa ok, sebab aku pun dah mengantuk juga ni. Program kita dari pagi sampai malam. Penat sangat. Aku matikan lampu ok?" Kawan saya izinkan saya mematikan lampu. Saya pun baca doa dan terus tidur. Sebelum saya tidur saya ternampak kawan saya duduk di atas katil, saya tak tahu apa dia buat. Selepas lima minit baru dia baring. Saya pun tidur sampai masuk waktu Subuh. Saya bangun untuk tunaikan kewajipan. Kawan saya pun bangun, kemudian dia minta izin untuk balik ke biliknya. Saya melihatnya keluar dari bilik tapi saya tak tengok ke mana dia pergi. Sama ada balik ke biliknya atau sebaliknya.


Selepas beberapa minggu, saya dan kawan-kawan sedang bercerita kisah seram sesama kita. Kemudian saya pun berkata kepada kawan baik saya, "Ehh bro. Nasib baik kau temankan aku tidur hari tu. Kalau tak, tak tahu la apa jadi kat aku..." Kawan saya tiba-tiba jadi lain. Mukanya berubah lalu bertanya kembali, "Bro, bila masa aku teman kau tidur? Sumpah demi Allah, aku tak pernah tidur kat bilik kau. Aku ada je kat bilik aku..."


Ya Allah, jantung saya tiba-tiba berdegup kencang. Saya kenal kawan saya dan saya kenal perangainya. Dia memang seorang yang baik dan datang dari keluarga yang baik. Dia tak pernah menipu saya sepanjang saya berkawan dengannya sehingga sekarang. Saya tak puas hati dengan jawapan yang dia berikan. Saya tanya kawan saya lagi sekali, mungkin dia terlupa yang dia pernah tidur di bilik saya. Tapi dia tetap menafikan dan dia siap bersumpah atas nama Allah dan Al-Quran yang dia tak tidur langsung dalam bilik saya. Jadi persoalannya, siapa yang tidur di dalam bilik saya pada malam itu?


Terima kasih...

132 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page