top of page
Search

Tingkap Bilik Diketuk Dengan Batu Kecil?

Salam KC,

Saya Shaki, tinggal di kawasan Choa Chu Kang, berdekatan dengan kawasan hutan berdekatan dengan Brickland Road. Untuk pengetahuan umum, kawasan perhutanan di Brickland Road ini digunakan untuk latihan pasukan tentera Singapura. Jalan dari Brickland Road ini juga bersambung menuju ke jalan menghala ke Tanah Perkuburan Islam di Singapura iaitu Pusara Aman dan Pusara Abadi.


Pengalaman yang pernah terjadi terhadap diri saya ini berlaku pada tahun 2017 bulan Disember. Saya masih belum dapat pekerjaan sepenuh masa setelah menamatkan pengajian di salah sebuah politeknik di sini. Mungkin ada yang dalam situasi saya pernah mengalami perkara ini iaitu mengambil kesempatan untuk tidur dan bangun lewat. Paling lewat saya tidur pada pukul 6 pagi. Namun sepanjang saya tidur lewat selama dua bulan, ini kali pertama saya mengalami kejadian yang sungguh pelik dan aneh tetapi seram sebab saya tidur seorang di dalam bilik.


Saya mempunyai seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki jadi bilik kami adik-beradik pun berasingan. Pada satu malam saya menonton televisyen seperti biasa. Kerana tidak mempunyai banyak aktiviti lain yang boleh saya lakukan, menonton hingga lewat malam sehingga pukul 3 pagi menjadi satu kelaziman sebelum saya masuk bilik untuk sambung bermain dengan telefon bimbit. Apabila dah puas memandang skrin telefon bimbit barulah terasa mengantuk dan akhirnya saya akan tidur.


Katil saya berada di tepi tingkap. Kebetulan saya tinggal di tingkat tiga dan belakang rumah saya menghadap hutan yang saya sebutkan awal tadi, di mana saya katakan hutan ini digunakan untuk latihan tentera. Sedang saya ingin lelapkan mata, tiba-tiba terdengar seperti tingkap saya diketuk dengan sesuatu, seperti batu yang dicampakkan sebanyak tiga kali. Saya tak rasa seram tapi macam marah lantas saya bangun dan menolak langsir sambil menjenguk ke luar tingkap untuk melihat angkara siapa yang melakukan kerana di bawah blok adakalanya ada orang yang masih lepak hingga larut malam.


Namun saya tidak nampak kelibat sesiapa pun di bawah, atau mungkin mereka dah larikan diri. Saya pun hairan siapa yang sanggup lempar batu sedangkan saya nak campak batu pun tak sampai ke tingkat tiga. Setelah rasa hairan, timbul pula rasa seram mungkin ada sesuatu yang menyinggah di luar. Dengan cepat saya menutup tingkap dan tutup langsir semula sambil membuka laman YouTube dan putarkan surah-surah suci menemani saya tidur pada malam itu.


Keesokkan harinya, saya beritahu apa yang terjadi kepada kedua ibu bapa saya dan mereka pun membaca surah Yassin di rumah serta membuat apa yang perlu dibuat seperti merenjis air yang telah dicampur dengan bacaan surah-surah suci. Ibu memesan kepada saya, “Setiap malam sebelum tidur, putarkan surah-surah Ruqyah untuk temankan kakak...” Dari situlah pada setiap malam saya rajinkan diri untuk memutarkan surah-surah Ruqyah sebelum dan sambil tidur. Saya juga sudah tidak tidur lewat lagi. Mungkin ada hikmah di sebalik gangguan pada malam itu. Alhamdulillah mujur sudah tidak ada gangguan seperti itu lagi.


Terima kasih dan Selamat Malam Seram!

130 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page