top of page
Search

Susuk Tubuh Di Belakang Kereta

Selamat malam,


Nama saya Daniel. Saya peminat berasal dari Kota Kinabalu, Sabah. Saya ada satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan, terjadi sekitar sepuluh tahun lalu dan terjadi di Banjaran Crocker di daerah Penampang yang saya ingin kongsikan kepada KC dan para pembaca Malam Seram. Mungkin anda boleh cuba Google "BANJARAN CROCKER PENAMPANG SABAH", boleh lihat gambarannya bagaimana serta bayangkan berada di situ pada waktu malam.


Sewaktu kejadian ini berlaku saya baru mendapat lesen memandu, dan bila baru dapat lesen tahulah, memang seronok sangat memandu, tak perlu curi-curi bawa kereta dan tak takut dengan roadblock. Malam itu, saya mengajak tunang saya jalan-jalan ronda di kawasan bandar. Tunang saya pula mengajak pergi tengok pemandangan bandar di Penampang, ada satu tempat di mana pemandangannya memang cantik dan boleh nampak pemandangan sekitar bandar.

Dipendekan cerita, sebelum sampai ke tempat itu, kami akan melalui satu pintu gerbang, dan tempat itu memang gelap. Rumah di sekitar kawasan itu juga agak jarang-jarang dan berjauhan antara satu dengan lain. Pendek kata, kawasan itu 60% hutan, dan keadaan jalan pula agak berbatu. Sebelum saya memandu masuk, saya tidak rasa apa-apa pun, tetapi apabila saya memandu melintasi pintu gerbang tersebut, hati saya terus rasa tidak sedap, terasa berat sangat untuk meneruskan perjalanan.


Perjalanan dari pintu gerbang ke puncak banjaran mengambil masa lebih kurang dua puluh minit hingga setengah jam, sebab jalan berbatu dan berlubang. Dalam perjalanan saya dan tunang saya bercerita dan saya tidak memberitahunya yang saya berat hati untuk teruskan perjalanan, sebab saya tidak mahu mengecewakan permintaannya. Sedang memandu saya perasan di tepi jalan ada sebuah tapak tanah perkuburan, dan bila saya ternampak saja tanah perkuburan itu, hati saya semakin rasa tidak sedap, rasa berat sangat mahu teruskan perjalanan.


Saya bertanya dengan tunang saya, "Jauh lagi mahu sampai?" Dia menjawab tidak berapa jauh. Saya pun kuatkan hati saya untuk teruskan perjalanan. Selepas seminit kami melepasi tapak perkuburan tersebut, saya terperasan lampu kereta saya berkelap-kelip beberapa kali. Saya menjadi hairan sebab sebelum ini tidak pernah terjadi macam ini. Saya pun arahkan tunang saya untuk tutup tingkap, sebab hati saya sudah betul-betul rasa tidak senang. Alasan saya menutup tingkap kerana sejuk, memang kawasan bukit pada waktu malam di sini memang sejuk. Kemudian tunang saya pun naikkan tingkap. Selang beberapa ketika, lampu kereta berkelap-kelip sekali lagi.


Saya punya satu tabiat, kalau memandu saya suka tengok cermin tepi. Dalam memandu di jalan yang agak berlubang itu, saya cuba mengelak dari memandu atas lubang, dan bila saya cuba mengelak saya akan menekan brek kereta, dan bila kita tekan brek, lampu brek akan menerangi jalan di sebelah belakang kereta. Bila saya pantau cermin tepi, saya terkejut melihat susuk tubuh perempuan dengan rambut mengerbang serta berbaju putih sedang berdiri tapi keadaannya seakan-akan terapung-apung mengekori kereta kami dari belakang. Jaraknya dalam 2 hingga 3 meter jauhnya dalam keadaan menunduk.


Perasaan saya betul-betul tidak senang pada waktu itu, tetapi saya cuba tenangkan diri saya, dan tak bercakap apa-apa dengan tunang saya, sebab tidak mahu menegur dan tidak mahu tunang takut dan panik. Saya beritahu tunang saya, perjalanan jauh sangat dan berkata lebih baik saya berpusing balik. Mujur tunang saya pun setuju. Lampu kereta saya masih berkelap kelip dan saya pun buat pusingan U untuk keluar dari kawasan itu. Apabila saya tengok belakang melalui cermin tetapi perempuan itu sudah tiada.


Sepanjang perjalanan saya membaca doa di dalam hati, bulu roma saya cukup meremang. Saya memandu keluar dari tempat itu dengan laju, tetapi hairan tunang saya betul-betul tidak perasan lampu kereta berkelap-kelip. Bila sudah dekat dengan pintu gerbang, saya pun berhentikan kereta untuk tenangkan diri saya, sebab peluh saya pun keluar dengan banyak, mungkin sebab sudah terlampau takut.


Saya sempat bertanya dengan tunang saya, sama ada dia perasan lampu kereta berkelap-kelip? Sewaktu saya sedang melafazkan pertanyaan itu kepadanya, lampu kereta berkelap-kelip sekali lagi. Apa lagi tunang saya pun besarkan mata dan memarahi saya, apasal berhenti di situ? Saya pun terus memandu laju meninggalkan tempat itu.

Itulah pengalaman saya yang betul-betul tidak dapat saya lupakan. Terima kasih dan Salam dari peminat Malam Seram dari Kota Kinabalu, Sabah...

109 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page