top of page
Search

Tangan Sejuk Menarik Kaki Sepupu

Hai DJ KC!


Saya Izy, peminat Malam Seram dari Kuching, Sarawak. Terima kasih kerana sudi ketengahkan cerita pendek saya dan saya rasa perkara ni memang menyeramkan bila diingat balik. Walaupun bukan saya yang mengalami gangguan ini, tetapi kalau saya berada di tempatnya mungkin saya akan menjerit sehingga hilang suara saya. Malam kejadian merupakan majlis sambutan hari lahir adik saya yang disambut di rumah kampung lama kami yang terletak di Lundu, Sarawak. Malam itu turunnya hujan rintik-rintik dan ramai saudara-mara yang datang berkunjung. Saya, pada masa itu baru berumur 9 tahun dan adik saya berumur 8 tahun. Biasalah kalau budak kecil memang nakal dan tahu bermain saja.


Selepas meniup lilin dan potong kek, makan-makan dan sesi bertukar-tukar hadiah, saya, adik saya dan lima orang sepupu saya yang berumur dalam lingkungan 9 hingga 10 tahun pada waktu itu, turun ke bawah untuk bermain. Ibu bapa kami sedang berbual-bual di tingkat atas rumah kampung lama itu. Salah seorang sepupu saya sedang menyepak sebuah tayar kereta apabila tiba-tiba berlakunya kejadian bekalan elektrik terputus. Lampu terpadam dan kami semua yang sedang bermain-main di bawah tadi berebut-rebut naik tangga ketakutan, menjerit-jerit mencari mak masing-masing.


Selang beberapa minit, lampu dihidupkan semula dan saya ternampak salah seorang sepupu perempuan saya yang berumur 10 tahun, sedang menangis dalam pelukan ibunya. Dia teresak-esak sambil bercakap, "Takut! Takut! Tadi ada orang tarik kaki waktu berebut naik tangga!" Ibunya memujuknya dan berkata tidak ada apa-apa dan jangan main di bawah lagi.


Saya menyuruh sepupu saya menceritakan perkara sebenar yang berlaku padanya tadi dan dia berkata, "Tadi, waktu aku nak naik tangga, aku rasa macam ada tangan orang yang tarik dan genggam kaki aku. Rasa tangan tu sejukkkk... Aku takut!". Saya terperanjat. Saya cuba ingat semula. Bawah tangga memang tidak ada ruang kolong, cuma macam ada papan yang tutup supaya tangga tidak ada ruang kolong. Saya menjawab, "Mungkin orang lain yang pegang agaknya..." untuk tenangkannya. Selepas itu dia berkata, "Izy, aku orang yang terakhir yang naik. Belakang aku dah tak ada orang lain..." Selepas itu, kami dah tak main di tingkat bawah. Di tingkat bawah ada dapur dan tandas. Tingkat bawah itu memang jarang digunakan dan lampu memang tidak dihidupkan. Jadi memang nampak gelap dan amat menyeramkan...


Terima kasih KC!

451 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page