top of page
Search

Wanita Hijau

Writer's picture: Peminat Malam SeramPeminat Malam Seram

Salam KC,


Nama saya Taufik, berasal dari KL. Kisah yang hendak saya ceritakan ini berlaku semasa saya belajar di Pusat Pengajian Tinggi UITM Shah Alam. Kisah ini berlaku pada tahun 1997. Pada masa itu saya berada di dalam tahun ketiga, menuntut dalam diploma seni bina. Saya tinggal di asrama yang dinamakan Asrama Perindu. Asrama ini memang terkenal dengan kisah seram yang menakutkan. Kisah ini berlaku ke atas diri saya dan sampai sekarang tidak dapat lupakan.

Kisahnya begini. Pada satu malam sekitar jam 11 malam, saya hendak membasuh baju di bilik air. Biasalah hidup di asrama basuh baju menggunakan tangan saja, bukan dengan mesin pembasuh. Bilik air di asrama ini berada di hujung dorm bilik pelajar. Bilik saya agak jauh sedikit kalau hendak pergi bilik air itu. Jauh juga hendak berjalan ke sana. Sampainya saya di dalam bilik air, tidak ada sesiapa di dalam bilik itu. Saya hidupkan lampu dan pergi ke kawasan membasuh baju dan mula membasuh.

Sedar tidak sedar saya membasuh baju dan lihat jam dah pukul 12 tengah malam. Saya hampir habis basuh baju dan mula masukkan baju ke dalam baldi untuk disidai. Tiba-tiba sedang saya hendak beredar keluar dari bilik air, saya terdengar suara seakan-akan suara orang sedang mengilai! Saya tercegat di situ sampai meremang bulu roma saya. Saya cepat-cepat keluar dari bilik air, dan berjalan selaju yang mungkin untuk masuk kembali ke bilik dorm saya.


Semasa saya berjalan, saya sempat toleh ke belakang. Alangkah terperanjatnya saya! Ada makhluk seakan-akan seorang wanita, berambut panjang dan yang pelik seluruh anggota tubuhnya berwarna hijau sedang berdiri memerhatikan saya dari pintu bilik air! Rambutnya panjang menghurai dan mengerbang ditiup angin. Pelik sangat-sangat! Ini pertama kali saya melihat makhluk yang selalunya orang berkata berpakaian putih sebenarnya berwarna hijau di depan mata saya!


Dengan pantas saya lari masuk ke bilik, kunci pintu dan terus naik ke atas katil dua tingkat. Kawan sebilik saya yang tidur di bahagian bawah sudah nyenyak tidur. Saya terus selimutkan diri sambil badan menggeletar. Ingatkan habis di situ saja. Setelah beberapa minit, saya mula menurunkan sedikit selimut saya ke paras mata. Mata saya melilau ke kiri, kanan atas dan bawah.


Tiba-tiba mata saya terus terpaku ke hujung katil saya. Sedikit demi sedikit ada kepala yang muncul di hujung katil saya, berwarna hijau! Saya terus selimut satu badan dan terus menjerit "Allahu Akbar!" dengan sekuat hati. Kawan saya berada di sebelah bawah dan kawan sebilik yang lain semua terkejut, terbangun dan lantas terus menghampiri saya.


Saya demam untuk beberapa hari selepas itu. Pegawai warden telah menyuruh saya masuk ke bilik sakit yang dikhususkan di asrama tapi saya tidak mahu sebab takut saya diganggu lagi. Saya telah menghubungi abang saya untuk menjemput saya pulang. Rupa-rupanya makhluk yang saya jumpa itu dah terkenal di kalangan kami yang menetap di asrama itu. Kami gelarkannya dengan panggilan "Wanita Hijau". Kurang pasti apa sejarah yang terjadi sehingga munculnya ia dan menghantui asrama kami.


Sekian terima kasih KC!

334 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
  • White Facebook Icon
  • White Instagram Icon
  • White YouTube Icon

© 2019 by Malam Seram.

bottom of page