Assalammualaikum KC,
Saya Mohamad Rosdi atau teman-teman rapat panggil Ady saja. Saya merupakan salah seorang pekerja di sebuah stesen pam minyak di negeri Perak, Malaysia. Saya selalu bekerja syif sebelah malam dengan seorang lagi rakan sekerja saya. Biasanya yang bekerja syif malam ini hanya dua orang sahaja, bermula dari pukul 7 malam hingga 7 pagi.
Apa yang berlaku pada satu malam itu selepas jam 1 lebih pagi, saya menjaga kaunter sementara rakan saya tidur sebentar untuk merehatkan mata sebelum menyambung tugas menyapu sampah, mengemas dan sebagainya. Kami berdua tidur berganti-ganti. Saya telah mengalami sesuatu yang amat menakutkan ketika saya bertugas menjaga kaunter. Tiada sesiapapun di luar, biasanya bila dah lebih dari pukul 12 malam, orang dah kurang datang ke stesen pam minyak untuk mengisi minyak. Ketika itulah mulanya gangguan tersebut di luar.
Saya terdengar bunyi tong sampah besi digegar beberapa kali, bermula dengan perlahan dan semakin lama semakin kuat. Sedangkan saya pantau menerusi monitor kamera litar tiada orang di luar! Nak kata angin kencang bertiup, pokok-pokok di luar tidak kelihatan bergoyang, jadi kenapa dan bagaimana tong sampah yang berat sebegitu boleh bergegar?
Saya rasa takut terus mengejutkan rakan saya. Tanpa diduga sejurus setelah saya mengejutkan rakan saya, tiba-tiba bekalan eletrik terputus dan tong sampah itu tumbang dengan sendirinya membuatkan kami berdua terkejut sangat. Sampai ke pagi bekalan elektrik tidak ada dan kami pun tidak berani untuk ke luar untuk melihat. Mujur tiada pemandu yang masuk ke dalam stesen untuk pam minyak. Kalau tidak, siapa yang hendak melayan?
Itulah pengalaman saya. Terima kasih dan selamat malam!!!
Comments