Assalammualaikum Abang KC,
Nama saya Hamzah berasal dari Kulai, Johor. Ini pengalaman saya melihat makhluk misteri. Sebelum itu ingin saya jelaskan bahawa saya boleh dikategorikan sebagai seorang yang boleh melihat makhluk yang tidak dapat dilihat oleh orang biasa. Ini adalah salah satu dari pengalaman saya melihat atau berjumpa dengan makhluk halus.
Saya merupakan seorang pekerja di sebuah kilang membuat perabot dan saya bertugas untuk menjaga mesin pemotongan kayu. Kisah ini berlaku pada tahun 2017, kira-kira jam 1.30 tengah hari. Saya sedang berjalan pulang ke pos dari tandas. Dalam perjalanan pulang semula ke tempat saya bertugas, saya harus melalui kawasan tempat meletak kereta di mana banyak lori syarikat diparkir di situ. Pada ketika itu tiada sesiapa pun melalui kawasan tersebut kecuali saya.
Sedang saya berjalan, di sudut mata saya tertarik kepada sebuah kotak kayu besar yang terletak berdekatan dengan sebuah lori. Di antara lori dan kotak tersebut saya terlihat satu penampakkan yang boleh dikatakan aneh. Makhluk tersebut membelakangkan saya pada ketika itu. Apa yang saya nampak adalah makhluk badannya seperti manusia tetapi kurus dan tinggi antara 1.8 meter dan 2 meter tingginya. Ia tidak berpakaian dan warna kulitnya pucat berwarna kelabu, tidak mempunyai sebarang rambut pada tubuh makhluk tersebut. Kulitnya seolah-olah seperti seramik dan berkilat.
Anehnya saya lebih rasa curiga dari takut dan kerana terasa curiga, saya cuba mendekati makhluk tersebut dengan lebih dekat. Berada kedudukan tidak jauh dari makhluk itu, tiba-tiba badannya bergerak dan ia memusingkan badannya ke arah saya. Alangkah terkejutnya saya melihat wajah makhluk tersebut! Di tengah-tengah muka makhluk tersebut terdapat pusaran besar, dalam dan hitam. Makhluk tersebut tiada hidung, mata, mulut dan telinga, hanya pusaran hitam besar di tengah mukanya.
Saya tergamam melihat wajahnya yang sedemikian dan berdiri terpaku seketika di hadapannya dalam beberapa saat yang terasa begitu lama buat saya. Melihat tiada reaksi apa-apa dari makhluk tersebut, saya mengambil keputusan untuk berundur secara perlahan-lahan dan beredar dari situ dan meneruskan kerja saya seperti biasa. Sejak hari itu saya tidak bertemu dengan makhluk itu lagi.
Itu sahaja pengalaman yang ingin saya ceritakan. Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah ini di blog Malam Seram!
Comments