top of page
Search

Susuk Hitam Mengejar Kami...

Assalamualaikum dan selamat tengah malam,


Saya Hafiz, peminat setia Malam Seram dari Semporna, Sabah di Malaysia. Cerita yang saya ingin kongsikan ini merupakan pengalaman seram yang saya sendiri lalui bersama makcik saya di rumah kediaman keluarga di Kampung Bubul Batu 2 pada tahun 2012.


Saya masih ingat lagi pada hari itu hari Khamis, malam Jumaat. Ketika itu makcik saya memanggil saya untuk menemankannya membeli sedikit barang di kedai runcit di belakang rumah yang jauhnya kira-kira 200m dari rumah saya. Kami keluar sekitar pukul 10:20 malam. Jalan menuju ke kedai itu sangat gelap, disebabkan pada masa itu lampu jalan masih belum dipasang di sisi jalan yang sepatutnya perlu didirikan. Kawasan sekitar jalan itu memang sangat gelap, lebih-lebih lagi di sepanjang jalan itu bersebelahan dengan pokok-pokok tinggi dan ada rumah banglo kosong di hadapan jalan.

Dalam perjalanan menuju ke sana, makcik saya sibuk dengan telefon bimbitnya manakala saya hanya diam sambil mata meliar melihat kawasan yang gelap dan suram di tepi jalan yang kami lalui berdua. Selang beberapa ketika selepas berada sedikit jauh dari kawasan rumah, tiba-tiba kami berdua terperasan di sebelah tepi kiri makcik saya kelihatan ada susuk tubuh hitam keluar dari semak-samun dengan wajahnya yang kelihatan buruk dan merekah sedang memerhatikan kami sambil berjalan menuju ke arah kami. Kami berdiri kaku, tak tahu nak buat apa. Makcik saya terus berteriak ketakutan dan kami pun patah balik, lari lintang-pukang menuju ke rumah semula.       

Pada hari itu, kebetulan bapa saya ada di rumah, kami terus meluru masuk ke dalam rumah sambil menggigil ketakutan. Jiran-jiran sekeliling rumah turut terkejut, mereka terdengar suara makcik saya berteriak. Sedang kami berdua ditenangkan oleh ibu dan nenek, kami berdua pun menceritakan tentang kejadian yang baru sahaja berlaku tadi. Dengan pantas bapa saya memanggil semua jiran-jiran lelaki untuk pergi ke tempat yang kami lalui sebentar tadi. Heboh satu kampung terdengar suara makcik saya.


Selama kami ditenangkan, pakcik jiran sebelah rumah saya memberitahu ibu bapa saya yang dia pun ternampak susuk tubuh hitam berlari sangat laju, bukan seperti berlari, tetapi seperti terbang kerana ketika itu pakcik jiran sebelah rumah saya sedang duduk memerhatikan reban ayamnya. Dia terkejut dan terbangun kerana dia ternampak susuk tubuh berwarna hitam seperti perempuan berlari sangat laju tetapi kakinya tidak menjejak ke bumi, menuju ke kawasan kelapa sawit di belakang rumah kejiranan kami.

Setelah sejam berlalu, bapa saya dan jiran-jiran sebelah rumah yang membantu akhirnya pulang dan memberitahu yang mereka tidak dapat menjejaki makhluk tersebut. Sehingga kini kejadian itu masih terngiang-ngiang di dalam minda saya.


Terima kasih dan selamat tengah malam...

108 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page