top of page
Search

Temanita Dirasuk Ketika Membonceng Motosikal

Assalamualaikum KC,


Saya Apeet dari Penang, Malaysia. Ada satu pengalaman yang ingin saya kongsikan kepada KC dan semua pembaca blog Malam Seram. Pengalaman ini berlaku kepada diri saya sendiri sewaktu keluar bersama temanita saya sekitar tahun 2016, ketika umur saya dua puluh tahun.


Temanita saya tinggal tidak jauh daripada rumah saya, kira-kira tujuh kilometer daripada rumah saya atau hanya berjirankan sebuah kampung sahaja. Pada satu hari, kami bercadang untuk keluar berdua, meronda dan pusing-pusing di Tapak Pesta Pulau Pinang yang diadakan setahun sekali di Pulau Pinang. Kemudian kami bercadang untuk pergi pada pukul 9 malam setelah selesai waktu Maghrib dan Isya'.


Kami hanya menaiki motorsikal kerana sekiranya menaiki kereta, kami akan terperangkap dalam kesesakan lalulintas yang teruk dan kemungkinan akan sampai di tapak pesta agak lambat. Perjalanan daripada rumah saya untuk ke tapak pesta tersebut mengambil masa lebih kurang tiga puluh ke empat puluh minit. Sebaik saja kami tiba di Tapak Pesta Pulau Pinang. Kami pun beratur untuk membeli tiket dan masuk ke dalam.


Pada mulanya semuanya berjalan dengan lancar. Kemudian baru saja kami ronda keliling tapak pesta lebih kurang dua puluh minit, tiba-tiba temanita saya mendapat panggilan daripada ibunya. Ibunya meminta kami untuk pulang awal sebabnya ibunya risau. Ini kerana di rumahnya hanya tinggal ibunya bersama adik perempuannya saja. Abangnya baru saja keluar bersama rakan-rakannya. Jadi ibunya berasa sedikit takut.


Kami mengambil keputusan untuk segera pulang kerana kami juga berasa risau akan keadaan ibunya di rumah. Manalah tahu kalau ada pencuri atau perkara lain. Kami mengambil keputusan untuk segera pulang. Pada ketika itu, saya sudah mula perasan yang temanita saya hanya diam dan tidak terkata apa-apa. Wajahnya kelihatan muram. Pada awalnya saya menyangkakan bahawa dia merajuk. Maklumlah kami pun baru saja sampai tapak pesta tersebut. Belum sempat kelilingi setengah kawasan itu lagi.


Saya pun cuba pujuk dia. Saya berkata, "Tak mengapa, hari ini kita balik awal ok? Nanti ada kelapangan masa lagi, kita datang lagi, tapi kita datang awal sikit. Okay?" Dia hanya mendiamkan diri. Angguk pun tidak, geleng pun tidak. Saya sangkakan dia sedang merajuk pada ketika itu. Sebaik saja tiba di tempat parkir motorsikal, saya memberitahunya saya ingin mengisi minyak terlebih dahulu sebelum pulang. Dia menunjukkan reaksi yang sama, iaitu tiada reaksi langsung!


Saya pun berkata dalam hati, "Tak mengapa, nanti saya cuba pujuknya sekali lagi..." Selepas selesai mengisi minyak, saya pun memilih untuk pulang melalui jalan Bukit Baru. Lupa untuk saya nyatakan, rumah saya terletak di kawasan Balik Pulau. Sekiranya kita berada di kawasan bandar, untuk pulang ke Balik Pulau ada tiga laluan alternatif, iaitu jalan berbukit - Jalan Bukit Baru, Jalan Bukit Lama dan Jalan Bukit Teluk Bahang. Saya memilih Jalan Bukit Baru kerana lebih dekat dan ramai orang yang menggunakan jalan tersebut .


Dalam perjalanan kami, tiba-tiba hujan turun. Dalam hati saya berkata, "Eh, angin elok, langit cerah, bintang banyak, macamana tiba-tiba boleh hujan pula ni?" Saya tidak mengesyak apa-apa yang pelik. Sebaik saja kami mula menaiki Jalan Bukit Baru, kisah seramnya bermula. Setengah jalan, saya tersedar, "Eh kenapa hari ini jalan ini tidak ada lampu?" Gelap gelita! Tiada satu pun lampu jalan yang menerangi jalan. Daripada mula jalan bukit sehingga ke akhir jalan bukit, tiada satu pun lampu jalan yang menyala.

Tiba-tiba temanita saya menjerit sekuat-kuat hatinya sambil menunjukkan jari ke belakang. Saya terkejut sangat masa itu. Saya tanya dia, "Kenapa ni?" Dia hanya menjerit sambil menumbuk-numbuk badan saya. Daripada reaksinya saya dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Saya toleh ke belakang, tiada apa-apa. Saya lihat di cermin sisi, tiada apa yang pelik atau mencurigakan. Saya dah agak, ini mesti ada sesuatu yang dia ternampak tetapi saya tidak nampak.


Saya sudah tidak tahu hendak buat apa-apa. Pada awalnya saya hanya berfikir untuk memberhentikan motosikal tetapi saya berfikir balik, "Kalaulah aku berhenti, kalau dia lari masuk dalam hutan macamana?" Saya kemudian tidak jadi berhenti. Saya teruskan juga perjalanan walaupun saya tahu perjalanan masih lagi jauh ke hadapan. Saya tiada pilihan lain dan terpaksa meneruskan juga perjalanan ini. Temanita saya kemudian terdiam. Tidak bersuara apa-apa. Sedangkan tadi dia menjerit ketakutan.


Saya panggilnya, "Sayang? Sayang? Awak ok?" Tiada tindak balas daripadanya. Kemudian saya toleh ke belakang untuk melihat keadaannya. Alangkah terkejutnya saya apabila saya toleh melihatnya, dia merenung matanya tepat ke dalam mata saya sambil tersenyum sinis. Sambil dia melihat wajah saya, dia ketawa dengan sangat kuat yang belum pernah saya mendengarnya sepanjang saya berkenalan dengannya. Hilaian ketawanya itu sangat kuat! Dalam hati saya tidak berhenti membaca ayat-ayat suci Al-Quran pada ketika itu. Saya pada ketika itu menunggang motosikal dengan hanya sebelah tangan, manakala sebelah tangan lagi saya memegang erat beg yang digalasnya di belakang badannya. Saya takut dia melompat terjun daripada motosikal. Sebab itulah saya memegang begnya di belakang.


Laluan bukit itu saya memang kerap menggunakannya. Boleh dikatakan setiap hari saya menggunakan laluan itu, memang kereta dan kenderaan lain banyak di laluan itu. Pada malam itu, tiada satu pun kenderaan yang melintas dan lalu di jalan itu Bayangkan betapa seramnya malam itu. Dengan hujan yang turun, tiada langsung lampu jalan yang menyala, tiada langsung kenderaan yang menggunakan laluan itu pada malam itu.


Perasaan saya pada waktu itu sangat takut. Nasib baik saya tidak terkencing dalam seluar, saya juga merasakan perjalanan seperti agak lama. Saya merasakan masa yang diambil untuk tiba ke pengakhiran bukit itu agak lama. Saya hendak tunggang laju pun takut juga. Takut kami terjatuh atau kemalangan nanti lagi susah dibuatnya. Dipendekkan cerita, setelah dia ketawa yang sangat kuat, disulami dengan tangisan yang menakutkan, apabila perjalanan kami hampir tiba di rumahnya, kira-kira enam kilometer lagi, dia kemudian terdiam.


Setelah sekian waktu, dia bertanya kepada saya, "Kita nak pergi mana ni?" Saya berkata, "Kita hendak balik rumahlah..." Walaupun saya tahu yang bertanya itu bukanlah temanita saya yang sebenar. Saya tetap melayani saja soalannya. Tiba-tiba dia menjerit yang sangat kuat dan berkata, "Tak mahu balik!" Saya berkata, "Eh tak boleh macam tu. Kita kena balik. Ibu risaukan awak tu..." Dia sambung menjerit lagi, "Tak mahu balik... Tak mahu balik!"


Sebaik sahaja kami tiba di perkarangan rumahnya, saya membunyikan hon motorsikal sambil menjerit, "Ibu! Ayu! Keluar cepat!" Ayu merupakan adik perempuannya. Nasib baik ibu dan adiknya segera keluar. Sejurus saya memberhentikan motosikal, temanita saya cuba untuk melarikan diri entah ke mana, saya pada waktu itu hanya sempat mencapai tali begnya saja. Habis motor saya terbalik kerana cuba untuk menangkapnya. Mujurlah adik perempuannya sempat memeluknya dari belakang.


Ibunya bertanya kepada saya, "Eh kenapa ni Apeet?" Saya menjawab, "Dia dirasuk semasa kami ada atas bukit tadi, Bu..." Saya tidak tahu hendak buat apa pada waktu itu. Kami memegangnya dan meletakkannya di atas lantai. Saya segera melaungkan azan tepat pada tepi telinganya. Baru saya memulakan bait pertama laungan azan, dia memandang saya dengan pandangan yang tajam dan terus menampar wajah saya dengan cukup kuat. Memang wajah saya terasa sangat sakit pada waktu itu. Saya tidak tahu hendak berbuat apa.


Saya dengan segera meminta adiknya untuk pergi ke rumah Tok Imam dan memanggil beliau untuk hadir membantu kami. Pada masa yg sama, saya sempat menelefon neneknya yang berada tidak jauh daripada rumahnya. Selepas lebih kurang lima belas minit, barulah neneknya bersama Tok Imam datang. Mereka membacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan mengazankan di telinganya. Temanita saya kemudian terkulai layu seperti pengsan. Tiada langsung reaksi yang ditunjukkannya. Tok Imam meminta ibu dan adiknya untuk membawanya masuk ke dalam rumah untuk rawatan susulan.


Pada keesokan harinya setelah segalanya selesai, barulah temanita saya menceritakan semuanya kepada saya. Dia menceritakan bahawa semasa kami bergegas untuk keluar daripada tapak pesta pada malam semalam, dia ada terlanggar satu makhluk yang tinggi lampai. Makhluk itu sangat besar dan berwarna hitam pekat. Apabila dia toleh ke belakang, makhluk tersebut marah kepadanya dengan menunjukkan reaksi wajah yang sangat menakutkan. Sebab itulah dia hanya mendiamkan diri pada malam semalamnya.


Saya bertanya, "Semasa di atas bukit, apa yang awak nampak?" Dia mengatakan bahawa dia ternampak seekor harimau yang sangat besar sedang mengejar kami daripada belakang. Harimau tersebut berwarna hitam pekat, sama seperti makhluk yang berlanggar dengannya semasa di tapak pesta. Syukur Alhamdulillah! Selepas kejadian itu, kami jarang keluar malam. Kalau hendak keluar, keluar petang dan balik awal. Sudah tidak berani hendak balik malam-malam dah.


Sekian daripada saya, pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sehingga hari ini.

Terima kasih KC! Assalamualaikum!

162 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentários

Avaliado com 0 de 5 estrelas.
Ainda sem avaliações

Adicione uma avaliação
bottom of page