Search

Tiga Pengalaman Seram di Rumah Nenek

Assalamualaikum KC,


Nama saya Bell dan saya berasal dari Negara Brunei Darussalam. Saya ingin berkongsi pengalaman saya sewaktu tidur di rumah nenek saya. Banyak pengalaman yang menyeramkan yang terjadi di sana, tetapi saya akan ceritakan tiga kejadian yang berlaku kepada diri saya sendiri.

Pengalaman pertama, sewaktu saya belasan tahun terjadi pada satu senja sekitar waktu Maghrib, di mana sepupu saya, Nurul, sedang mandi. Dia mandi lama sangat sambil menyanyi walaupun berulang kali ditegur oleh nenek. Disebabkan mandi terlalu lama, saya pun mengetuk pintu bilik mandi sebab saya hendak menggosok gigi. Nurul pun benarkan saya masuk kerana pada ketika itu dia telah habis mandi dan tinggal hendak mencuci muka.


Tiba-tiba ada bunyi seperti orang mengetuk jendela tandas tersebut. Tandas itu terletak di lantai bawah. Pada mulanya kami buat tak endah sebab kami mempunyai beberapa orang pakcik yang suka menyakat. Namun ketukan semakin kuat. Waktu itu jendela tandas berkunci. Dari arah cermin depan saya boleh nampak jendela itu berkunci.


Entah macamana jendela itu terbuka dengan sendirinya, dan perlahan-lahan ada satu tangan besar, hitam dan berbulu lebat seolah-olah cuba untuk masuk. Sepupu saya Nurul pun ternampak, dan kami berdua menjerit lalu lari keluar dari tandas. Saya memberitahu Ayah apa yang terjadi. Bila Ayah saya periksa tandas tersebut, jendela tandas itu terkunci semula! Memang pelik!


Pengalaman kedua, sewaktu saya sedang duduk di ruang tamu, saya pernah mengalami satu lagi pengalaman seram. Di ruang tamu terdapat dua bingkai gambar yang besar mengandungi ayat-ayat suci Al-Quran. Sedang saya duduk tiba-tiba terasa seperti ada angin yang menderu dan kedua-dua bingkai tersebut menjadi senget seolah-olah ada yang menolaknya. Sekali lagi apabila saya beritahu Ayah dan beliau periksa, kedua-dua bingkai itu kembali lurus semula seperti tiada apa-apa yang terjadi!


Pengalaman Ketiga - Pernah waktu saya tidur dalam bilik Nurul dan adiknya Fiza, kami bertiga sibuk bersembang sampai lewat malam, maklumlah orang perempuan. Kami bertiga dikejutkan dengan bunyi seperti cakaran dari jendela yang berdekatan dengan katil mereka. Mustahil kucing sebab jendela itu di sebelah luarnya memang tidak ada atap. Cakaran itu berbunyi dengan perlahan-lahan. Maklumlah dinding kayu, kuat bunyinya. Lama juga cakaran itu hendak berhenti sampai kami bertiga terdiam. Sehinggakan pada esoknya saya demam.


Sampai ke hari ni saya tidak tidur lagi di rumah nenek saya. Sekarang saya dah berusia dalam lingkungan 20an tahun. Dah sepuluh tahun lebih saya tidak tidur di sana sebab takut dengan pengalaman-pengalaman yang saya alami sebelum ini.


Terima kasih dan Selamat Malam Seram!

128 views0 comments

Recent Posts

See All

Akibat Tidak Tutup Tingkap

Salam KC, Saya Jalia dan kejadian yang akan saya ceritakan ini terjadi apabila saya berada di dalam menengah empat. Pada hari itu, saya mengemas bilik, turunkan langsir dan ubah posisi katil, almari d

Suara Guru Mengajar Murid Pukul Dua Lebih Pagi?

Assalamualaikum KC dan peminat Malam Seram, Nama saya Ris dan saya merupakan peminat setia Malam Seram dari negara Brunei Darussalam. Saya ingin berkongsi satu kisah pengalaman saya bekerja sebagai se

Arwah Nenek Mempunyai Enam Ekor Saka!

Assalammualaikum KC, Saya Hafizi ingin mengetengahkan kisah tentang arwah nenek saya yang memiliki enam ekor saka. Sebelum itu, ramai yang tahu bahawa kebiasaannya seseorang hanya memiliki seekor sak