top of page
Search

Wanita Berkebaya Kuning

Assalamu'alaikum,


Nama saya Yus, berasal dari Perak. Saya peminat setia Malam Seram, teringin untuk menceritakan kisah yang saya lalui setelah saya pulang dari mendaki salah sebuah gunung di negeri Perak. Gunung ini saya tidak boleh dedahkan namanya kerana takut kalau cerita saya ini boleh membuatkan pendaki lain terasa seram dan takut untuk mendaki gunung tersebut.


Ketika hendak pergi mendaki gunung tersebut, ibu saya sedang sakit tua. Ibu saya tidak boleh berjalan sebab terjatuh di dalam bilik air. Disebabkan keadaannya dan juga penyakit darah tinggi yang dialaminya, saya meminta kakak saya supaya datang ke rumah dan menjaga ibu saya buat sementara waktu kerana saya ingin mendaki gunung. Kakak saya setuju dan kebetulan dia tidak bekerja pada hari itu. Saya pun tunggu kakak saya pada pagi itu. Apabila dia sampai dengan suaminya, barulah saya bergerak pergi ke tempat berkumpulnya teman-teman yang lain yang ingin mendaki sama. Saya pergi bukan kerana saya mahu lepaskan tanggungjawab saya sebagai anak bongsu tapi terasa teruja dan seronok kerana tidak pernah mendaki gunung. Rasa hendak pergi sangat-sangat. Teringin sangat-sangat hendak mengalami pengalaman yang diidamkan selama ini.


Kami bukanlah pendaki profesional. Memang kami tak membuat apa-apa persiapan pun untuk mendaki. Atas nama persatuan yang baru kami tubuhkan, barulah mula hendak buat aktiviti. Perkara pertama yang persatuan kami cadang adalah mendaki gunung tersebut. Saya dan pendaki-pendaki yang lain mendaki gunung tersebut pada tahun 2015. Kami seramai lapan belas orang pendaki mendaki dari hari Sabtu pagi dan turun pada hari Ahad malamnya.


Cerita di atas gunung tidaklah misteri sangat. Kami pergi dan balik dengan selamat. Penat memang biasalah. Ada kawan yang hampir pengsan kerana tiada stamina. Ada yang sampai puncak dan ada yang tidak sampai. Separuh jalan saja sebab kepenatan. Kami pecah kepada dua kumpulan, kumpulan pertama sampai ke puncak, manakala kumpulan saya tidak kesampaian. Sedikit lagi hendak sampai ke puncak tapi stamina yang lain dah pancit. Mereka tidak tahan kerana terlalu penat sebab gunung itu terlalu semak.


Mengenai gunung tersebut, sudah bertahun orang tidak mendaki. Kami merupakan antara yang pertama mendaki setelah ia dibuka semula (Ia ditutup buat sekian lama atas sebab-sebab tertentu). Siksanya mendaki gunung! Saya memang tidak pernah mendaki gunung sebelum ini. Dari pagi sampai ke malam baru sampai ke perhentian pertama. Belum lagi ke puncak, keesokan harinya baru kami menuju ke puncak. Kami gagal sampai ke puncak kerana keletihan dan biasalah merokok banyak (Nota penyunting - SIAPA SURUH HISAP BANYAK-BANYAK? Kan dah tahu merokok itu haram dan membahayakan kesihatan!), makan pun tak jaga. Mulalah satu-satu terasa semput. Lagipun kumpulan saya kebanyakannya jenis yang penakut. Yang berani dan handal dahpun sampai ke puncak. Bila tidak sampai ke puncak, kami turun dahulu sebab pada masa itu hujan turun dengan lebat sangat.


Semasa turun semula ke perhentian pertama, dalam keadaan penat dan hujan lebat, saya perhatikan seorang pendaki bernama Lan menggalas beg dalam keadaaan terhoyong-hayang seperti dia mendukung sesuatu yang amat berat di atas badan. Sekejap-sekejap terjatuh. Pendaki lain tidaklah seteruknya walaupun dalam keadaan hujan lebat pada waktu itu. "Eh Lan! Kau ok ke?" saya bertanya. "Aku ok. Aku cuma rasa macam beratlah beg aku..." Lan menjawab. Saya bertanya pula, "Eh bukan ke barang kita tinggal di perhentian pertama? Apasal beg kau berat sangat ni? Apa yang kau bawa? Berhenti dulu kita tengok!"


Kami berhenti di tempat seperti sebuah tebing dan kaki kami terjuntai di bawah seperti duduk di atas tangga yang tinggi. Tiba-tiba saya jatuh tergelungsur ke bawah dalam posisi mereng ke tepi seperti ada sesuatu yang sedang menarik saya. Allahu Akbar! Saya tidak berbohong, saya ternampak ada tangan memegang kaki saya! Tangan sahaja, anggota badan lain tidak ada! Tangan itu dibaluti kain kuning seperti lengan baju kurung. Saya takut dan menjerit meminta tolong pada Lan.


Dalam keadaan menggelupur, saya tendang-tendang tangan itu. Dalam saya meronta menggelabah, saya cuba panjat tebing menuju ke atas. Saya perasan tangan itu dah hilang dari pandangan. Lan bertanya, "Kau ok ke Yus?" Saya menjawab, "Aku ok... Aku ok..." Dengan sepantas kilat saya memanjat tebing kerana terlalu takut. Dari bawah saya menyuruh Lan mempercepatkan perjalanan menuju ke perhentian di bawah.


"Apa yang terjadi? Benda apa yang pegang kaki aku tadi?" bisik hati saya. Saya tidak cerita pun pada kawan yang lain. Saya fikirkan mungkin badan saya terlalu penat atau hanya perasaan saya. Mungkin saya fikir yang bukan-bukan ketika terjatuh tadi. Saya terdiam. Nanti kalau saya cerita, kawan lain akan rasa takut. Sambil itu tengok jam dah pukul 6 petang. Saya dan kawan-kawan lain tunggu kumpulan yang pertama tadi sampai. Satu jam juga kami tunggu mereka. Pukul tujuh lebih malam baru mereka sampai di perhentian kami.


Selepas kumpulan pertama sampai, mereka berehat. Seorang kawan dari kumpulan lain bertanya kepada saya, "Eh kenapa muka kau macam orang ada masalah ni? Baru naik gunung dah penat. Puncak pun tak sampai lagi nak letih..."dia perli saya. "Aku oklah. Cuma aku rasa macam nak demam sebab terkena hujan..."saya menjawab. Selepas makan, kami turun dalam keadaan masih hujan lebat dan gelap. Tidak peduli tentang hujan, kami sepakat redah sampai ke bawah bertemankan lampu suluh di kepala masing-masing. Alhamdulilah dalam perjalanan turun, tidak ada gangguan apa-apa.


Dalam perjalanan pulang, saya dapat merasakan bulu tengkuk saya meremang. Saya orang terakhir dihantar menggunakan pacuan empat roda. Saya duduk di belakang kenderaan tersebut. Saya turun ucap terima kasih pada ketua kami yang menghantar kami pulang. Sampai rumah dalam pukul 12 lebih malam, saya memberi salam sebanyak tiga kali. Tiada orang menyahut salam. Saya memberi salam lagi. Tiba-tiba ada yang menyahut salam, tapi bukan dari dalam rumah, tetapi dari atas pokok mangga yang terletak di tepi rumah!


Perlahan dan mendayu-dayu jawapan salamnya disusuli dengan bunyi ketawa di akhirnya. Saya apa lagi, ketuk bagai nak pecah pintu sebab terlalu takut! "Ayah!!! Ayah!! Buka pintu!!! Ayah!!! Buka pintu!!!" Ayah menyambut saya di pintu dengan soalan, "Kenapa kau macam nampak hantu je?""Tak ada apa-apalah Ayah..." saya mengelak dari ayah tahu. Ayah menyuruh saya masuk mandi dan rehatkan diri.


Saya dah buat satu kesilapan. Orang dulu-dulu selalu berpesan, sebelum masuk rumah dan kalau balik lewat malam, kena tunggu sebentar di luar, basuh kaki dan barulah masuk ke dalam rumah, tapi saya terlupa pesanan itu. Sebab bunyi orang menjawab salam membuat saya takut dan seram dan masuk rumah tanpa membuat perkara itu. Ayah saya pun terlupa hendak meninggalkan pesan. Takut-takut kalau hantu, iblis dan syaitan masuk ke dalam rumah sekali.


Selepas mandi dan tunaikan solat, saya pergi ke bilik emak untuk pastikan emak selesa diselimutkan dan pasangkan lampu tidur. Saya terus pergi ke ruang tamu untuk berehat dan terus terlena. Semasa saya terlena, saya bermimpi berjumpa dengan seorang perempuan berbaju kebaya kuning. Cantik sangat perempuan itu! Dia senyum begitu manis sekali dan dia membawa saya berjalan-jalan ke dalam hutan. Sampai di satu tebing, dia hilang dan saya terjatuh dalam gaung yang tinggi. Saya terkejut lalu terjaga dari tidur.


Selama tiga hari berturut-turut saya bermimpi perkara yang sama. Saya rasa pelik kenapa setiap kali mimpi, saya akan mimpikan perempuan itu dan jatuh dari tempat yang tinggi. Saya bertanya pada ayah tentang maksud mimpi saya. Ayah memberitahu kalau mimpi jatuh dari tempat yang tinggi bermaksud kita disihir ataupun didekati oleh jin. Bila ayah bertanya kenapa saya bertanya soalan tersebut, saya berbohong pada ayah dan berkata kawan yang bertanya.


Lama-kelamaan saya demam dan tidak pergi ke kerja. Bos sampai hubungi saya kerana tidak datang kerja selama berhari-hari. Saya minta cuti tanpa gaji pada bos dan bos benarkan. Badan saya pada waktu itu dah menjadi lemah, mungkin terlalu penat sebab meredah hujan ketika turun dari gunung. Walaupun tidak sihat, tanggungjawab terhadap emak saya tak lupakan. Masuk hari keempat, saya sudah tidak bermimpi mimpi yang sama lagi. Mungkin itu hanya permainan tidur atau perasaan saya sahaja sebab badan saya lemah dan tidak sihat. Saya tidur dengan nyenyak tanpa mimpi buruk lagi. Namun sangkaan saya meleset.


Pada malam Jumaat, saya dikejutkan oleh satu suara mendayu-dayu dari luar rumah. Saya rasakan mungkin bunyi suara itu datang dari jiran sebelah. Semakin lama saya dengar semakin hampir dengan saya dan semakin dekat dengan bilik saya. Apabila saya membuka mata, alangkah terkejutnya saya ada seorang perempuan berbaju kebaya kuning duduk di depan saya dalam keadaan bersimpuh sambil tangannya lemah gemalai digerakkan. Matanya menjeling tajam pada saya sambil tersenyum. Saya tidak tahu saya di alam nyata atau pun fantasi dan tidak boleh bergerak.


Saya cuba jerit sekuat hati minta bantuan dari ayah tetapi suara tidak dapat keluar. Saya cuba melaungkan azan dalam hati dan membaca Ayat Kursi. Alhamdulilah sosok tubuh perempuan berbaju kebaya itu hilang. Saya akhirnya dapat bergerak, bangun dan terus beristighfar banyak-banyak. Kejadian itu berlaku pada pukul 2 lebih pagi. Tiba-tiba terdengar suara ibu saya menjerit meminta tolong. Sempat saya terdengar ibu seperti memarahi sesuatu yang mencubitnya di kaki. Saya terus bergegas ke arah bilik ibu.


Semasa hendak masuk bilik ibu, saya terbau wangian seperti bau bunga melur. Menusuk ke dalam hidung saya. Selangkah masuk, saya rasa seperti ada hembusan angin berlalu di tepi. Saya tidak endahkan. Apa yang penting adalah ibu saya. Saya tanyakan apa yang dah terjadi. Ayah juga keluar dari bilik, terus bergegas pada ibu. Ibu menangis kerana kakinya sakit seperti digigit benda yang berbisa. Saya tengok kaki ibu memang ada kesan lebam seperti digigit tapi ibu tak kata benda menggigit, tetapi dicubit. Saya dan ayah sapukan minyak dan menyuruh ibu tidur.


Malam keesokannya saya dikejutkan lagi dengan suara ibu. Kali ini berbeza. Ibu panggil saya, "Yus datang sini sekejap! Tengok siapa ni yang menari depan ibu ni? Menari goyang-goyang kepala ni..." Ya Allah saya kasihan tengok ibu, dahlah sakit, diganggu oleh makhluk ini lagi. Ini semua salah saya, tidak ceritakan perkara sebenar pada ayah. Akhirnya saya terpaksa berterus-terang dan bercerita pada ayah perkara yang berlaku di gunung. Ayah hubungi seorang ustaz, yang juga merupakan kenalannya, untuk datang ke rumah.


Semasa ustaz berubat, saya perhatikan tangan ibu seperti penari tradisional sedang menari. Mungkin jin itu telah masuk ke dalam badan ibu. Ustaz membaca ayat-ayat suci dan memagar rumah saya menggunakan garam kasar. Alhamdulillah selepas itu tidak ada lagi gangguan. Cuma kadang-kadang ada terdengar bunyi nyanyian seorang perempuan di luar rumah sehingga ke hari ini. Selalunya kedengaran pada hari Isnin malam Selasa ataupun hari Khamis malam Jumaat. Jiran-jiran pun turut mendengar suara itu dan kadang-kadang bila balik lewat malam, pasti akan terbau bunga melur. Tidak lama selepas kejadian itu, ibu saya sakit tenat dan ibu akhirnya kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah buat ibu saya.


Sekian terima kasih dari saya Yus Perak...

350 views0 comments

Recent Posts

See All

Opmerkingen

Beoordeeld met 0 uit 5 sterren.
Nog geen beoordelingen

Voeg een beoordeling toe
bottom of page