top of page
Search

Terlibat Dalam Dunia Perbomohan (Bahagian Satu)...

Assalamualaikum KC,


Saya memang gemar mendengar rancangan Malam Seram kerana bagi saya ianya seperti hiburan bagi saya. Saya suka mendengar gaya penyampaian KC yang bersungguh-sungguh dan lucu. Saya tak tahu samada kisah saya ini menarik perhatian atau tidak. Di sini saya ingin menceritakan pengalaman saya yang terlibat di dalam dunia perbomohan.


Ia bermula pada usia saya sekitar 25 atau 26 tahun. Masa itu saya menetap di Kuala Lumpur dan mempunyai masalah dengan bekas kekasih saya. Kami dah berkawan lama, namun saya rasakan dia ada hubungan dengan rakan sekerjanya. Dia mula abaikan saya, mesej pesanan saya tidak dibalas, telefon pun jarang diangkat. Bila saya bertanya, dia kerap memberi alasan bahawa dia sedang tidur atau sibuk bekerja.


Saya tidak puas hati lalu saya pun mula menyiasat. Memang benar dia ada hubungan dengan rakan sekerjanya. Saya pun apa lagi mengamuk sakanlah, maklumlah darah muda, memang cepat marah. Kami bergaduh sampailah satu tahap dia kata dia meluat tengok muka saya, benci tengok muka saya, dia kata rupa saya hodoh dan gemuk tak macam kekasih barunya yang kurus dan cantik. Dan dia terus tinggalkan saya.


Saya memang geram dan dalam kemurungan yang agak dasyat setelah itu. Sehinggakan saya berhenti kerja dan selalu melepak di rumah kawan saya. Saya dan kawan saya memang rapat, kenal dari sekolah dan sama-sama berhijrah ke Kuala Lumpur. Rumah kami pun dekat, orang kata memang akrablah. Kawan saya kasihan melihat keadaan saya, dia pun memperkenalkan saya kepada seorang bomoh di kampung halaman kami.


Ingin saya katakan ini bukanlah bomoh yang bakar kemenyan atau menurun seperti yang sering dipaparkan di layar perak atau kaca televisyen. Bomoh ini orangnya biasa-biasa saja namun kuasanya memang agak mengagumkan. Apa yang dia aturkan untuk saya semua menjadi! Dipendekkan cerita, seperti yang dirancangkan, kami pun baliklah ke kampung pada satu hari, bukan hendak berjumpa mak dan ayah, tetapi berjumpa dengan bomoh ini.


Temu janji telah dibuat oleh kawan saya, jadi kami pun pulang balik ke kampung berkongsi kereta yang sama. Saya pada awalnya memang tidak percaya pada bomoh atau dukun ini semua. Saya bersetuju ikut sebab saya tidak ada benda hendak buat dan terpengaruh dengan cerita kawan saya tentang kehebatan bomoh ni. Masa itu memang saya inginkan sangat bekas kekasih saya kembali semula dengan saya, jadi saya pun setuju dan turutkan kata-kata kawan saya.


Sampai di rumah bomoh kelihatan ramai orang di dalam, saya mula rasa cuak juga, manalah tahu ada orang yang kenal saya berada di situ. Malu saya mana nak letak muka nanti? Kami terpaksa menunggu giliran untuk berjumpa dengan bomoh itu. Bila sampai giliran kami, upacara dimulakan dengan memotong limau. Setiap potongan akan dilihat terbuka atau tertutup persis permainan syiling "Kepala atau Ekor". Masa itu semua potongan limau saya tertutup!


"Masalah berat ni..." kata bomoh tersebut. Beliau katakan sekiranya saya mempunyai penyakit kronik, harapan untuk sembuh langsung tidak ada, tapi syukurlah saya tiada masalah penyakit kronik. Saya pun menceritakan masalah saya dengan bekas kekasih saya pada beliau. Beliau meminta saya gambar bekas kekasih saya dan saya pun memberi kepadanya. Dia kemudian bertanya kepada saya, "Apa yang kamu mahu kami lakukan?" Saya pun menjawab, "Saya nak dia kembali kepada saya, Tok. Saya memang tak boleh hidup tanpa dia..."


Beliau pun mengangguk-anggukkan kepala dan mengatakan pada saya memang saya belum boleh lupakan tapi satu hari nanti saya boleh lupakan cuma belum masanya lagi. Dia pun mengambil sesuatu di dalam mangkuk di hadapannya dan menyuruh saya genggam. Beliau berkata, "Kamu tidak perlu risau, malam ini dia pasti akan datang mencari kamu..." Saya macam tidak percaya, maklumlah pertama kali jumpa seorang bomoh. Takut pun ada, tak percaya pun ada juga.


Saya bertanya lagi, "Kalau dia tak datang, macamana Tok?" Beliau menjawab, "Dia mesti datang, kami akan panggil dia datang..." Beliau pun terus membaca sesuatu seperti bacaan doa dan mengambil semula barang yang tadi di dalam genggaman saya lalu memasukkan ke dalam gambar kekasih saya itu. Saya punyalah terperanjat! Benda yang saya genggam tadi hilang begitu saja dalam gambar seperti silap mata.


Saya tertanya dalam hati mana beliau sembunyikan benda itu. Bomoh itu mengangkat mukanya dan memandang tepat ke muka saya sambil tersenyum, lalu berkata, "Kamu tidak percaya ya? Hehehe..." Dia tergelak. Beliau pun berkata tidak perlu risau, ini masalah kecil saja dan mengingatkan saya walauapapun terjadi jangan marah, jangan cari gaduh, kalau dia datang, layan dia seperti tiada apa yang berlaku.


Agak sukar dan susah untuk bersabar dan tidak marah, lebih-lebih lagi apabila teringatkan kata-katanya yang pedih menghiris. Sekiranya hati sedang sakit atau rasa gundah yang melampau dan saya tidak mengikut arahan tersebut, apa yang bomoh aturkan tidak akan menjadi...


(Kisah bersambung...)



471 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page