top of page
Search

Suara Guru Mengajar Murid Pukul Dua Lebih Pagi?

Assalamualaikum KC dan peminat Malam Seram,


Nama saya Ris dan saya merupakan peminat setia Malam Seram dari negara Brunei Darussalam. Saya ingin berkongsi satu kisah pengalaman saya bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah. Tak perlu saya sebutkan nama sekolahnya. Kerja saya mengikut syif iaitu dua hari bekerja waktu siang, dua hari bekerja sebelah malam dan dua hari bercuti. Begitulah seterusnya. Saya bekerja lapan jam sehari berbanding dua belas jam di kebanyakan tempat.


Kerja saya sangat mudah sebab saya tak perlu meronda ke dalam bangunan. Cukup hanya meronda di luar bangunan sahaja. Untuk pengetahuan semua, sekolah yang saya jaga ini sangat besar kawasannya. Ini disebabkan sekolah ini digabungkan daripada peringkat kelas tadika sehinggalah kelas tingkatan lima. Maklumlah, kawasan bangunan sekolah yang saya jaga ini merupakan sekolah swasta. Kalau majikan saya nak buat sekolah berasingan, nanti susah pula hendak cari tempat yang sesuai dan sebagainya.


Hendak dijadikan cerita, pada satu hari saya sedang berehat di dalam pos kawalan saya sambil menikmati kopi yang baru saya bancuh. Saya masih ingat lagi pada waktu itu jam saya menunjukkan pukul 2.20 pagi. Tiba-tiba saya terdengar bunyi riuh rendah seperti suara seorang guru yang sedang mengajar anak muridnya. Saya keluar dari pos kawalan saya sambil mencari dari mana datangnya arah suara tersebut. Apabila saya suluh di semua tingkap dengan lampu suluh saya, memang tidak ada apa-apa!


Waktu itu bulu roma saya mula meremang. Siapalah yang hendak pergi sekolah itu pada jam dua lebih pagi? Saya bergegas menuju ke pos kawalan saya dalam keadaan ketakutan. Suara tersebut masih lagi kedengaran tetapi saya terpaksa bertahan di dalam pos kawalan saya demi tugas, lalu saya putarkan bacaan ayat ayat suci menerusi telefon bimbit saya agar saya dapat tenangkan diri.


Alhamdulillah mujur tidak ada gangguan lain selepas itu. Mungkin kisah saya ini tidak begitu seram tetapi cuba anda bayangkan bagaimana agaknya jika anda berada di dalam situasi saya yang ketika itu memang bersendirian sahaja di dalam pos kawalan?


Sekian...

211 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page