top of page
Search

Teguran Batu Nisan

Assalamualaikum KC,


Nama saya Raziq, berasal dari Kelantan, Malaysia, ingin berkongsi satu pengalaman benar yang berlaku kepada saya sekitar sepuluh tahun lepas, sewaktu saya Tingkatan 5. Pada masa itu saya menyertai satu program pertukaran di antara sekolah saya dan sebuah sekolah di Alor Setar, Kedah. Lebih kurang tiga puluh orang pelajar dari sekolah saya telah terpilih (termasuk saya) untuk tinggal dan belajar selama seminggu di sekolah tersebut.


Atas sebab ketiadaan kemudahan tempat tinggal, kami telah diarahkan untuk bermalam selama seminggu sepanjang program tersebut di sebuah sekolah berlainan yang berdekatan (saya rahsiakan nama, tetapi mungkin ramai pendengar di Alor Setar kenal dengan sekolah yang terkemuka ini).

Saya cerita sedikit tentang sekolah yang menjadi tempat tinggal sementara kami itu; sekolah tersebut telah dibina sekitar seratus tahun yang lepas dan telah digunakan sejak zaman kolonial British dan juga telah melalui zaman penjajahan Jepun. Oleh itu, bangunan yang masih digunakan sebagai tempat mengajar dan kuarters guru-guru rata-rata bercirikan seni bina zaman British dan dikelilingi pokok-pokok yang besar dan tua.


Kami sekumpulan pelajar dan guru-guru pengiring telah ditempatkan di sebuah rumah banglo tua yang terletak di kawasan kuarters guru di belakang sekolah itu. Rumah ini juga bercirikan seni bina British, lengkap dengan corong asap dan secara keseluruhannya tidak banyak diubah sejak dibina sekitar seratus tahun lepas. Agak seram, tetapi saya tidak berfikir apa-apa kerana rasa seronok dan bersemangat dengan program kami pada masa itu. Akibat terlambat memilih bilik, saya dan beberapa orang rakan terpaksa tidur di bilik terakhir di bahagian dapur, yang kebetulan terletak berhadapan dengan sebuah pokok angsana yang sangat besar.


Pada malam pertama di rumah tersebut, sekitar pukul 10 malam, sewaktu saya sedang berkemas di dalam bilik, Ali (teman sebilik saya ketika itu, bukan nama sebenar) dengan teruja tiba-tiba menyergah saya di bilik:


Ali: "Weh Raziq, jom ikut keluar kejap, aku nak tunjuk kat kau benda ni..."


Aku: "Kau buat apa kat luar tengah-tengah malam buta ni?"


Ali: "Keluar lah sekejap, aku ada jumpa benda ni..."


Jadi saya pun keluar mengekori Ali, yang rupa-rupanya membawa saya ke kawasan bawah pokok angsana yang berada di luar bilik kami itu. Menggunakan fungsi lampu suluh melalui telefon bimbit Nokia kami, Ali menyuluh ke arah satu busut yang besar di bawah pokok tersebut, betul-betul berhadapan tingkap bilik kami.


Ali: "Kau tengok apa aku jumpa ni. Tengok ni..."


Aku: "Apa benda? Tak nampak apa pun lah..."


Ali: "Kau tengok kat belakang busut ni..."


Bayangkan, lepas meneliti tempat yang Ali tunjukkan itu, saya tersedar yang ada sebuah batu nisan yang terbaring di belakang busut di bawah pokok besar tersebut. Saya terkejut dan sangkakan yang Ali cuba ingin buat lawak dengan saya dan cuba selidik. Batu nisan tersebut kelihatan lama dan mempunyai tulisan Jawi. Namun begitu, saya cuba menarik batu nisan tersebut untuk membuktikan bahawa Ali atau rakan-rakan yang lain cuba mengenakan saya, tetapi batu nisan tersebut tidak dapat digerakkan akibat sebahagian daripadanya tertanam pada busut.


Saya kemudiannya memanggil seorang lagi rakan bernama Badrul (bukan nama sebenar) untuk menunjukkan batu nisan itu. Badrul datang menyelidik dan kemudiannya menyepak (menendang) batu nisan itu untuk cuba buktikan samaada betul-betul ia bukan satu helah rakan-rakan kami yang lain. Sah, batu nisan tersebut tertanam di busut dan tidak mungkin diletakkan oleh sesiapa untuk menakut-nakutkan kami. Kami mengambil keputusan untuk meninggalkan batu nisan tersebut dan masuk tidur untuk bersedia ke sekolah keesokan harinya.


Walaubagaimanapun, pada malam tersebut, saya yang merupakan seorang yang sangat susah untuk bangun tidur, tiba-tiba terbangun tepat pada pukul 2.30 pagi. Ketika itu, rumah sunyi dan gelap kerana semua rakan-rakan sudah nyenyak tidur. Saya terpinga-pinga kerana saya tidak percaya yang saya terbangun daripada tidur dengan begitu mudah. Saya cuba tidur semula, tetapi saya tiba-tiba merasakan keadaan bilik berputar-putar dan seolah-olah suasana menjadi sangat bising. Masa berasa begitu panjang untuk saya tidur kembali.


Selepas itu, saya terbangun semula, dan menyangkakan hari sudah pagi dan mula bersiap untuk mandi, tapi sangkaan saya salah, kerana jam tangan saya menunjukkan waktu tepat pukul 3.00 pagi. Saya terus lompat ke sebelah Ali dan akibat merasa seram, saya terus tertidur sehingga pagi esoknya.


Pada keesokan hari, sewaktu kami menjalankan aktiviti program, Ali telah menceritakan penemuan batu nisan kepada rakan-rakan di sekolah tersebut:


Ali: "Korang tahu tak, kitorang ada jumpa batu nisan di bangunan tempat tinggal kami semalam!"


Nisa: "Ali! Salah satu benda yang korang tak boleh usik dekat sekolah tu, ialah batu nisan lama tu!"


Ali: "Kenapa pula?"


Nisa: "Pernah sekali batu nisan itu dialihkan, terjadi satu kes histeria beramai-ramai di sekolah tu, yang hanya berhenti selepas batu nisan tersebut dipindahkan semula ke tempat asal..."


Ali menceritakan hal tersebut kepada saya, namun saya tidak endahkan dan meneruskan program tersebut selama seminggu tanpa memikirkan tentang penemuan itu lagi.

Selepas tamat program seminggu tersebut, kami pun berangkat pulang ke Kota Bharu, Kelantan dan ketika saya sampai ke rumah, hari sudahpun malam. Sesampainya di rumah, saya terus ke bilik saya dan mendapati yang adik lelaki saya, Amri (kami berkongsi bilik pada waktu itu) sedang tidur nyenyak kerana demam. Tanpa berfikir panjang, saya terus bersiap dan terus tidur kerana kepenatan.


Saya terbangun dengan secara tiba-tiba mendengar jeritan garau, berserta suara cemas ayah saya memanggil nama saya untuk bangun. Saya terbangun dalam keadaan terkejut kerana menyedari orang yang menjerit itu ialah adik saya, Amri. Bayangkan, ketika itu saya lihat Amri berdiri di tengah-tengah bilik, sambil menjerit kepada ayah dan ibu saya yang sudah pun berada di dalam bilik kami, sedang cuba menenangkannya.


Saya seolah-olah tidak percaya yang adik saya yang terbaring demam beberapa jam yang lalu, sedang berdiri tegak dengan mata terbeliak, dengan leher tegang berurat, menjerit dengan suara garau dan kelihatan dirasuk. Buat pengetahuan semua, adik saya merupakan seorang yang cergas dan aktif bersukan, serta tidak pernah mempunyai sejarah masalah gangguan emosi.


Ayah: "Allahuakbar!"


Sadiq: "Allaaaaaaaaaaaahueekkkkbaaaaaaaaaaaaaaa!!!!!!!!!!" (dalam nada mengejek)


Ayah saya serta-merta memeluk adik saya dan membaringkannya di atas lantai bilik. Ayah saya membacakan ayat-ayat suci al-Quran untuk menenangkan adik saya, namun sepanjang masa ayat-ayat suci dibaca, adik saya meludah ke muka ayah saya dan mencakar-cakar dan memukulnya. Ibu saya memberitahu saya yang adik saya mula meracau pada pukul 2.30 pagi, dan apabila saya melihat jam, saya sedar yang saya terbangun dari tidur tepat pada pukul 3.00 pagi

.

Saya mula sedar juga yang waktu tersebut sama dengan waktu saya terbangun dari tidur pada malam kami terjumpa batu nisan di rumah di Alor Setar itu. Dengan perasaan yang amat marah, saya terus berdiri di sebelah Amri yang terbaring di atas lantai, lalu melaungkan azan dengan sekuat-kuatnya untuk menghalau apa yang sedang merasuk adik saya itu. Semasa saya mula melaungkan azan, adik saya terus memandang tajam kepada saya dengan muka yang bengis lalu meronta, meludah dan menjerit sehingga seolah-olah pengsan sebaik saya habis melaungkan azan.


Ayah saya kemudiannya terus memutarkan bacaan surah Yassin di rumah, dan Amri kelihatan penat tetapi semakin pulih, terduduk berselimut di atas kerusi dan tidak faham dengan keadaan yang terjadi. Selepas pulih sepenuhnya, Amri bercerita bahawa sebelum dia kehilangan kawalan dan mula meracau, dia merasakan suasana bilik tidur berpusing-pusing, sama seperti pengalaman saya pada malam penemuan batu nisan itu seminggu yang lepas.

Keesokan hari, kami sekeluarga telah pergi menemui seorang pakar dan saya menceritakan perihal batu nisan yang telah saya sentuh di Alor Setar. Menurutnya, saya telah ‘ditegur’ oleh penunggu yang ‘dirumahkan’ di batu nisan tersebut dan kesan ‘teguran’ itu telah menyebabkan adik saya (yang lemah akibat demam) diganggu pada malam itu. Setelah bertanya dengan rakan-rakan yang lain, saya dapati rakan-rakan saya yang terlibat dengan penemuan batu nisan itu juga mengalami kejadian-kejadian aneh setelah pulang ke Kelantan.


Ali, rakan yang menemui batu nisan tersebut tetapi tidak menyentuhnya, mendapat mimpi buruk di mana dia bertemu batu nisan yang berdiri tegak di depannya. Badrul, rakan yang menyepak / menendang batu nisan tersebut, telah mengalami sesak nafas, juga pada pukul 2.30 - 3.00 pagi selepas pulang ke rumah, namun setelah diperiksa di hospital mereka mendapati bahawa dia tidak mempunyai apa-apa masalah kesihatan.


Sampai sekarang pengalaman misteri ini masih menjadi tanda tanya. Saya harap kalau sesiapa mempunyai pengalaman berkenaan fenomena mistik ‘teguran’ ini, bolehlah kongsikan bersama untuk dijadikan pedoman. Wallahu'alam...


Sekian pengalaman saya, terima kasih dan selamat malam...

242 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page