top of page
Search

Suara Menyeramkan Di Malam Musim Raya...

Assalamu'alaikum KC,


Nama saya Adat. Saya akan kongsikan satu pengalaman seram yang pernah saya alami. Kejadian ini berlaku di rumah isteri saya di Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor sewaktu malam Raya keempat. Kami sekeluarga masih di kampung isteri kerana menunggu adik-beradik isteri berkumpul di rumah keluarga mentua saya. Rumah arwah ibu mentua kini didiami oleh kakak ipar. Bila beraya di rumah itulah keluarga isteri akan berkumpul. Ada yang datang dari Terengganu, Kelantan, Petaling Jaya dan Teluk Panglima Garang. Adik-beradik isteri saya lapan orang semuanya.


Malam itu hampir jam 12 tengah malam. Saya baru pulang dari beraya. Ketika itu beberapa buah kereta ipar saya parkir di halaman rumah kakak ipar. Kami pun bersalaman dan berbual panjang kerana jarang bertemu. Isteri masing-masing membuat kopi untuk menahan mata dari mengantuk. Kami berbual rancak, dari topik kampung, pekerjaan hingga ke kisah-kisah artis kami bualkan.


Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi, tinggal saya dan dua orang abang ipar saya yang masih berbual di meja ruang tamu. Adik-beradik yang lain semuanya sudah masuk tidur. Ketika itu kami sedang rancak berbual topik muzik. Tiba-tiba perbualan kami terhenti bila terdengar satu suara aneh di luar rumah. Suara itu seakan-akan suara orang dan suara kambing jantan. Suara itu bagai orang yang ingin berbicara tetapi kelu kerana lidahnya terlalu panjang. Saya dulu pernah belajar tentang teknik vokal, sebab itu saya dapat beri gambaran ciri suara yang kami bertiga dengar pada malam itu.


Kami bertiga terdiam. Saya bertanya kepada Abang Din apakah suara yang kami terdengar sebentar tadi tetapi Abang Din sendiri tidak pasti.


Tiba-tiba Abang Din bersuara, "Engkau nak apa?" Soalannya itu ditujukan kepada suara yang berada di luar rumah. Saya dah dilanda seram sejuk kerana itulah kali pertama mendengar suara tersebut.


"Bhhhhhhhhhhhh... Bhhhhhhh..." Benda di luar rumah itu bersuara lagi bagai menjawab pertanyaan Abang Din. Ipar saya yang seorang lagi (Ijat namanya) memberi isyarat bahawa arah suara itu sudah berpindah arah. Kali pertama suara itu kedengaran dari arah tepi ruang tamu. Kali ini suara itu datang dari arah hadapan ruang tamu.


Abang Ijat pula bersuara, "Tak ada apa lah tu... Suara kucing agaknya..."


"Bhhhhhhhhhh... Meoooowwwww..."


Suara itu berubah dari suara seakan bunyi kambing jantan kepada suara kucing yang sangat garang. Suara itu berhenti dan diikuti dengan bunyi daun-daun dipijak orang yang sedang berlari. Kemudian suasana kembali sunyi. Abang Ijat mengatakan benda itu dah balik sebab kami menunggu beberapa minit selepas suara yang terakhir dari benda di luar rumah itu kedengaran. Ternyata tiada lagi suara yang kedengaran.


"Ada benda merayau cari Tuan Baru..." kata Abang Ijat.


"Astaghfirullahal'adzimmm..." keluh Abg Din.


Saya terpinga-pinga kerana tidak tahu benda itu jenis apa dan siapa bekas Tuannya.


"Siapa punya tu Bang Ijat?" Saya inginkan kepastian.


"Kita tidur dulu. Esok aku cerita dengan kau. Jangan lupa ambil Wudhu' dan baca Surah '3 Qul' sebelum tidur. Nanti datang lagi benda itu sebab dia dah kenal kenal engkau..." Abang Ijat seakan cuba menyakat saya.


"Ehhhhh Abg Ijat ni..." Saya menepis usikannya.


"Dahhh sudah... Pergi tidur..." sampuk Abg Din. "Esok kita sambung cerita..."

Masing-masing pun masuk tidur.


Kesokan harinya barulah saya dapat tahu kenapa benda itu datang ke rumah kakak ipar saya dan menyapa kami dari luar rumah. Menurut kakak ipar saya suara yang kami dengar itu adalah suara belaan seorang tukang urut yang baru meninggal dunia sebelum bulan puasa yang baru lepas. Tukang urut itu ada membela saka untuk membantu pekerjaannya. Belaannya itu akan menjilat tempat-tempat yang diurut oleh tukang urut tersebut. Selepas tukang urut itu meninggal dunia, tiada sesiapa yang menjadi pewaris sakanya.


Kebetulan rumah tukang urut itu berdekatan dengan rumah kakak ipar saya, kira-kira 100 meter dari rumahnya. Anak-anaknya enggan mewarisi sakanya itu membuatkan sakanya itu merayau-rayau untuk mencari tuan yang baru. Kebetulan keluarga isteri ada pertalian dengan tukang urut itu. Ketika isteri berpantang anak pertama, saya pernah meminta pertolongan dari beliau kerana anak sulung saya meragam. Saya jemputnya datang ke rumah. Katanya perut anak saya masuk angin. Disapunya madu pada perca kain bersih yang sudah digulung dan disuapkannya gulungan kain yang disapu madu itu ke mulut anak saya. Beberapa minit kemudian anak saya tidak lagi meragam.


Tukang urut itu baik dengan keluarga isteri. Yelah dah namanya berjiran. Saya sendiri pernah mengurut dengan beliau bila badan saya sakit-sakit kerana bermain bola. Ketika mengurut, arwah kata badan saya keras, susah dia nak urut. Saya anggap beliau keberatan menggunakan sakanya untuk mengurut badan saya. Mungkin beliau tidak ingin saudara-maranya terbabit dengan sakanya. Mungkin juga kerana saya melayannya dengan baik semasa hayatnya. Kata Abang Ijat, tukang urut itu mungkin tidak sempat membuang saka itu ketika beliau jatuh sakit. Anak-anaknya pula bagai tidak bersungguh untuk mencari ikhtiar mengusir saka itu sehingga ia merayau-rayau hingga ke rumah kakak ipar saya.


Wallahua'lam. Sekian terima kasih...

272 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page