top of page
Search

Terlihat Wajah Pontianak Ketika Mencuri Buku Teks Sekolah

Assalamualaikum dan selamat tengah malam!


Nama saya Nonoi. Saya bersekolah di salah sebuah sekolah berasrama di Johor Bahru di kawasan Taman Tasek. Saya duduk asrama ini selama dua tahun dari tingkatan 4 hingga ke 5. Maknanya selepas Form 3, saya pindah sekolah dan diwajibkan duduk di asrama kerana jauh dari rumah. Kisah saya agak ringkas tapi seram sangat-sangat. Kisah saya ni memang benar terjadi ketika saya di tingkatan 5. Waktu itu memang kami merupakan pelajar senior di sekolah, jadi macam-macam aktiviti kami dipertanggungjawabkan untuk adakan dan waktu itu juga dah menghampiri musim peperiksaan SPM. Kejadian ini berlaku bila saya hendak pulangkan buku teks sekolah.


Pada malam itu saya memang kekurangan buku teks untuk ulangkaji pelajaran. Jadi saya dan kawan saya, Naza masuk ke dalam sekolah waktu mengulangkaji sekitar jam 9 malam. Pelajar lain ada di bilik mengulangkaji pelajaran. Kami berdua sibuk masuk ke satu kelas ke satu kelas lain, kami curi buku teks pelajar lain. Masa itu memang kami nakal. Dipendekkan cerita, kami masuk ke sekolah tanpa pengetahuan rakan lain sebab nak buat kerja jahat, takkan nak ajak orang lain pulak kan?


Kami sepakat masuk ke kelas PPN sebab kelas PPN ini ada buku teks yang kami cari. Jadi kami terus ke sekolah dalam keadaan gelap. Kami tahu pagar untuk naik ke tingkat dua dikunci oleh pegawai keselamatan. Tapi otak kami ligat, kami panjat mengikut paip besi yang boleh sampai ke tingkat dua blok bangunan sekolah. Yang panjat dulu Naza, baru saya menyusul selepas itu. Sampai di tingkat dua, kami pun cuba masuk ke dalam kelas untuk mencari buku yang tersimpan di bawah meja. Tiba-tiba saya macam terperasan di hujung blok seperti ada benda sedang mencangkung dan merenung tajam ke arah saya sewaktu kami berdua sedang bercakap .


Saya menyuruh Naza agar cepat kerana bimbang sekiranya di asrama nanti ada sesi pemeriksaan mengejut. Saya memang sudah bercadang untuk mencuri lima naskah buku, Naza pula bercadang untuk mencuri tiga buku. Waktu kami selongkar meja ke meja, saya sekejap-sekejap terpandang di pintu belakang kelas yang kami geledah itu. Waktu itu, saya baru terjumpa dua buah buku yang saya perlukan. Sekejap saya pandang, saya macam ternampak sesuatu yang sedang melihat kami geledah meja. Saya menyuruh Naza cepat kerana saya dah rasa lain macam. Ternyata saya terlepas cakap dengan kuat!


Tiba-tiba tingkap kelas itu seperti ada bunyi cakaran. Kami terdiam sekejap. Saya tanya Naza sama ada dia ada terdengar atau tidak bunyi itu. Naza hanya terdiam dan tidak bersuara. Saya tengok Naza sedang termenung ke arah tingkap tersebut. Saya pula membelakangkan tingkap itu. Saya tidak toleh ke belakang sebab dah rasa cuak. Kemudia disusuli dengan bunyi seperti orang sedang hentak-hentakkan kaki dari tingkat atas kelas yang kami berada. Kami berdua makin rasa tidak sedap hati. Waktu kami hendak keluar untuk balik ke asrama, dah siap curi buku masuk dalam beg semua, saya orang pertama yang turun dari paip besi.


Ketika giliran Naza hendak turun dari paip besi itu, saya ternampak dengan jelas dari tingkat yang atas sekali dan tingkat kami curi buku itu, ada dua ekor pontianak sedang memerhatikan kami sambil tersenyum sambil lidahnya terkeluar! "Astaghfirullah! Za cepat Za!" saya berkata dengan suara terketar-ketar. Naza dari pegang paip besi terus melompat tanpa berfikir panjang. Kami berlari balik ke asrama sehingga selipar tercabut dari kaki. Sewaktu kami berlari rasa macam jauh sangat hendak sampai ke penghujung blok untuk sampai ke asrama kami.


Saya ternampak salah satu pontianak itu ada di dalam kelas sebelah kanan saya sewaktu saya lari lintang-pukang dengan Naza. Kedengaran suara mengilai yang agak kuat. Saya memang rasa takut pada waktu itu. Dahlah buat kerja jahat, kena pula balasan macam ini. Sampai di asrama kami buat seperti tidak ada apa, tapi bila saya tanya Naza, dia kata dia rasa takut. Malam itu Naza demam panas. Saya pula ok tidak ada apa-apa terjadi.


Itulah kisah pengalaman saya. Sehingga sekarang saya tidak boleh lupa wajah pontianak yang saya nampak itu. Wallahualam. Assalamualaikum...

135 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page