Assalammualaikum KC,
Nama saya Danial Hiqmal, berusia 16 tahun, dan saya ingin berkongsi satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Inilah pengalaman saya.
Baru-baru ini, saya sangat berminat untuk berbasikal kerana ramai ahli keluarga dan rakan saya menunggang dan berseronok pada waktu malam. Jadi, saya pun membeli sebuah basikal dan merancang bersama seorang rakan karib bernama Harith, untuk menunggang basikal ke Punggol End. Perjalanannya amat jauh, kira-kira 60 kilometer dari Bukit Batok hingga Punggol End. Perjalanan berjalan dengan lancar pada mulanya dan di pertengahan sehingga kami sampai di jembatan Coney Island sekitar 12.15 malam.
Pada ketika itu, kami berdua tidak berfikiran bukan-bukan. Kami bercadang untuk mengambil gambar bersama dengan bahagian belakang kami menghadap pintu pagar masuk ke Coney Island. Setelah mengambil beberapa gambar, kami pun menunggang basikal dan berlalu pergi dari tempat itu dengan segera kerana pada ketika itu memang sunyi sepi. Maklumlah, sudah lebih kurang jam 12.30 malam. Kawan saya, Harith sedang mendahului di hadapan dan saya mengekorinya.
Sedang kami mengayuh, terdapat beberapa penunggang basikal yang mengayuh untuk mendahului kami ke hadapan. Apabila mereka kayuh di sebelah saya, mereka asyik menoleh dan memandang ke arah saya, secara khususnya, di belakang basikal saya. Itu yang membuat saya rasa kehairanan kerana di belakang saya tidak ada apa-apa mahupun tempat duduk basikal di belakang. Saya pun biarkan sahaja dan buat tak endah. Perkara ini berulang apabila ada sekumpulan penunggang basikal yang lain cuba mendahului kami.
Apabila saya bertanya dengan kawan saya, "Harith! Dekat belakang aku ada apa-apa ke? Dekat gear aku ada apa-apa ke?" Dengan pantas, kawan saya berteriak dan berkata, "Dan! Kayuh laju sikit Dan! Cepat, Cepat!" Saya pun hairan dan ikut sahaja katanya. Sedang saya mengayuh dengan laju, tiba-tiba saya terasa satu henjutan yang amat kuat di roda belakang saya. Seperti ada sesuatu yang ingin lompat dari roda itu. Kuat sekali henjutan itu. Selepas henjutan itu, tayar belakang basikal saya terus meletup!
Nasib baik kami berdua telah sampai di kawasan yang terdapat ramai orang. Saya pun turun dari basikal dan mula periksa keadaan tayar. Mustahil roda saya terkena paku kerana tidak terlihat apa-apa yang tajam pun sekitar jalan yang kami lalui tadi. Saya pun duduk di sebelah Harith dan tanya kepadanya kenapa dia menyuruh saya kayuh dengan laju. Dia sedang periksa gambar yang telah kami petik di hadapan pintu pagar Coney Island. Dia pun menerangkan apa yang terjadi.
Harith memberitahu saya bahawa ketika saya memanggilnya dari belakang dan dia toleh seketika, dia ternampak seperti ada tubuh yang hitam sekali di belakang saya dan makhluk itu seolah-olah sedang mengejar kami dalam keadaan sambil melompat. Dari situlah semua perkara yang terjadi sebelum ini masuk dek akal. Tayar saya meletup berkemungkinan kesan daripada henjutan makhluk itu. Harith pun menunjukkan gambar yang dipetik tadi dan dia menyuruh saya lihat di bahagian bawah pintu pagar Coney Island.
Alangkah terperanjatnya kami apabila ternampak seperti susuk tubuh yang sedang baring dan seolah-olah merangkak menuju ke pagar itu. Selama ini kami berdua tidak perasan yang kami sedang diperhatikan semasa memetik gambar di situ. Kami berdua rasa seperti dalam keadaan trauma dibuatnya. Nasib baik saya ada bawa tiub tayar pengganti untuk ditukar.
Akhirnya, kami berdua bersetuju untuk mengambil jalan pulang yang lain yang tidak melibatkan kami berkayuh di kawasan itu lagi. Jauh pun jauhlah asalkan tidak ada apa-apa yang mengganggu atau mengejar kami pulang. Maaf kalau cerita saya panjang. Kayuh pun kayuh tapi jangan dikejar ya. Selamat Malam Serammmmm...
Comments