top of page
Search

Terlibat Dalam Dunia Perbomohan (Bahagian Terakhir...)

Memang benar, mana-mana lelaki yang berdampingan dengan saya akan sentiasa terasa ghairah walaupun saya tidak menyentuhnya. Menurut mereka, hanya dengan mendengar suara saya saja boleh menaikkan syahwat mereka dan ini memang amat menyeramkan apabila sepuluh orang yang saya jumpa, kesemuanya mengatakan sebegitu. Ramai yang perasan perubahan saya, katanya semakin cantik.


Saya sebenarnya bukanlah dalam kategori hodoh, tapi mereka katakan saya semakin berseri-seri dan lain dari yang lain. Kawan-kawan lama saya yang kenal saya dari sekolah sebelum saya berhijrah ke KL, apabila terserempak dengan saya sekiranya saya pulang ke kampung, pasti akan mengatakan tentang perbezaan saya dulu dan sekarang. Mereka tidak berani mengatakan saya menggunakan susuk, mereka cuma kata lain dari yang lain, tidak pernah jumpa gadis seperti saya, seperti besi semberani dan macam-macam lagi.


Seringkali saya menepis kata-kata mereka dengan membuat lawak jenaka untuk mengelakkan situasi yang mungkin janggal dan membuat saya terasa kurang senang tapi ini hanya membuatkan mereka bertambah suka pada saya kerana menganggap saya seorang yang lucu. Saya sekarang sudah berumur pertengahan 30an tahun, tapi tak kira lelaki, perempuan atau sesiapa saja tetap mengatakan rupa dan fizikal saya seperti gadis berusia 28 tahun. Tidak kira bujang, tua, muda atau suami orang, semua memang akan suka kepada saya.


Kawan-kawan yang tidak mengetahui rahsia saya sendiri pelik dengan saya, kenapa semua orang suka dekat saya termasuklah anak-anak kecil dan bayi, asalkan dia berjantina lelaki. Semua lelaki yang mendampingi saya merasakan saya gadis idaman mereka, baik, dan gadis yang dicari-cari mereka. Tidak dinafikan sejak mengamalkan perubatan dengan bomoh tersebut, memang saya menjadi lebih penyabar dan sangat pandai berpura-pura, tidak menunjukkan rasa benci atau marah atau rasa meluat secara terang-terangan.


Senang cerita, pakar penasihat saya itu melatih saya untuk melayan seorang lelaki seperti seorang raja. Sebab itu ramai lelaki yang tunduk di bawah kuasa saya. Walau sakit macamana hati saya pun, saya tetap tersenyum dan bersabar, sebab saya sentiasa berfikir saya ada penasihat saya yang membantu saya. Mungkin ini salah satu sikap saya yang membuatkan ramai orang menyenangi dan mempercayai saya dengan mudah. Tapi itu semua pura-pura saja, kadangkala saya rasakan sayalah manusia paling hipokrit dalam dunia ini tapi bila berhadapan dengan orang lakonan saya memang semulajadi menjadi.

Yang saya musykil, bila saya tiada hati dengan lelaki tersebut, macam nak mati dia sukakan saya, tapi bila saya mula menyintai lelaki itu, memang dia akan menyukai saya tapi akhirnya dia tetap akan memilih gadis lain sebagai pilihan hati. Ini sudah terjadi beberapa kali kepada saya. Saya ada juga impian untuk berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Benda ini bukan terjadi pada saya sahaja, malah pada kawan saya yang mengenalkan saya kepada bomoh tersebut.


Setelah beberapa tahun menerima khidmat nasihat dari bomoh saya, saya ada memperkenalkannya kepada seorang lagi teman baik saya kerana pada masa itu dia ada masalah dalam perniagaannya. Pada mulanya teman saya itu hanya berkunjung hal berkaitan dengan perniagaannya, lama-kelamaan dia pun memakai susuk yang sama seperti saya, dan yang peliknya, dia pun menerima nasib yang sama seperti kami juga. Digilai orang dan ada segalanya tapi takkan berjumpa cinta sebenar walaupun lelaki yang mendampingi kami tidak akan pernah melupakan kami dan yang lagi peliknya sekiranya kami berkumpul bersama-sama, semua orang akan mengatakan kami persis adik-beradik.


Bekas kekasih saya pada awal cerita saya sampai sekarang masih tiada pengganti dan masih mengharapkan saya kembali kepadanya tapi saya memang dah tak nak lagi dah. Sampai sekarang dia tidak dapat lupakan saya. Beberapa tahun selepas itu saya ada berkawan dengan lelaki lain juga, dan lelaki ini walaupun sudah berkahwin dengan pilihan keluarganya, sehingga kini masih menghubungi saya dan sentiasa datang bertemu dengan saya dengan alasan dia tidak dapat melupakan saya.


Isterinya dapat tahu bukan main marah lagi, tapi dia buat tak kisah saja. Malah dia tak kisah pun kalau isterinya nampaknyaa bersama saya. Dia dengan selamba memberitahu kami berdua, dia akan menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami terhadap isterinya sekarang, dia tidak akan membuang isteri atau mensia-siakan. Kalau isterinya hendakkan anak, dia akan bagi tapi walauapapun terjadi, dia tetap akan mengambil saya sebagai isterinya dan sekiranya isterinya tidak bersetuju atau menghalang, dia meminta isterinya supaya minta cerai darinya.


Dengan beraninya dia berkata dia akan tunaikan dengan senang hati, kerana dia bagitahu isterinya itu bukanlah pilihannya tetapi kedua orang tuanya. Sampai saya yang rasa serba-salah. Saya cuba juga hendak berkawan dengan lelaki lain, cuma masalahnya dia tidak boleh kalau tengok saya berkawan dengan lelaki lain. Dia pasti akan caras peluang saya dan tidak teragak-agak untuk munculkan diri kalau dia nampak saya dengan mana-mana lelaki dan memperkenalkan sendiri dirinya sebagai kekasih saya, lalu lelaki yang saya keluar bersama akan terasa dan terus tidak mahu berkawan dengan saya. Nampak seperti saya pula orang jahat.


Bila keadaan sudah tidak terkawal, saya rujuk pakar penasihat iaitu bomoh saya. Pakar saya mengakui si lelaki ini memang tidak akan melupakan saya sampai mati. Dia tidak sanggup menerima hakikat kalau saya dimiliki lelaki lain. Dia tidak boleh terima sebab itu dia sedaya-upaya menghalang mana-mana lelaki yang hendak mendampingi saya kerana dia takut kehilangan saya. Pakar memberitahu saya ini kerana semasa kami masih bersama, saya membenarkan teman lelaki saya itu meniduri saya sehingga dia tidak dapat melupakan saya selamanya. Walau saya lari atau bersembunyi, dia tetap akan mencari saya sampai ke lubang cacing!


Saya seorang yang realistik, saya memang menyintainya juga tapi saya sudah berjanji dengan diri saya sendiri, saya tidak akan membiarkan cinta membutakan saya lagi. Saya tidak mahu berkongsi suami, memandangkan isterinya tidak mahu meminta cerai, malah sanggup bermadu dengan syarat dia mahu anak bersama lelaki tersebut. Lelaki itu tunaikan tapi saya yang tidak mahu bermadu. Akhirnya saya sanggup beralah.


Bayangkan biasanya orang berjumpa dengan bomoh agar membuat orang tergila-gilakan kita, tapi saya hendak buat biar dia lupakan saya. Saya pun jadi pening dan runsing. Saya meminta pakar buat dia melupakan saya, tapi masalahnya pakar tidak dapat berbuat begitu. Pakar ada memberitahu saya, susuknya tidak boleh dibuang. Saya tidak berapa faham, kerana dia memberitahu apabila sudah dimasukkan ke dalam badan saya, benda itu akan ghaib dan tidak dapat dikeluarkan lagi.


Walau umur saya sudah memasuki 60 tahun pun, sesiapa yang memandang saya tetap akan melihat saya masih muda dan menawan. Pakar juga ada menasihatkan saya mungkin ini takdir saya, mungkin dia memang jodoh saya, jadi terimalah dengan hati terbuka. Tapi jika saya memang berkeras tidak mahu bermadu, hanya ada satu cara sahaja untuk buatkan lelaki itu melupakan saya dengan memakan sirih pelupa.


Masalahnya lelaki itu yang mesti makan sirih itu. Macamana saya hendak memberinya makan sirih itu? Takkan saya hendak bawanya datang berjumpa dengan pakar saya? Buntu saya memikirkannya. Sesungguhnya saya menyesal dengan apa yang saya lakukan. Nasihat saya di sini janganlah kita bermain dengan ilmu sihir kerana kelak dia akan menyusahkan diri kita sendiri.


Sekian cerita saya...

529 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page