Salam KC,
Nama saya Sha. Pada satu ketika dahulu, keluarga saya telah disihir untuk beberapa tahun tanpa kami sedari. Apa-apa gangguan yang kami sekeluarga terima, kami cuma anggap sebagai satu gangguan yang biasa-biasa sahaja.
Pada tahun 2010, salah seorang datuk saudara saya telah memberi tanduk haiwan, katanya boleh membantu menaikkan perniagaan pakcik saya. Tanpa berfikir panjang, nenek saya ambil dan simpan hingga terlupa tentang benda itu dan tanpa kami sedari, tanduk itu juga adalah punca gangguan yang kami alami seterusnya.
Gangguan yang kami selalu terima adalah ketukan di pintu, penampakan bayang-bayang yang ada di dalam dan juga di luar rumah. Bukan itu sahaja, ibu dan ayah saya juga sering bergaduh hingga hampir bercerai-berai. Tetap kami anggap ini semua bukan buatan orang. Namun kami ada beberapa kali juga memagarkan rumah. Sehinggalah pada tahun 2012, satu keluarga saya telah diganggu dengan amat teruk.
Ibu saya selalu bermimpi dikelilingi anjing-anjing yang sangat garang, Ayah saya pula bermimpi sedang dikejar dengan binatang-binatang buas. Saya pula ketika tidur di bilik saya selalu akan tersedar pada pukul satu pagi dan pada waktu itu saya akan selalu dengar bunyi itik di tingkap. Kadangkala saya akan ternampak wajah seorang wanita di belakang pintu bilik saya. Nenek saya pula selalu diganggu ketika mendirikan solat. Dia akan dengar macam-macam suara yang membisik ke dalam telinganya.
Yang paling teruk terkena gangguan adalah adik saya. Ketika itu dia hanya berusia enam tahun. Dia senang terkena sampuk. Terlalu teruk hingga hingga seorang pakar terpaksa pagar badan adik saya. Ya Allah, kesian saya tengok adik saya pada waktu itu. Selepas itu, saya tidak tahu bagaimana adik saya boleh terkena sampuk lagi, kali ini dia menjadi seorang nenek tua. Tidak kira pagi, tengah hari atau malam, dia akan selalu berdiri di depan pintu. Selalunya pada waktu malam, kami akan tutup pintu tetapi adik saya akan buka dan diri di depan pintu itu dan mula menyanyi. Bukan itu sahaja, dia suka meludah di dalam satu rumah dan suka mencuci tangan entah kenapa. Dalam satu jam sebanyak dua puluh kali dia akan mencuci tangan. Bayangkan manusia biasa mana yang akan melakukan itu semua?
ApabiIa keadaan makin teruk, kami memanggil pakar tersebut. Kali ini, dia betul semah dan juga bertanya kalau kami semua pernah bermimpi benda yang teruk atau ada nampak benda-benda menakutkan. Kami terpaksa memberitahunya segala apa yang kami lalui. Lalu pakar itu bertanya di rumah ini kami ada tak simpan tanduk haiwan? Nenek saya akhirnya teringat akan tanduk haiwan itu. Kami memberi tahu ini tanduk yang diberi oleh salah seorang datuk saudara saya untuk menolong perniagaan pakcik saya.
Benda itu tidak menolong apa-apa pun malah, ia melingkupkan perniagaan pakcik saya lagi ada, hampir-hampir membuat ibu dan ayah saya bercerai dan macam-macam lagi. Dia mahu keluarga saya yang bahagia ini jatuh dan musnah itulah kenapa dia sihir kami. Dia selalu datang dan tidur di rumah kami. Kami tidak berfikir yang bukan-bukan, malah kami menerima kehadirannya dan isterinya dengan tangan yang terbuka.
Selepas mendapat tahu, kami serahkan kepada pakar tersebut untuk bantu pulihkan kami semua. Kami tidak mahu apa-apa yang buruk terjadi kepada datuk saudara saya mahupun keluarganya walaupun kami terasa amat marah dengannya. Pakar berkata, kita tidak perlu balas atau berkata apa dengan mereka. Dia sudah membuat perjanjian dengan syaitan dan kalau dia tidak dapat menunaikan janji itu, ia akan makan badan tuannya.
Betul apa yang pakar itu berkongsi pada kami kerana beberapa bulan kemudian, kami mendapat tahu yang empunya diri meninggal dunia. Semoga kisah kami menjadi iktibar buat semua agar jangan membuat sebarang perjanjian dengan syaitan mahupun bertuankannya.
Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya...
Comments