top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Tugasan Terakhir Di Pembentungan...

Assalamualaikum,


Selamat malam saya ucapkan kepada KC dan juga para pembaca blog Malam Seram. Nama saya Nazri dan saya berasal dari Kampar, Perak, Malaysia. Saya ingin berkongsi kisah pengalaman yang pernah saya alami enam belas tahun yang lalu semasa saya sedang bertugas di bandar Canberra, Australia.


Saya bertugas di bahagian pembentungan, di mana pembentungan tersebut terletak di bawah tanah di dalam kawasan bandar Canberra. Agak lumayan sebenarnya pendapatan yang saya dapat pada masa itu. Dah ada peluang, terus saya ke sana untuk bekerja. Kegunaan pembentung ini adalah untuk laluan air hujan mahupun air yang digunakan oleh penduduk bandar. Agak kotor sebenarnya. Walaupun begitu, sudah hampir dua tahun saya bekerja di sana. Sepanjang saya bertugas, langsung tiada masalah. Semuanya berjalan dengan lancar. Cuma penggunaan Bahasa Inggeris saya sahajalah yang kurang fasih pada masa itu tapi, masih boleh berkomunikasi dengan teman-teman sekerja saya yang lain.


Saya ditempatkan di dalam satu kumpulan seramai lima orang yang ditugaskan dalam satu-satu masa. Kumpulan yang lain akan mengambil alih kerja selepas giliran kumpulan saya. Ada banyak bahagian kerja waktu itu, cuci pembentung, masalah sumbat dan selenggara pembentung. Selama dua tahun bekerja, saya sudah cekap bekerja di kawasan pembentungan bandar Canberra, semua laluan di dalam pembentungan ini saya sudah hafal walaupun tanpa menggunakan peta. Tetapi kali ini, kami sekumpulan ditugaskan untuk menguruskan pembentungan di kawasan yang lain atas faktor-faktor tertentu.


Pada mulanya kami sebulat suara menolak, tetapi apakan daya, terpaksalah kami akur untuk lakukannya kerana tugas. Dipendekkan cerita, kami sampai di kawasan tersebut yang merupakan sebuah pekan kecil yang terletak lebih kurang 40km jaraknya dari bandar Canberra. Kami diarahkan untuk mengenal pasti masalah yang berlaku di bahagian pembentungan, di mana punca kuasa elektrik di dalam pembentungan itu telah terputus disyaki akibat sambaran petir beberapa hari sebelumnya.


Kami turun melalui laluan lubang pembentung di mana kami perlu turun menggunakan tangga untuk masuk ke dalam. Setibanya di dalam, saya dapati tidak ada satu lampu pun yang menyala. Ini bermakna sepanjang pembentung itu gelap gelita kerana bekalan elektrik terputus. Kami berbekalkan peta, lampu suluh dan juga alat walkie-talkie sebelum memulakan tugas. Kami diarahkan oleh ketua kumpulan kami supaya berpecah untuk mempercepatkan lagi kerja kerana hari sudah pun lewat petang.


Kawasan pembentung yang bersimpang-siur agak menyusahkan lagi kerja kami. Maklumlah bukan kawasan kerja kami, maka segala laluan di dalam pembentung ini adalah baru dan agak sukar bagi kami. Berbekalkan pengalaman yang ada, saya teruskan berjalan seorang diri untuk mencari dan mengenalpasti kerosakan. Hampir dua puluh minit saya berjalan masih juga tidak jumpa kotak bekalan elektrik di mana di situlah punca segala kerosakan. Saya lihat peta yang berada di tangan. Di hadapan saya ada simpang tiga di mana saya harus membelok ke kanan. Dalam hati saya berkata, "Dah betul jalan aku ni..."


Ketika saya melihat peta di tangan, sambil itu saya menyuluh lampu suluh ke hadapan dan saya terpandang seperti kelibat seseorang lalu melepasi tembok ke arah kanan. Saya terfikir, takkanlah kawan saya boleh sampai ke kawasan ini, sedangkan hanya saya seorang yang akan melalui arah ini? Saya mula rasa tidak sedap hati. Saya cabut alat mendengar dari telinga saya yang saya pakai.


Sebaik sahaja saya buka, alangkah terperanjatnya saya! Saya terdengar suara seperti seseorang sedang membaca mentera dalam bahasa yang langsung saya tidak tahu dan tidak saya faham. Berdiri bulu roma saya! Suaranya kedengaran seperti berlapis, garau dan menyeramkan, bergema di sepanjang pembentung. Tapi suara itu kemudiannya hilang begitu sahaja. Mungkin saya berkhayal kata hati saya. Namun, di dalam pembentung ini, suara atau bunyi dari luar memang tidak akan dapat masuk melainkan bunyi air bunyi tikus atau katak sahaja kalau nak diikutkan sepanjang pengalaman saya bekerja ni.


Saya teruskan juga berjalan.. Saya sebenarnya dah diselubungi perasaan takut, tapi apa nak buat? Dah tidak ada pilihan lain. Saya tengok lagi peta. Kalau nak diikutkan dalam peta ini, lebih kurang sepuluh meter berjalan, saya akan jumpa kotak elektrik yang dimaksudkan awal tadi. Dah tak jauh kiranya. Saya lalu masuk ke arah kanan, laluan di dalam pembentung ini tidaklah luas mana. Cuma boleh lalu seorang pekerja sahaja. Kalau tersalah pijak, masuk ke dalam air lah saya jawabnya.


Sebaik saja saya belok ke arah kanan, saya tunduk melihat peta semula. Dalam pada masa yang sama, saya masih lagi berjalan. Tiba-tiba saya terlanggar sesuatu di hadapan saya! Saya langsung tidak nampak apa yang saya langgar. Terhentak muka saya. Akibat dari perasaan terkejut itu, menyebabkan alat walkie-talkie dan juga lampu suluh saya terlepas dari tangan dan jatuh ke dalam air. Lampu saya hanyut di bawa arus.


Bayangkanlah keadaan saya pada masa itu. Gelap gelita langsung tidak ada sebarang sumber cahaya. Nak menjerit minta tolong saya fikir, kawan-kawan saya jauh di bahagian yang lain, dan agak mustahil untuk mereka dengar. Saya langsung tidak nampak apa-apa. Saya keluarkan telefon bimbit tapi hendak suluh menggunakan fungsi lampu suluh, memang tidak ada kerana ia jenis Nokia 3310. Hendak buat panggilan pun tidak boleh kerana tiada isyarat.


Saya kemudian meraba-raba tembok di sebelah kanan saya dan ke arah hadapan. Telefon bimbit masih lagi berada di dalam genggaman tangan kiri saya. Tangan kanan saya, saya tekapkan ke arah tembok untuk dijadikan sebagai tanda panduan. Bayangkan apa yang terjadi pada saat itu. Hendak patah balik, saya dah nak sampai ke hentian pemeriksaan, hendak diteruskan, susah kerana sekeliling saya gelap dan saya tidak nampak jalan. Jadi di sini bermulanya kisah saya.


Tangan kiri saya yang saya halakan ke arah hadapan seperti terpegang wajah seseorang! Saya dapat rasakan wajah kulitnya yang agak kasar. Saya punyalah terperanjat! Saya berdiri lalu saya rapatkan badan saya ke arah tembok. Dalam hati dah fikir macam, mulut saya terkumat-kamit membaca segala surah suci yang terlintas di fikiran. Entah betul atau pun tidak apa yang saya baca. Saya langsung tidak boleh berfikir pada masa itu. Kaki saya menjadi semakin lemah sampai terketar-ketar lutut saya. Saya tidak mampu hendak bergerak saat itu.


Bukan setakat itu saja, saya dapat merasakan benda itu seperti merapatkan wajahnya ke arah saya kerana kedengaran bunyi seperti ia bernafas dengan sangat kasar dan betul-betul rapat di hadapan muka saya. Ia mengeluarkan bunyi yang agak garau seperti mengerang. Panjang tak berhenti. Bau hawanya yang teramat busuk seperti bau bangkai dapat saya hidu pada waktu itu. Keadaan pada masa itu tidak dapat saya gambarkan. Di mulut saya hanya nama Allah saja yang dapat saya lafazkan pada saat itu. Saya cekalkan hati untuk terus berpatah balik. Dengan perlahan dalam keadaan mengiring di mana badan saya dirapatkan ke tembok, saya bergerak ke kiri dan terus bergerak.

Baru beberapa langkah, sekali lagi terhenti kaki saya. Kali ini tangan kanan saya pula tersentuh sesuatu seperti rambut. Ya Allah! Saya suluh menggunakan skrin telefon bimbit saya ke arah benda itu. Walaupun tidak berapa jelas, tapi saya masih dapat melihat wajah makhluk Allah yang sangat hodoh itu. Kulit mukanya seperti mengelupas kemerah-merahan. Kulitnya seperti terbakar melecur. Kali ini menyebabkan saya jatuh terduduk akibat terlalu ketakutan yang teramat. Saya boleh rasakan keadaan di sekeliling menjadi panas. Akibat dari tekanan ketakutan saya itu, saya terus pengsan. Saya langsung tidak sedar apa yang berlaku selepas itu. Sebaik saja sedar, saya sudah pun berada di dalam hostel di mana tempat saya dan rakan-rakan sekerja menetap. Bertubi-tubi soalan yang ditanyakan kepada saya.


Teman-teman sekerja saya menemui saya setelah empat jam mereka mencari saya. Nasib saya baik kerana saya tidak terjatuh ke dalam laluan air, kalau tidak memang dah arwah saya masa itu. Untuk pengetahuan semua, itulah tugas yang terakhir saya di sana. Saya terus berhenti kerja dan pulang ke Malaysia. Bukan kerana apa, saya tidak mahu kejadian itu berulang sekali lagi.


Sampai ke saat ini kalau terpandang gelung-gelung yang diletakkan di tepi jalan raya, kisah hidup saya ini akan terkenang semula. Pengalaman menakutkan ini saya harap tidak akan berulang lagi. Saya mohon maaf sekiranya kisah saya ini tidak seseram mana. Terpulanglah kepada yang membaca untuk menilai kisah saya ini.. Namun hakikatnya, kejadian ini adalah pengalaman yang tak dapat saya lupakan.


Sekian... Assalamualaikum dan Selamat Tengah Malam!

229 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page