top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Tiga Kisah Kak J Kuantan (Bahagian Pertama)

Assalamualaikum KC,


Panggil saya Kak J saja. Saya berasal dari Kuantan, Pahang. Kisah-kisah yang kakak nak kongsi semua terjadi pada diri sendiri. Mungkin tidak berapa seram pada yang membaca, tetapi kakak harap ia bernilai untuk dikongsi pada semua.

Kisah pertama ini berlaku semasa kakak masih kecil di kampung. Seorang gadis muda di kampung telah membunuh diri dengan menggantung dirinya di dalam rumah kerana masalah peribadi. Di kampung, macam biasa semua orang kenal satu sama lain, tidak kira kecil mahupun besar. Jadi gadis itu walaupun kakak tidak berapa rapat dengannya tetapi kakak memang kenal sangat.


Kita gelarkannya dengan panggilan Kak Mary saja. Rumahnya tidak jauh dengan rumah nenek kakak dan arwah juga pernah menjaga kakak semasa nenek keluar ke pekan. Orangnya cantik, malangnya, keluarganya bermasalah. Boleh jadi itulah penyebab dia mengambil keputusan mengakhiri riwayat hidupnya. Semasa hidup, dia mempunyai baju kegemaran, kerana apabila bertembung di mana-mana, kakak mesti lihat dia memakai baju yang sama. Boleh juga kerana kemiskinan, dia tidak mempunyai banyak pakaian.


Kejadian bunuh diri yang terjadi amat mengejutkan dan menyedihkan. Terkilan walau kakak masih muda ketika itu sekitar sembilan tahun jika tidak silap, tetapi pemergian mengejut dan tragis itu memberi kesan mendalam. Alangkah baik kalau sempat dihalang? Sewaktu kematiannya, polis mengambil masa untuk menurunkan mayatnya. Jadi ketika itu kakak dan seorang lagi kawan perempuan antara yang hadir awal dapat melihat jasad Kak Mary.


Rumah kayu yang bertingkap kayu, bila terbuka luas dapat lihat dengan jelas jasad Kak Mary yang masih lagi tergantung. Cuaca ketika itu, petang yang cerah dan terang, tiba-tiba bertukar gelap dan seakan mahu hujan ribut. Kilat dan petir berdentum kuat. Kakak tidak tunggu lama, terus beredar pulang kerana dinasihati oleh orang-orang tua yang hadir sama. Kawan kakak cakap, kalau berlaku kematian tragis, roh si mati nanti tidak tenteram. Jadi sebagai kanak-kanak kakak memang ketakutan apabila malam menjelang. Namun, sebenarnya tiada apapun yang berlaku dan tiada pun sesiapa yang diganggu atau terserempak roh si mati.

Cuma, apa yang berlaku kepada kakak selepas kematian Kak Mary, pada satu malam kakak bermimpi. Mimpi itu sangat jelas. Kakak merasakan diri kakak sedang bermain di dapur rumah nenek. Dalam mimpi itu nenek kakak berada di ruang tamu. Kemudian terdengar suara seperti memberi salam dan menegur nenek kakak. Rupanya dalam mimpi itu, Kak Mary datang bertandang di rumah dan duduk di tangga depan rumah nenek kakak. Kak Mary memakai pakaian yang selalu dia pakai semasa hidupnya.


Nenek kakak bertanya hajat apa Kak Mary datang ke rumah? Kak Mary berkata dia datang dan hendak menjemput kakak untuk bermain. Kemudian nenek memanggil kakak untuk bertemu Kak Mary. Walaupun dalam mimpi, kakak dapat teringat bahawa Kak Mary dah pun meninggal. Terasa serba salah kakak namun tetap keluar ke ruang tamu dan duduk di birai pintu bersebelahan Kak Mary.


Dalam mimpi itu kakak bertanya nak main apa? Kak Mary menjawab, “Jomlah main kat rumah kakak. Kakak sunyi duduk sorang-sorang. Jomlah ikut temankan...” Kakak jawab semula dengan memberi alasan, “Eeii rumah Kak Mary jauhlah, tak naklah ikut. Penatlah....” “Jomlah, kalau penat nanti kakak tolong dukungkan. Sini, masuk dalam kain ni, nanti Kak Mary dukung,” Kak Mary berkata sambil menunjukkan kain yang dia bawa.


Kain itu kakak lihat jelas, berwarna putih lusuh. Tidaklah bersalut tanah, tetapi kain putih, lusuh dan berbentuk seperti beg kain yang agak besar yang boleh memuatkan tubuh kakak. Kakak terkejut, dalam mimpi itu memang tidak seram sebab suasana mimpi itu cantik, waktu pagi yang cerah, kebiasaan cuaca yang dialami di kampung.kerana jauh di fikiran kakak memang teringat jelas, bahawa Kak Mary dah mati! Ini siap bawa kain, mungkin kain kafan, wallahu'alam.


Jadi kakak jawab lagi, “Kain ni saya tidak muatlah Kak. Tak naklah, saya tak nak ikut, main kat sini sajalah...” kakak bagi alasan lagi. Kemudian Kak Mary berkata, “Takpelah kalau tak nak. Kak Mary nak balik dululah...” Kemudian kakak terus terjaga. Seram! Walau mimpi itu tidak seram, Kak Mary pun tidaklah muncul dengan rupa yang buruk tetapi realitinya berjumpa dan berbicara dengan seseorang yangg kita memang tahu sudah tiada, perasaan takut itu tetap ada. Kakak bercerita pada nenek, dan dia tidak menolak malah berkata, kalau dalam mimpi itu kakak benar-benar ikut dan masuk ke dalam kain tersebut, mungkin kakak pun akan kekal tidur selamanya. Wallahu'alam.


(Berakhir kisah pertama... Bersambung...)

697 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentários

Avaliado com 0 de 5 estrelas.
Ainda sem avaliações

Adicione uma avaliação
bottom of page